Thursday, September 22, 2016

MAMPUKAH RAZIF MENANGKAN 25 KERUSI?



Pada PRU-13, BN Terengganu hanya menang 17 kerusi daripada 32 kerusi DUN, namun di bawah kepimpinan Ahmad Razif ada kalangan pemerhati politik yakin BN Terengganu mampu menguasai sehingga 25 kerusi.

Daripada jumlah kerusi sedia ada, lapan kerusi DUN boleh dimenangi semula kerana majoriti diperoleh pembangkang tidak sampai 1,000 undi, malah di DUN Teluk Pasu hanya kalah dengan 109 undi.

Selain DUN Teluk Pasu yang BN kalah tipis, DUN Rantau Abang juga begitu iaitu kalah dengan 141 undi, Tepoh (229), Manir (588), Bukit Payung (613), Alor Limbat (645), Bukit Tunggal (652) dan Ladang (924).

BN dilihat mampu menukar cuaca politik agar tidak dilanda bah besar dan mengelak daripada hanyut, malah dapat bangkit secara lebih meyakinkan dalam PRU-14 dengan calon yang benar-benar diterima rakyat setempat dan bukannya sekadar kroni bagi mengukuhkan kedudukan sesiapa sehingga sulit untuk mengangkat pemimpin berwibawa.

Jika Razif menonjolkan calon mesra rakyat sudah pasti Razif mampu menawan 25 kerusi daripada 32 kerusi DUN. Jika berlaku pertandingan empat penjuru antara BN dengan PAS dengan Amanah dan PPBM, maka calon BN mempunyai banyak kelebihan.

Sebaliknya jika pertandingan dua penjuru antara BN dengan Pakatan Rakyat maka harapan BN untuk mengekalkan kerajaan agak sukar. Namun demikian mustahil PAS memberi laluan kepada Amanah atau PPBM atau PKR bertanding di kerusi tradisional mereka.

Malah pada PRU 13 lalu, sudah sepakat PKR bertanding di Bukit Besi tetapi calon PAS turut bertanding yang menyebabkan calon PKR menyaman Presiden PAS, Haji Hadi Awang. PAS kali ini mahu bertanding sendirian tanpa pertolongan Pakatan Harapan. Malah selama ini pun jentera PAS yang buat kerja untuk calon PKR yang menyebabkan PAS yakin mereka mampu menang secara sendirian tanpa pertolongan Pakatan Harapan.

Dalam menghadapi pembangkang, Razif perlu mengekalkan calon mesra rakyat tanpa mengambil kira calon itu penyokongnya atau tidak kerana yang penting BN mahu mengekalkan kuasa. Jika Razif mampu memberi keputusan yang lebih baik dari Ahmad Said, ini bermakna selama ini BN Terengganu terumbang ambing bukan kerana rakyat menolak BN tetapi rakyat menolak Ahmad Said dalam PRU yang lepas.

Justru itu PRU akan datang adalah penentu utama karier politik Razif sama ada perlu kekal di negeri atau pindah ke pusat.

No comments:

Post a Comment