Saturday, September 10, 2016

JANGAN SENTIMENTAL DENGAN BEKAS PEMIMPIN

DUNGUN, 10 Sept (Bernama) -- Anggota UMNO diminta tidak terlalu 'sentimental' dan berasa terhutang budi dengan beberapa pemimpin UMNO terdahulu yang kini berpaling tadah.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemimpin tersebut kini bukan sahaja tidak lagi bersama UMNO malah turut bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan UMNO.

"Kita tidak nafikan pemimpin berkenaan satu ketika dahulu banyak berjasa terhadap parti dan kepimpinan negara, namun mereka juga antara pihak yang bersama-sama dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan UMNO.

"Jadi saya harap agar anggota UMNO tidak lagi bernostalgia dengan apa yang mereka lakukan dahulu kerana kini perjuangan sudah berbeza," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Dungun, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Din Adam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sehubungan dengan itu mahu semua anggota UMNO bangkit mempertahankan UMNO dan menyokong kepimpinan semua ada bagi memastikan parti tersebut dapat meneruskan agenda memajukan negara, agama dan kepentingan bangsa Melayu.

Katanya, tindakan menubuhkan parti baharu yang diterajui bekas pemimpin UMNO tersebut iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad jelas menunjukkan manisfestasi perpecahan kaum Melayu dalam politik di negara ini.

Ini sebahagian daripada agenda pihak pembangkang yang tidak mahu UMNO kuat, kerana mereka sedar kaum Melayu akan terus maju dan kuat jika UMNO terus menjadi parti yang kuat di negara ini.

"Kita percaya hanya UMNO yang mampu membawa bangsa Melayu ke arah mercu kegemilangan. Jadi kuasa yang ada pada kita sekarang ini perlu kita teruskan dan pertahankan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment