Wednesday, May 10, 2017

TATIUC IDAMAN INN MAHU SETARAF DENGAN HOTEL UNIVERSITI LAIN

KEMAMAN, 10 Mei (Bernama) -- Kolej Universiti TATI (TATIUC) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Terengganu mahu memperluaskan lagi peranannya dalam sektor perhotelan melalui proses penjenamaan semula Hotel TATIUC kepada nama baharu iaitu TATIUC Idaman Inn.

Rektor TATIUC, Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata ketika ini kebanyakan universiti lain mempunyai hotel atau penginapan khas kepada masyarakat luar seperti Hotel UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun (gambar) dan Shah Alam, RHR Hotel (Uniten) dan Hotel Puri Pujangga (Universiti Kebangsaan Malaysia).

"Oleh itu, TATIUC Idaman Inn juga berhasrat untuk mengikut jejak langkah universiti berkenaan. Walaupun TATIUC Idaman Inn belum mencapai taraf hotel universiti berkenaan tetapi suatu hari nanti kita berharap kita mampu mencapai taraf seperti mereka.

"Sehingga kini, TATIUC Idaman Inn telah digunakan semasa majlis tertentu seperti konvokesyen TATIUC, penempatan peserta gamelan, keluarga pelajar dan juga pegawai-pegawai yang terlibat dalam majlis tersebut dan penjenamaan semula ini diharap melonjakkan lagi kecemerlangan TATIUC pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pelancaran penjenamaan semula hotel itu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abdul Rahman di sini Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zamri berkata pada asalnya, Hotel TATIUC dibina bertujuan untuk memberi kemudahan penginapan kepada peserta kursus dari TATIUC, Ruane TATI dan Pusat Latihan Keselamatan Terengganu (TSTC).

"Bangunan ini mula dibina pada 20 Nov 2007 dan siap sepenuhnya pada Mei 2009 menggunakan peruntukan kewangan TATIUC.

"Jarak penginapan yang bersebelahan dengan kelas kursus memberikan banyak kelebihan kepada peserta terutama dalam menjimatkan kos pengangkutan ke tempat kursus dan seiring penambahbaikan kemudahan yang ditawarkan, sudah tiba masanya hotel ini dijenamakan semula untuk perkhidmatan lebih baik," katanya.

Ketika ini, TATIUC Idaman Inn mempunyai lima bilik untuk keluarga (Family Unit) berharga RM47.70 sehari dan 40 bilik single berharga RM31.80 serta RM53 untuk bilik single berhawa dingin (terhad dua bilik).

"Family Unit dilengkapi dengan dua bilik, satu bilik air, ruang keluarga serta ruang dapur manakala single unit dilengkapi dua tilam bujang serta meja dan almari.

"Kawasan TATIUC Idaman Inn juga disediakan kemudahan wifi percuma mengikut keperluan terkini, malah kami akan mewujudkan sebuah bilik seminar khas untuk disewakan kepada syarikat luar," katanya.

Sementara itu, Bazlan yang juga Pengerusi Lembaga Pentadbir TATIUC berkata kerajaan negeri Terengganu akan terus memperkukuhkan lagi peranan TATIUC sebagai sebuah kolej universiti kemahiran teknikal yang terkenal di negara ini.

"Penjenamaan semula hotel ini adalah permulaan yang lebih baik kepada TATIUC untuk terus dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sahaja sebagai pengeluar tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah turut terkenal dengan kemudahan hotelnya yang terbaik.

"Kerajaan negeri akan terus menyokong hasrat TATIUC untuk menjadikan hotel ini setaraf dengan hotel universiti yang lain dalam masa terdekat melalui pelbagai program yang akan dirancang dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment