Thursday, September 7, 2017

PEMBANGUNAN MAMPAN PENTING UNTUK GENERASI AKAN DATANG

PUTRAJAYA:  Ramai yang masih keliru dengan pembangunan mampan bukan sahaja agenda alam sekitar malah ia juga untuk kepentingan kesejahteraan komuniti dan juga untuk pertumbuhan ekonomi yang komprehensif.

Menurut  Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dollah, dalam RMK 11 2016-2020, pertumbuhan hijau adalah anjakan yang penting dalam pembangunan sosio ekonomi negara dan ia bertujuan untuk melindungi hasil pembangunan dan biodiversiti.

"Sudah menjadi hasrat Transformasi Negara 2050 (TN50) untuk membentuk pembangunan Malaysia yang lebih mampan, " katanya ketika menyampaikan ucaptama di persidangan antarabangsa mengenai pembangunan mampan di sebuah hotel di sini semalam.

Persidangan selama satu hari itu dianjurkan oleh Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) anak syarikat RISDA dihadiri oleh 200 orang peserta dari pelbagai agensi dalam dan luar negara.

Katanya, KKLW akan sentiasa mempastikan bahawa inisiatif yang dilaksanakan sesuai dengan kehendak pembangunan mampan terutamanya dari segi pembangunan komuniti, ekonomi berimpak tinggi dan pendidikan yang berkualiti.

"Justru itu KKLW pada tahun ini akan teruskan inisiatif Transformasi Luar Bandar dengan memberi fokus kepada pelaksanaan projek projek yang "rakyat centric". Ia akan mempastikan komuniti luarbandar dapat faedah daru segi infrastruktur, ekonomi, perumahan dan pendidikan," katanya.

katanya lagi, Malaysia komited untuk mengekalkan biodiversiti negara untuk mempastikan generasi akan datang mendapat akses yang sama terhadap sumber asli seperti generasi sekarang.

"Alam sekitar yang menyokong pertumbuhan hijau akan diperkukuhkan lagi dalam bentuk dasar, pembangunan modal insan dan pelaburan teknologi hijau," tegasnya.

Tambahnya, pertukaran iklim dunia adalah ancaman utama kerana ia akan mmeberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan sosial dan meningkatkan jurang perbezaan ekonomi.

Sebaliknya Datuk Borhan menjelaskan bahawa pembangunan mampan adalah pembangunan yang memenuhi kehendak dan keperluan pengguna dari pelbagai aspek seperti perancangan bandar, keselamatan makanan dan pertumbuhan ekomi tanpa memberi kesan alam sekitar.

"Semua pihak patut melihat pembangunan mampan sebagai pembangunan yang memberi faedah kepada semua pihak dan tanggungjawab sosial pihak korporat yang berkaitan dengan pembangunan mampan adalah diharapkan dapat menimbulkan kesedaran terhadap betapa pentingnya pembangunan mampan," jelas beliau.

Beliau sempat melontarkan pertanyaan adakah kita sudah mencapai keseimbangan dalam bidang ekonomi, alam sekitar, sosial dan budaya komuniti seperti mana konsep asal pembangunan mampan yang diperkenalkan pada tahun 1987 dalam Laporan Brundtland.

Katanya, dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, ia juga perlu memberi manfaat kepada generasi akan datang.

"Oleh itu pembangunan perlu ada keseimbangan di antara tiga komponen pembangunan mampan," ujarnya lagi.

Persidangan antarabangsa itu membahaskan 20 buah kertas kerja dari pensyarah tempatan dan luar negara yang mana Datuk Borhan berharap dunia yang kita diami ini terus mengekalkan hijau untuk generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment