Monday, September 11, 2017

OTHMAN TAK SANGKA ANAK MURIDNYA JADI MB

CHUKAI: Seorang guru, Othman Husin, 84 tahun, tidak sangka anak muridnya menjadi Menteri Besar Terengganu.

Ketika ditemui di Pejabat Daerah Kemaman di sini semalam, beliau tidak sangka Datuk Seri Razif Abdul Rahman masih mengingati wajahnya ketika beliau melawat Kemaman tahun lepas.

Menurut Othman, Razif terus peluk beliau dan berkata, " Cikgu Man!" dan Razif pelawanya minum bersama rombongannya di sebuah kedai makan.

Razif bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail pada tahun 1973 hingga 1974 dalam darjah dua dan tiga ketika ayahnya Ustaz Abdul Rahman menjadi guru pelawat agama Islam. beliau sempat bersekolah di Kemaman selama dua tahun sahaja kerana selepas itu ayahnya ditukarkan ke Kuala Terengganu.

Othman yang mengajar semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris dan Agama Islam masih ingat perwatakan Razif yang aktif di sekolah dan cemerlang dalam pelajaran.

Beliau yang bersara pada tahun 1988 telah menerima anugerah Tokoh Guru peringkat daerah pada tahun lepas. Ketika ditanya apa rahsia beliau panjang umur, Othman berkata kena cukup tidur dan kena jaga makanan.

"Alhamdulilah saya tiada penyakit cuma mata kurang terang tetapi telinga masih mendengar," katanya lagi.

Beliau yang tinggal di rumah murah Kg  Besut di sini mempunyai empat anak dan 10 orang cucu.

Dalam pertemuan singkat ini beliau sempat memberi petua supaya kekal muda ketika makan nasi jangan minum air. Selepas habis nasi baru minum air yang mana petua ini boleh menegangkan kulit kita.

"Begitu juga masa mandi jangan terus jirus air di kepala sebaliknya jirus dari bawah ke atas seperti mana amalan Nabi Muhammad s.a.w yang mana kita tidak akan sakit kepala," katanya.

Othman sempat melahirkan hasrat untuk menunaikan umrah jika ada orang yang sanggup menaja umrahnya itu.

"Sebagai guru saya bangga anak anak murid saya ramai yang berjaya seperti Datuk Razif dan seorang doktor yang kini duduk di Binjai," katanya lagi.


No comments:

Post a Comment