Friday, September 2, 2016

KEMPEN 1011 UNTUK MENANGI EMPAT PARLIMEN

MARANG, 2 Sept (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) menyasarkan untuk menang di kawasan Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusinya Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar berkata satu modul khas sedang disiapkan untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menang di kawasan itu selain mengekalkan kemenangan di empat Parlimen sedia ada.

"Tumpuan kepada empat Parlimen itu dikenali sebagai Kempen '1011' yang mewakili bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pada pilihan raya lepas iaitu satu di Kuala Nerus, tiada kerusi di Kuala Terengganu dan masing-masing satu kerusi DUN di Marang dan Dungun," katanya menyampaikan ucapan alu-aluan
di majlis persidangan perwakilan Umno Bahagian Marang.

Sementara itu, pemimpin UMNO perlu menonjolkan kesepaduan dalam perjuangan dan bukannya persengketaan supaya ia dicontohi generasi muda, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika merasmikan persidangan perwakilan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata dalam keadaan negara yang berdepan dengan pelbagai ancaman keganasan dan kemelut ekonomi, pemimpin juga harus menjadi model yang terbaik dan sentiasa setia dalam satu pasukan.

Katanya, dengan kesepaduan itu, rakyat akan terus menaruh harapan dan kepercayaan bagi membolehkan negara ini diterajui kepimpinan Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment