KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan beberapa insentif untuk warga kerja Telekom Malaysia Berhad (TM) termasuk berkaitan cuti,
pendidikan dan kesihatan dalam usaha memenuhi indeks kebahagiaan mereka.
Perdana menteri berkata insentif berkenaan diberikan pengurusan syarikat telekomunikasi itu supaya kakitangannya sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas.
"Jika ada warga TM yang mengandung (misalnya), mereka boleh balik satu jam lebih awal daripada biasa. Pelepasan itu adalah sesuatu yang inovatif," katanya ketika berucap pada Sesi Jom Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Selain itu, Najib berkata warga TM turut diberi cuti ihsan untuk menguruskan hal keluarga seperti kelahiran cucu dan untuk membawa ibu bapa dan anak menjalani rawatan kesihatan.
"Bagi warga 'senior' yang baru mendapat cucu, kita khaskan tujuh hari untuk mereka melawat cucu. Ini agak menarik," katanya.
Najib turut mengumumkan insentif rawatan pergigian dan perubatan kepada kakitangan eksekutif bernilai antara RM500 ke RM700 manakala bukan eksekutif antara RM250 dan RM500.
Untuk manfaat pendidikan pula, warga TM berhak mendapat biasiswa daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.
"Bagi mereka yang ada anak menuntut di MMU (Universiti Multimedia Malaysia), mereka layak mendapat diskaun pinjaman pendidikan sebanyak 35 peratus.
"Bagi pelajar yang mendapat keputusan dengan kepujian kelas pertama pula, bayaran pinjaman akan dikecualikan," katanya.
Dalam ucapannya, Najib turut melahirkan penghargaan kepada TM terhadap kejayaan melaksanakan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan sumbangan terhadap pembangunan industri telekomunikasi negara.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment