Saturday, September 23, 2017

MOA MAHU LAHIRKAN RAMAI JUTAWAN AGRO MAKANAN

KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan sektor agro makanan akan menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ketika ini sumbangan sektor agro makanan kepada KDNK negara adalah 3.3 peratus atau RM36 bilion pada tahun 2016.

"Bagi saya ia adalah angka yang kecil kerana kita masih lagi bergantung kepada import dan kita tidak mengeluarkan untuk eksport dalam bentuk yang lebih besar lagi.

"Sebab itu saya bercakap dengan rakan-rakan peladang dan rakan-rakan di kementerian untuk merangka satu rancangan yang lebih besar supaya kita dapat meningkatkan sumbangan ini kepada lima peratus menjelang tahun 2025," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Negeri kali ke-43 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kementeriannya akan memberi fokus kepada beberapa bidang baharu yang boleh merealisasikan matlamat lima peratus KDNK itu di samping melahirkan ramai jutawan dalam bidang agro makanan.

No comments:

Post a Comment