Thursday, September 1, 2016

MAHKAMAH BEBASKAN DATO ISMAIL YAHYA



Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam melepas dan membebaskan bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu yang didakwa menghina dan mempertikaikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta arahan Sultan Terengganu berhubung penstrukturan semula MAIDAM.

Hakim Syarie Mohd Nazri Yusof membuat keputusan ke atas Datuk Ismail Yahya, 60, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Kes itu merupakan kes pertama seumpamanya di negeri ini dan dalam penghakimannya, Mohd Nazri berkata keterangan beberapa saksi pendakwaan adalah lemah dan dokumen yang diserahkan juga tidak lengkap malah ada saksi penting yang tidak dipanggil.

Mengenai dakwaan bahawa Ismail bertindak menghina MAIDAM melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu Datuk Mazlan Ngah, Mohd Nazri berkata perkataan 'maksiat' yang dinyatakan dalam surat itu hanyalah suatu contoh pandangan daripada ahli fiqh bagi merujuk kepada perbuatan melanggar perintah Allah dan bukannya pendapat peribadi tertuduh untuk menghina MAIDAM.

Tambahnya, surat itu juga jelas ditujukan kepada SUK ketika itu agar menjawab persoalan yang ditimbulkan Ismail dan bukannya mempertikaikan sesuatu.

Beliau juga berpendapat SUK sepatutnya merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang kerana persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai penstrukturan semula yang turut membabitkan Mahkamah Syariah.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula Mei lalu, pihak pendakwaan memanggil lapan orang saksi termasuk Mazlan dan beberapa pegawai kanan MAIDAM.

Ismail didakwa pada 27 Okt 2013 atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan pada 29 Okt 2012 di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu.

Bagi pertuduhan pertama, Ismail didakwa bertindak secara bertulis menghina MAIDAM melalui suatu surat yang dihantar kepada setiausaha kerajaan (SUK) Terengganu di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu.

Dalam surat itu, kata-kata yang ditulis seperti; "Oleh yang demikian jelas kelihatan bahawa usaha MAIDAM untuk mengambil alih dan meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya adalah merupakan satu usaha ke arah melakukan perbuatan maksiat. Adalah menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang bertanggungjawab supaya tidak memberi sokongan ke atas usaha sedemikian itu".

Bagi pertuduhan kedua di lokasi dan tarikh yang sama, tertuduh juga didapati bertindak secara bertulis melalui suatu surat yang ditujukan kepada SUK mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai Ketua Agama Islam yang telah mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baharu Institusi Pentadbiran pejabat MAIDAM sebagaimana yang dinyatakan dalam minit mesyuarat MAIDAM kali ke-5 pada 21 Okt lalu.

Antara kata persoalannya; "Adakah cadangan yang hendak dilaksanakan MAIDAM itu bermaksud mahu mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? Seterusnya timbul pula persoalan apakah hukumnya mengikut Hukum Syarak mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran?".

Selain itu, tertuduh turut menyoal; "Adakah tindakan MAIDAM yang sedang berusaha dan bersungguh-sungguh mahu meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya itu, bererti tidak mahu mengikuti Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang yang tersedia dalam negara kita baik pada peringkat negara mahupun peringkat negeri?".

Ismail dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah manakala Ismail diwakili peguam syarie Saadiah Din dan Datin Rubiah Jaafar.

No comments:

Post a Comment