Thursday, September 21, 2017

TRAGEDI KEBAKARAN YANG PALING MENYAYAT HATI SEPANJANG 31 TAHUN BERTUGAS



KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Hari ini genap seminggu kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalam Keramat hujung di sini. Tragedi yang meragut 23 nyawa Khamis lepas masih menghantui fikiran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat dan penduduk setempat yang berusaha membantu.

Laungan meminta tolong mangsa serta saat-saat cemas awal pagi itu sukar dilupakan mereka yang melihat tragedi ngeri, yang disifatkan paling buruk selepas kejadian kebakaran Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumat, Yan, Kedah, 28 tahun lalu.

Pegawai bomba Osman Aziz, 25, berkata pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat adalah yang pertama tiba di lokasi kejadian ketika api sedang marak pada kira-kira 5.40 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami terdengar suara meminta tolong di tepi bangunan dan alangkah terkejutnya apabila kami mendapati terdapat lelaki dewasa sedang mendukung kanak-kanak tersangkut pada dinding ketika cuba turun dari bangunan.






"Saya diarahkan memanjat tangga bomba untuk menyelamatkan kanak-kanak itu. Pada masa sama, kami diberitahu ada seorang wanita bersama dua lagi kanak-kanak terperangkap di dalam bangunan, yang berjaya kami selamatkan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Osman berkata operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran itu sungguh mencabar pasukannya berikutan keadaan yang gelap dan berasap tebal.

Berbekalkan alat pernafasan serta lampu suluh, Osman berkata beliau tidak berhenti berzikir dan melaungkan 'Allahu Akbar' apabila menemui mayat pelajar yang terkorban dalam keadaan bertindih dan berkumpul di kiri dan kanan bilik itu.






"Saya tidak dapat menahan sedih kerana terbayangkan adik saya yang belajar di sekolah tahfiz di Marang, Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Abd Shukor yang mengetuai operasi itu memberitahu Bernama, kejadian itu adalah tragedi kebakaran paling menyayat hati yang pernah beliau hadapi sepanjang 31 tahun perkhidmatannya dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Saya perlu tetap menguatkan semangat dan berharap semua anggota bomba juga kuat semangat apabila berhadapan kecemasan walaupun terdapat halangan ketika operasi," katanya yang sebak mengenangkan kejadian itu.

Suhaimi juga pernah terlibat dalam beberapa operasi menyelamat yang sukar seperti tragedi runtuhan kondominium Highland Towers pada 1993 dan kejadian enam anggota keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar terbunuh dalam tragedi menyayat hati apabila banglonya dihempap tanah runtuh di Taman Hillview, Ampang pada 2002.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Syazwani, 25, berkata ketika kejadian, beliau sedang bersiap untuk ke tempat kerja sebelum terus bergegas ke pusat tahfiz untuk membantu selepas dimaklumkan oleh jiran.

"Rumah saya dekat dengan pusat tahfiz, apabila tiba saya tergamam dan memang api sangat marak, saya dengar mereka meminta tolong. Ada penduduk setempat cuba membantu tetapi tidak dapat kerana api marak dan sangat bahaya," katanya.

Syazwani berkata tragedi itu memberi kesan mendalam terhadap dirinya kerana setiap pagi beliau akan teringat-ingat kejadian berkenaan.

"Saya yang bukan ahli keluarga mangsa juga terkesan, saya harap mereka (ahli keluarga) semua tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata kini tiada lagi keriuhan pelajar-pelajar tahfiz itu bermain di sekitar Taman Rekreasi Datuk Keramat.

"Kadang-kadang mereka (pelajar tahfiz) akan keluar 'outing' bersama warden. Memang meriah dan riuh-rendah apabila mereka bermain sekitar taman rekreasi," katanya yang tinggal berdekatan taman rekreasi itu.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati orang awam masih berkunjung ke lokasi itu bagi menzahirkan rasa simpati serta menghulurkan sumbangan.

Peristiwa tragis itu menyentuh hati banyak pihak bahkan ramai tampil memberi sumbangan, termasuk orang bukan Islam yang dilihat menziarahi pusat tahfiz itu untuk melihat sendiri lokasi kejadian.

Khamis lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap di asrama tersebut dalam tragedi kebakaran 5.15 pagi.

Susulan tragedi itu, tujuh remaja berumur antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Kesemua remaja berkenaan masih ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment