Monday, May 29, 2017

JAMBATAN ALTERNATIF KE KUALA TERENGGANU DIBUKA MULAI SEMALAM

KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) -- Jambatan yang menghubungkan Bandaraya Kuala Terengganu dengan Pulau Sekati yang merentasi Sungai Terengganu mula dibuka semalam.



Jambatan sepanjang enam kilometer yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu dan Losong melalui Pulau Sekati itu merupakan satu lagi laluan alternatif untuk orang ramai ke pusat bandar dengan perjalanan yang lebih cepat dan selesa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan projek tersebut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kerajaan negeri.

Ia ditandatangani antara Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md. Daud dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan serta kontraktor utama Datuk Zainal @ Sharif Ibrahim daripada Zainal @Shariff Ibrahim Sdn Bhd.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman.

Projek bernilai RM245 juta itu menyediakan satu lagi laluan penghubung antara bandar raya ini dengan Daerah Kuala Nerus sekali gus memberikan kelegaan kepada pengguna terutama penduduk kerana mempunyai satu lagi alternatif setelah kesesakan makin ketara di laluan Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir.

Ahmad Razif ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata laluan yang dibuka hari ini adalah sejauh tiga kilometer melibatkan laluan dari Losong ke Pulau Sekati.

"Manakala sebahagian tiga kilometer jambatan itu yang menghubungkan Jalan Banggul Tuan Muda ke Jeram Tok Kong akan dibuka pada 19 Jun ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Sekati, Ramli Man berkata pembinaan jambatan itu memberi kelegaan kepada 250 penduduk kampung itu dalam urusan harian mereka.

"Pembinaan jambatan ini memang dinantikan oleh penduduk di sini memandangkan untuk ke bandar mereka terpaksa melalui jambatan kecil yang hanya boleh dilalui oleh motosikal. Ini menyulitkan bagi penduduk yang mempunyai kenderaan.

"Syukurlan bila jambatan ini dah siap penduduk di kampung ini lebih mudah untuk berulang alik ke bandar dan masa pun boleh dijimatkan," katanya.

Sementara itu Pengerusi Gerakan Belia 4B Kampung Pulau Sekati, Mohd Hafez Harun berkata pembinaan jambatan itu dilihat mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi kampung itu kerana ia mempunyai nilai estetika tersendiri khususnya sebagai tarikan pelancongan baharu di Kuala Terengganu.

"Kampung Pulau Sekati ini banyak kelebihan jika dimajukan sebagai tarikan pelancongan. Di samping keindahan suasana kampung yang menjadi buruan lensa kamera pencinta seni fotografi ia juga mempunyai sejarah dan warisan yang masih belum diketahui umum," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment