Friday, September 22, 2017

100 RIBU RAKYAT TERENGGANU SERTAI GERAH

KUALA NERUS, 22 Sept (Bernama) -- Semua barisan kepimpinan negeri, kakitangan kerajaan negeri, kakitangan syarikat milik kerajaan negeri dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) diwajibkan menyertai Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras gejala rasuah di peringkat negeri bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penyertaan itu selaras dengan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu mempertahankan nilai integriti dalam setiap urusan yang dijalankan.

"Saya sendiri bersama barisan kepimpinan negeri, kakitangan kerajaan negeri, syarikat dan badan berkanun serta pengerusi J3K akan menjadi ahli Gerah.

"Kita mahu ia dilakukan segera agar dapat mempercepatkan lagi pembasmian gejala rasuah di negeri ini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Karnival Kemah Keming Tolok Rasuah sempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar 2017) di Pantai Teluk Ketapang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Ahmad Razif berkata beliau juga mahu isteri serta anggota keluarga juga terlibat sebagai ahli Gerah dalam usaha menyokong langkah SPRM membanteras gejala rasuah di kalangan rakyat.

"Jika semua terlibat sebagai anggota Gerah, tidak kurang 100,000 orang rakyat Terengganu yang akan bersama-sama dengan SPRM bagi membanteras gejala rasuah dan ini dapat membantu menangani isu ini dalam waktu yang terdekat,"katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment