Saturday, May 27, 2017

MB MAHU RAKYAT LIPATGANDAKAN AMALAN DI BULAN RAMADHAN

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mahu rakyat yang beragama Islam di negeri ini memanfaatkan dan melipatgandakan amalan dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, kedatangan bulan yang mulia ini perlu diambil kesempatan oleh rakyat negeri ini dengan menghidupkan amalan di masjid-masjid dan surau-surau.

"Ia selaras dengan prinsip kedua Transformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu masjid dan surau, Sumber Penyatuan telah menyemarakan lagi wadah memperkukuhkan semangat solidariti yang menjadi teras kepada terciptanya 'kisah kejayaan' kebanggaan rakyat," katanya dalam perutusan sempena kedatangan bulan Ramadan yang disiarkan di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Razif dalam pada itu meminta bulan Ramadan ini dijadikan sebagai panduan untuk melatih diri menjadi insan yang penyabar dan mampu menghadapi setiap permasalahan dengan baik, sesuai dengan tuntutan agama.

"Ramadan disebut juga dengan syahrus shabr kerana pada bulan ini umat Islam dilatih untuk bersabar. Terdapat tiga jenis sabar dalam ibadah puasa iaitu; sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT, sabar dalam meninggalkan yang diharamkan oleh-Nya, dan sabar dalam menghadapi musibah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment