Sunday, May 21, 2017

AZRB BANGUNKAN PERUMAHAN PENJAWAT AWAM BERNILAI RM200 JUTA

MARANG, 21 Mei (Bernama) -- Temala Development Sdn Bhd (TDSB) akan membangunkan satu projek perumahan penjawat awam di Terengganu membabitkan 685 unit bernilai kira-kira RM200 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata projek di atas tapak seluas 66.96 ekar itu akan dibina di jalan utama Kuala Berang-Kuala Terengganu dalam beberapa fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Daripada 685 unit rumah itu, sebanyak 160 unit rumah bandar mampu milik, 349 unit rumah teres dua tingkat, 100 unit rumah berkembar dua tingkat, 76 unit kedai dan pejabat dua tingkat dan satu lot tapak komersial akan dibina dengan harga daripada RM272,500 ke atas bagi satu unit.

"TDSB merupakan anak syarikat Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB), telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan divisyen hartanahnya sebagai penyumbang utama kumpulan pada masa hadapan.

"Projek itu dirancang dalam tiga fasa dan akan memberi penekanan kepada fasa pertama iaitu projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dikhaskan bagi kakitangan awam," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran projek berkenaan di sini semalam.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri A Latiff Awang dan Pengurus Besar AZRB Zawawi Wahab.


Ahmad Razif berkata, projek pembangunan yang dikenali sebagai Puncak Temala itu merupakan sebuah projek perbandaran bersepadu yang pertama seumpamanya bagi negeri ini.

Sementara itu, Zawawi berkata, ini merupakan projek perumahan terbesar syarikatnya yang mempunyai kedudukan amat strategik iaitu hanya empat kilometer dari Pekan Ajil dan 23km dari pusat bandar Kuala Terengganu.

Katanya, Puncak Temala mengetengahkan konsep pembangunan lestari yang mampu menjadi daya tarikan kepada bakal pembeli kerana hampir setiap rumah di situ di kelilingi kawasan hijau bagi mewujudkan persekitaran yang sejuk dan harmoni.

Beliau berkata, pemasangan kabel elektrik projek perumahan itu adalah secara pemasangan bawah tanah yang mana ia memberi kelebihan dari sudut keseluruhan susun atur dan perancangan bandar yang lebih teratur dan moden.

Zawawi berkata, penjawat awam yang berminat untuk mendapatkan kediaman itu boleh membuat pendaftaran serta mendapatkan maklumat lanjut melalui portal www.ppa1m.gov.my.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment