Tuesday, May 16, 2017

LIMA ADUN BN ADALAH BEKAS GURU






KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Guru dianggap sebagai kerjaya yang amat dihormati dan dipandang mulia oleh rakyat Malaysia kerana golongan pendidik banyak berjasa kepada anak bangsa selain menabur bakti kepada masyarakat menerusi pelbagai program.

Berikutan itu, guru sering didampingi penduduk setempat yang mahu mengadu nasib dan meminta bantuan untuk menyelesaikan masalah, dengan 'keakraban' itu membuka laluan mereka ke arena politik.

Di Terengganu, misalnya, lima daripada 17 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) kini terdiri daripada bekas guru termasuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Empat lagi bekas guru ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri A Latiff Awang (ADUN Pengkalan Berangan), Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib (ADUN Ajil), Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Rozi Mamat (ADUN Telemong) dan Bazlan Abdul Rahman (ADUN Batu Rakit).

Mereka juga sememangnya rapat dengan masyarakat setempat dan sentiasa proaktif dengan program kebajikan, kesukarelawanan dan khidmat sosial.

Bagi Ahmad Razif, penglibatan guru dalam politik adalah disebabkan keikhlasan mereka untuk berkhidmat dan berdamping dengan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang dan warna kulit seseorang.

"Sesiapa sahaja boleh menjadi ahli politik. Namun, persoalannya adakah mereka bersedia menjalankan tanggungjawab dengan sempurna apabila memikul amanah sebagai pemimpin?.

"Bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghaffar Baba juga bekas guru. Begitu juga dengan Menteri Pelajaran sekarang Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah guru dahulu," katanya kepada Bernama.

Ahmad Razif mula berkhidmat sebagai guru pada 1989 dengan mengajar Matematik, Bahasa Malaysia dan Muzik. Beliau meletakkan jawatan sebagai guru apabila dipilih menjadi calon BN bagi kawasan DUN Seberang Takir pada pilihan raya umum 2008.

Lulusan Ijazah Sarjana Sains (Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 12 Mei 2014 sebelum memperkenalkan banyak penambahbaikan bagi memperkasa pendidikan di Negeri Anjung Ilmu ini.

Bagi Ghazali pula, pengalamannya berkhidmat sebagai guru selama 25 tahun menjadi kenangan manis yang cukup berharga kerana tempoh itu melakar 1001 kisah yang mematangkan beliau.

"Saya terlibat dalam politik kerana banyak terlibat dengan kerja-kerja amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktif dalam semua kegiatan masjid dan surau. Politik adalah satu platform untuk kita memperluaskan lagi peranan untuk agama, bangsa dan negara.

"Apabila diberi kepercayaan menjadi seorang wakil rakyat, ia adalah peluang untuk saya memainkan peranan yang lebih besar dalam menyumbang idea, pemikiran serta tindakan yang lebih berkesan dalam membangunkan pemikiran yang berkualiti kepada masyarakat.

"Saya yakin guru-guru yang dipilih sebagai pemimpin dalam pentadbiran negeri adalah individu yang mempunyai beberapa kebolehan istimewa. Mereka boleh menterjemahkan keistimewaan itu dalam membentuk pembinaan negeri melalui pentadbiran dan pengurusan negeri secara terbaik," katanya yang lebih mesra disapa Cikgu Zali.

Exco termuda di Terengganu,Rozi, juga seorang guru dan pernah bertugas sebagai Pegawai Pusat Sumber Pendidikan Terengganu (Bahagian Teknologi Pendidikan) hampir empat tahun.

"Saya tidak sangka akan terlibat dalam politik kerana pada usia muda, saya sangat aktif dalam gerakan Belia 4B di Terengganu sekitar tahun 1990-an. Pelbagai aktiviti kami lakukan untuk golongan belia ketika itu dan pernah menjuarai beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan.

"Bakat kepimpinan saya disedari pemimpin UMNO ketika itu dan mencadangkan saya menjadi calon DUN Telemong pada 2004," katanya yang menyandang portfolio sukan dan belia.

A Latiff pula mengakui portfolio pendidikan yang diamanahkan kepadanya amat serasi dengan kerjayanya sebagai guru sebelum ini.

"Kebetulan pula Menteri Besar juga adalah bekas guru dan ini secara tidak langsung memudahkan lagi kerjasama kami dalam memartabatkan pendidikan sebagai satu dari lapan intipati penting yang menjadi fokus kerajaan negeri melalui gagasan Tranformasi Terengganu Baharu," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi timbalannya iaitu Bazlan yang pernah menjadi guru selama 25 tahun dan berkhidmat di empat sekolah sekitar Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Saya tertarik menyertai badan bukan kerajaan (NGO) seawal usia 18 tahun. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya bergiat aktif dalam banyak NGO dan persatuan sukarelawan untuk membantu masyarakat setempat.

"Semua kerja amal yang dilakukan sepanjang bergelar guru mendapat perhatian penduduk setempat dan jawatan pertama saya dalam UMNO ialah sebagai Setiausaha Pemuda Cawangan Padang Polis di Batu Rakit pada tahun 1990.

"Sejak itu, saya mencurahkan khidmat sepenuhnya dalam bidang politik dan berharap mampu menjalankan amanah ini sebaik mungkin demi generasi muda yang akan memacu kepimpinan negara dengan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya yang dikenali sebagai Cikgu Lan di sekitar Batu Rakit dan Pulau Redang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment