KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Seramai 20 pendaki termasuk pengamal media Terengganu bakal menawan puncak Rante Mario, Gunung Latimojong, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 30 Sept hingga 6 Okt ini.
Kembara anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan) itu turut disertai wakil Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Pendaki Everest Terengganu dan Kelab Eksplorasi Terengganu dijangka mula mendaki puncak tertinggi, di Sulawesi Selatan, setinggi 3,487 meter itu pada 3 Okt ini.
Ekspedisi selama enam hari itu akan diketuai Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu Leftenan Kol (PA) Che Adam A Rahman.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program yang julung kali diadakan ini dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan Terengganu bersama Provensi Sulawesi menerusi program pendakian gabungan dua kerajaan ini.
Katanya secara tidak lansung ia juga dapat meningkatkan sektor pelancongan Terengganu dengan negara tersebut khususnya wilayah Sulawesi Selatan.
Ahmad Razif berkata ini adalah satu lagi transformasi, iaitu misi yang akan membawa nama Terengganu ini, julung kali dianjurkan dan menariknya aktiviti ini melibatkan peserta dalam kalangan media.
"Kerajaan negeri menyokong dan menyambut baik langkah yang dilaksanakan khususnya pengamal media Terengganu dalam sama-sama membantu kerajaan menaikkan imej Terengganu menerusi pelbagai inisiatif.
"Semoga kembara Terengganu De Latimojong ini dapat menjadi wadah dan memberi impak yang positif dalam jalinan dua hala ini dan mengingatkan pendaki supaya sentiasa mementingkan keselamatan sepanjang melakukan aktiviti itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Larian Jambatan Sultan Mahmud 2017 di Dataran Batu Buruk, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman, Rozainah Zakaria berkata ekspedisi ini bertujuaan mewujudkan integrasi silang budaya antara wilayah Sulawesi Selatan dan Terengganu.
"Menerusi ekspedisi pendakian gunung luar negara ini sekali gus mendukung satu daripada lapan prinsip TTB yang berteraskan komitmen tinggi dalam misi dan visi," katanya.
Beliau berkata selain itu menerusi aktiviti seperti ini, ia dapat membantu meningkatkan prestasi, mental dan fizikal sejajar dengan keperluan profesion sebagai wartawan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment