Sunday, September 18, 2016

PM LANCAR KEMPEN MULAKAN HARI ANDA DENGAN MADU



PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan kempen 'Mulakan Hari Anda Dengan Madu' bagi menggalakkan pengambilan madu tempatan setiap hari sebagai makanan kesihatan tambahan bagi rakyat Malaysia.

Kempen itu bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai nilai-nilai nutrien dan manfaat madu dalam membantu mengekalkan kesihatan dan meningkatkan kecergasan diri, menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Malaysia akan mengadakan promosi secara besar-besaran supaya madu kelulut Malaysia diterima di peringkat Pertubuhan Makanan dan Pertanian sebagai 'super food' Malaysia yang pertama.

"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) kini dalam proses menggariskan satu standard bagi madu kelulut Malaysia supaya ia boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa sebagaimana madu manuka dari New Zealand.

"Standard yang digariskan Mardi juga akan membantu pengguna membezakan madu yang asli dan tidak asli," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen itu.



Najib melihat produk madu kelulut diiringi Ahmad Shabery


Ahmad Shabery berkata bagi mempromosikan khasiat dan kebaikan madu kelulut di seluruh negara, program Kelulut Walk akan bermula pada Hari Sukan Negara iaitu 8 Okt depan.

Dalam program Kelulut Walk, seorang pengguna madu kelulut Sabri Ali, 55 akan menjadi duta kelulut dengan berjalan sejauh 2,000 km merentasi 14 negeri selama 50 hari sebagai testimoni kepada khasiat kelulut untuk kesihatan dan kecergasan.

Jelas Ahmad Shabery, Sabri bukan sahaja menggunakan madu kelulut sebagai makanan tetapi merawat kakinya yang melecet atau sebarang luka dengan menyapu madu kelulut.

Sepanjang program Kelulut Walk berlangsung, orang ramai boleh turut sama berjalan dengan Sabri sama ada untuk jarak 10km, 5km atau 1 km, katanya lagi.

Sabri ketika ditemui pemberita berkata sejak mengamalkan madu kelulut sebagai makanan kesihatan tambahan, tahap kesihatan dan kecergasannya meningkat dan beliau tidak perlu terlalu menjaga atau berpantang makan.

Kelulut Walk 2016 dianjurkan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Antarabangsa 2016 yang akan berlangsung dari 1 hingga 11 Dis di Serdang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment