Saturday, September 2, 2017

HILANGNYA SATU LAGI KETURUNAN DAENG MENAMPUK

KUALA TERENGGANU: Bekas Setiausaha Umno Bahagian Kuala Terengganu,  Abd Latif Mohamad yang meninggal dunia dua hari lepas adalah calon BN bagi DUN Wakaf Mempelam pada PRU 1986.

Pada tahun tersebut beliau tewas dengan majoriti 105 undi kepada calon PAS, Mustafa Ali. Mustafa mendapat 4,702 undi manakala Abd Latif mendapat 4,597 undi.

Pada PRU 1990 sekali lagi beliau terpilih sebagai calon BN di Wakaf Mempelam. Kali ini beliau kalah dengan majoriti 1,163 undi kepada muka baru calon PAS, Abdul Wahid Endut. Abdul Wahid mendapat 6,383 undi manakala Abd Latif mendapat 5,220 undi. Manakala calon Bebas, Wan Deraman Wan Nik mendapat 104 undi.

Setelah tiga kali PRU, 1995, 1995 dan 2004, anak saudara Cikgu Abd Latif, Othman Awang  terpilih sebagai calon BN di Wakaf Mempelam pada PRU 2008. Beliau kalah kepada Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,193 undi. Abdul Wahid mendapat 9,645 undi manakala Othman mendapat 7,452 undi.

Dengan meninggalnya Cikgu Abd Latif, maka hilang satu orang lagi keturunan Daeng Menampuk yang memahkotakan Sultan Terengganu yang berasal dari kerabat Sultan Johor. Daeng Menampuk berasal dari Makasar, Sulawesi adalah orang Bugis yang mana keturunannya yang membuka Kampung Paloh (sila baca http://todayterengganu.blogspot.my/2016/12/mencari-keturunan-daeng-menampuk.html bertarikh 19 Disember 2016)

Saudara mara Cikgu Abd Latif majoritinya berada di Kampung Paloh dan beliau bersama arwah Othman berasal dari Kampung Paloh Padang. Salah seorang dua pupu Cikgu Abd Latif ialah calon PAS, Md Azmi Lop Yusof  yang menang dalam PRU 1999.

Cikgu Abd Latif yang meninggal dunia pada hari kebangsaan, 31 Ogos lalu dikebumikan pada pagi hari raya Aidil Adha 1 September semalam yang mana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengiringi jenazahnya ke kubur di Masjid Hiliran, Kuala Terengganu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Cikgu Abd Latif. Al Fatihah.


1 comment:

  1. Salam tuan. Terima kasih atas catatan ini. Arwah adalah ayah saya. Semoga arwah ditempatkan bersama orang2 soleh.

    ReplyDelete