Wednesday, September 13, 2017

TERENGGANU BELANJA RM3 JUTA HANTAR PELAJAR KE LONDON

KUALA TERENGGANU, 13 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM3 juta bagi menghantar enam anak kelahiran negeri ini mengikuti Program Berkembar Nottingham University di United Kingdom tahun ini.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata enam pelajar tersebut akan mengikuti bidang farmasi, kejuruteraan elektronik dan elektrikal, nutrisi, pengurusan akaun dan kewangan.

"Kesemua mereka menerima tajaan purata RM500,000 sepanjang pengajian A Level dan doktor falsafah (PHD). Diharap kesemua mereka dapat menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang dan menyumbang pula ke arah pembangunan negeri.

"Mana-mana pelajar anak Terengganu yang memperolehi keputusan cemerlang, hafaz 30 juzuk dan menerima tawaran kemasukan ke universiti yang tersohor juga akan diberi keutamaan menerima tajaan seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Program Saintis Islam dan Program Berkembar ke United Kingdom (UK) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.



Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Setakat ini terdapat 308 pelajar sedang menyambung pengajian di luar negara melibatkan tajaan sebanyak RM22,358,691.

Daripada jumlah itu, 92 pelajar menyambung pengajian ke Rusia, Jordan (72), Indonesia (53), United Kingdom (41), Mesir (26), Jerman (17), Australia (dua) dan masing-masing satu di Amerika Syarikat dan Maghribi.

Sementara itu, penerima biasiswa Al wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Muhammad Nur Irfan Mohd Zameri, 20, yang akan mengikuti Program Saintis Islam Terengganu Kohort 1 2017 dengan biasiswa RM854,000 berazam akan melakukan yang terbaik sebagai saintis Islam pertama negeri itu.

"Saya cuba sedaya upaya untuk menyeimbangkan semua aktiviti luar dan dalam kelas agar kekal cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, saya juga akan membaca sehelai-helainya satu muka surat al-Quran setiap hari.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment