Saturday, September 30, 2017

SISWAZAH MENGANGGUR DIPELAWA SERTAI TGTP

KUALA TERENGGANU, 27 Sept (Bernama) -- Pelajar lepasan universiti awam atau mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang masih menganggur dipelawa menyertai latihan di bawah Program Transformasi Graduan Terengganu (TGTP).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata melalui program itu, tujuh bidang latihan ditawarkan kepada mereka yang berminat iaitu pengurusan, pertanian, pembinaan/pembuatan, usahawan, pelancongan, perikanan dan penternakan.

"Mereka yang terpilih mengikuti program ini nanti akan ditempatkan di bawah syarikat-syarikat milik kerajaan negeri (GLC) dalam tempoh enam bulan dengan pemberian elaun sebanyak RM1,000 sebulan.

"Jadi, kita pelawa graduan agar membuat permohonan berdasarkan minat mereka untuk memilih mana-mana tujuh bidang yang ditawarkan itu dan permohonan terbuka kepada semua anak negeri berusia 20 tahun ke atas mulai 1 Okt," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek pembayaran dividen dan perkongsian keuntungan oleh Kumpulan TDM Berhad kepada agensi-agensi kerajaan negeri di sini Rabu.

Ahmad Razif berkata program TGTP itu akan diuruskan oleh Kolej Pusat Pembangunan dan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) dengan kerjasama GLC negeri.

"Objektif program ini ialah untuk memberi latihan kemahiran kepada siswazah menganggur agar mereka dapat menimba pengalaman bekerja di mana-mana syarikat milik kerajaan negeri mahupun swasta.

"Sekiranya mereka menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, sudah pasti mereka akan diserap sebagai petugas tetap di syarikat itu nanti, dan inilah matlamat kita dalam aspek menyediakan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu," katanya.

Selain pekerjaan, dua fokus utama kerajaan negeri ketika ini ialah meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat, dan menyediakan pemilikan rumah yang selesa untuk rakyat Terengganu.

Sehubungan itu, mana-mana graduan yang berminat menyertai TGTP boleh melayari portal http://tgtp.terengganu.gov.my/ untuk maklumat lanjut, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment