Monday, September 12, 2016

SAH HISTERIA BERLAKU DI SEKOLAH DI MARANG





KUALA TERENGGANU - Sesi pembelajaran di sebuah sekolah menengah di daerah Marang pada Khamis, 8 September (kelmarin) terganggu apabila 19 pelajar perempuan dan seorang guru wanita diserang histeria.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, ia dikatakan berpunca daripada seorang pelajar yang tiba-tiba menjerit semasa sesi pembelajaran di dalam kelas sebelum ditenangkan seorang guru yang kemudiannya turut diserang histeria.

Kejadian berlarutan apabila seorang demi seorang pelajar turut menunjukkan perlakuan sama sebagaimana pelajar yang terkena histeria sehingga melibatkan 19 orang pelajar kesemuanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi
 mengakui dan mengesahkan kejadian yang diviralkan di dalam laman Facebook dan juga aplikasi talian WhatsApp itu.

Bagaimanapun, pihaknya belum mengenal pasti punca kejadian yang menyebabkan berlakunya histeria terbabit.

“Ia pada awalnya melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan lima sahaja yang dikatakan mula menjerit, dan seorang guru pula bertindak untuk menenangkan keadaan. Namun guru tersebut juga turut terkena (histeria) dan berjangkit kepada pelajar-pelajar lain pula.

“Walau bagaimanapun, keadaan terkawal (histeria) apabila ustaz dan para guru di sekolah tersebut segera membaca ayat-ayat Al-Quran sebagai ikhtiar menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pelajar-pelajar dibenarkan pulang kira-kira jam 12 tengahari dan dijemput ibu bapa masing-masing.

Katanya, bagi mengelak kejadian makin parah, pihak sekolah turut mengadakan solat hajat pada hari kejadian.

No comments:

Post a Comment