Sunday, May 28, 2017

TTB PELENGKAP TN50

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang diperkenalkan pada 2014 mampu menjadi landasan dan pelengkap agenda Tranformasi Nasional 2050 (TN50).

Idea TTB yang dicetuskan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu bukan sahaja memberi fokus kepada transformasi ekonomi dan kerajaan tetapi juga dalam politik bersama lapan prinsip asas.

Ahmad Razif yang baru sahaja memegang jawatan selama sebulan ketika itu, mengumumkan hasrat memacu TTB dan dilihat serius meneruskan misinya hingga menampakkan hasilnya beberapa bulan sahaja selepas itu, ekoran gerakan berterusan dalam memberi pemahaman kepada rakyat.

Hasrat beliau, TTB bukan sekadar suatu pernyataan slogan dan jenama, tetapi ia perlu diterjemahkan bersama jentera kerajaan dan parti agar matlamat akhir benar-benar terarah, membawa lebih banyak kebaikan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Pada Okt tahun lalu pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mencetuskan fenomena TN50, iaitu persediaan sebelum 2050 yang memerlukan pandangan anak muda tentang hasrat mereka dalam menempuh status negara maju.

Ahmad Razif ketika dihubungi Bernama berkata sekiranya misi TTB tercapai, ia sedikit sebanyak mampu memenuhi hasrat yang dilontarkan menerusi TN50 dan lebih membanggakan apabila rakyat Terengganu telah bersedia dalam pelbagai keadaan pada 2050.

"Mencapai matlamat TTB bukan sesuatu yang mudah tetapi ia telah bermula dan telah melekat dalam jiwa rakyat Terengganu. Kami mahu jadi yang terbaik dalam pelbagai aspek. Ia bukan sahaja untuk kerajaan negeri tetapi juga untuk rakyat," katanya yang kadang-kala berseloroh dengan menyatakan TTB bermaksud 'Tak Takut Bini'.

TTB menetapkan lapan prinsip iaitu 'Inklusif, Suara Rakyat Suara Keramat' yang membawa fokus meraikan suara rakyat sebagai input dalam membangunkan negeri, mendengar dan memahami permasalahan rakyat serta membangunkan negeri mengikut acuan yang diperlukan rakyat bukannya kehendak pemimpin.

Menurut Ahmad Razif, TN50 juga menekankan prinsip tersebut dan disebabkan itulah pandangan rakyat terutama pelajar dan belia di seluruh negeri dicungkil dan didengari untuk dikumpul menjadi pemangkin dan asas menuju ke arah 2050.

"Pengisian TTB adalah berdasarkan beberapa cerita kejayaan anak negeri ini yang mampu dijadikan contoh dan rujukan. Begitu juga dengan TN50 yang memerlukan kita merangka apa yang bakal ada pada masa akan datang.

"Di antara yang dijadikan rujukan ialah kejayaan anak negeri dalam pendidikan, prestasi peperiksaan utama negara seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menjadi juara kebangsaan tiga tahun berturut-turut dan mempunyai anak jati negeri yang berpotensi dalam bidang sukan serta akademik," katanya.

Selain itu, prinsip kedua TTB ialah 'Masjid dan Surau Sebagai Sumber Penyatuan' yang memperluaskan fungsi masjid sebagai sumber penyatuan masyarakat dan mengangkat institusi masjid sebagai tempat prasarana pembinaan ummah.

Ketiga, ia meletakkan prinsip 'Keluarga Bahagia Keluarga Sejahtera' iaitu menggalakkan usaha menyubur pembinaan keluarga yang bahagia sebagai asas kesejahteraan rakyat dan menjadikan institusi kekeluargaan unit terpenting dalam pembinaan setiap masyarakat.

Keempat, merupakan 'Integriti, Bersih Dalaman dan Luaran' iaitu penekanan kebersihan dan persekitaran luaran melambangkan budaya rakyat Terengganu manakala kebersihan dalaman pula bermaksud bersih dari sebarang bentuk gejala seperti rasuah, penyelewengan dan ketirisan.

Prinsip kelima, 'Mesra Tapi Tegas' merupakan prinsip yang dilihat remeh oleh sesetengah pihak tetapi ia sebenarnya mempunyai maksud tersirat yang mendalam, iaitu dengan meminta memberi senyuman dan tegur sapa agar memecah tembok persepsi yang menghalang hubungan baik sesama manusia.

Keenam pula ia memberi fokus terhadap 'Disiplin Kerja Yang Tinggi' kerana menganggap perkara tersebut sangat penting untuk pertumbuhan organisasi dan menekankan soal konsisten atau kegigihan dan istiqamah.

Ia mencakupi keperibadian dalam komunikasi yang diharap mampu meningkatkan imej dan keyakinan serta kebolehpercayaan orang lain serta mempunyai disiplin kerja yang tinggi sebagai satu penanda aras mengukur pencapaian prestasi dan produktiviti kerja seseorang.

Ketujuh, merupakan 'Seruan Perpaduan' yang perlu menjadi langkah memperkukuhkan perpaduan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negeri dan negara serta memastikan rakyat bersangka baik terhadap seruan berbaik-baik sesama manusia bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

Terakhir (kelapan) ialah 'Memperkasa Pendidikan', antaranya hasrat memperkasa bidang pendidikan menerusi program penubuhan sekolah pondok moden, program peningkatan bahasa Inggeris dan matematik pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan penubuhan tiga Sekolah Menengah Imtiaz baru di Marang, Setiu dan Kuala Nerus.

Ahmad Razif tidak meletakkan sebarang noktah dalam merancang agenda TTB dan beliau berharap ia akan berterusan hingga mampu meletakkan Terengganu di tahap terbaik dalam semua perkara, selaras dengan kehendak TN50 dan kini beliau giat mempromosi kedua-dua agenda itu, agar rakyat memahami dan menjadi pegangan demi masa depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment