Monday, September 26, 2016

JAKIM MAHU DAPATKAN PENJELASAN DARI RISDA



KUALA LUMPUR 25 Sept. – Logo halal baharu hanya boleh digunakan setelah mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam negeri.


Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata, peraturan itu turut berkuat kuasa terhadap produk keluaran Muslim yang dihasilkan usahawan-usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menurut beliau, langkah itu penting agar tidak bercanggah de­ngan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang melarang pengisytiharan halal tanpa mendapat pengesahan pihak berkuasa berwibawa.

“Sekiranya Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan RISDA berhasrat untuk terus mengeluarkan logo halal baharu tersebut kepada produk Muslim keluaran usahawan RISDA, maka ia adalah bercanggah dengan Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Perintah 2011.

“Akta tersebut jelas menyatakan bahawa hanya JAKIM, Jabatan Agama Islam negeri atau Majlis Agama Islam negeri sahaja yang merupakan pihak berkuasa berwibawa dalam mengeluarkan pengesahan halal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi RISDA. Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan, IKIAM dengan kerjasama RISDA akan melancarkan logo halal baharu khusus bagi produk keluaran Muslim awal tahun depan.

Othman memberitahu, langkah ini penting bagi menge­lakkan semua pihak termasuk individu atau syarikat tidak mengeluarkan sijil halal dengan sewenang-wenangnya.

“Jakim akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada RISDA berkaitan hasrat untuk mengeluarkan logo halal baharu tersebut,” jelasnya.



No comments:

Post a Comment