Wednesday, May 24, 2017

YANG DITAHAN TIDAK BERPUASA AKAN DIBERI KAUNSELING





KUALA TERENGGANU, 23 Mei (Bernama) -- Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) akan mengadakan sesi kaunseling ke atas umat Islam yang ditahan kerana tidak berpuasa semasa Ramadan.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata pihaknya akan menahan mereka tetapi bukan dengan dibawa menaiki van jenazah seperti yang dibuat di setengah-setengah tempat kerana ia akan menjatuhkan maruah dan memalukan umat Islam sendiri.

Tetapi kita tahan mereka dan bawa ke pejabat agama untuk diberi kaunseling untuk menyedarkan mereka berhubung ibadat puasa," kataya pada majlis Ihya' Ramadan serta pengagihan bantuan kepada masjid dan surau seluruh negeri yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong.

Wan Mohd berkata tahun lepas, tidak ramai orang Islam yang ditahan kerana tidak berpuasa dan bagi memeriahkan sambutan Ramadan ini, JHEAT turut mengatur pelbagai program terutama di masjid dan surau.

Katanya, JHEAT menyediakan peruntukan kira-kira RM900,000 untuk diagihkan kepada 506 masjid dan surau di seluruh negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti mengadakan majlis berbuka dan ceramah agama.

Setiap masjid menerima antara RM1,000 dan RM2,000 bergantung kepada besar atau kecil masjid berkenaan manakala bagi surau pula sebanyak RM300.

-- BERNAMA

 

No comments:

Post a Comment