Tuesday, September 5, 2017

TAMAN ILMU DI BESUT MULAKAN OPERASI

BESUT, 5 Sept (Bernama) -- Taman Ilmu di sini memulakan operasinya hari ini susulan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) mengambil langkah menyewa dua blok bangunan yang dijadikan
kolej kediaman bagi 1,500 penuntutnya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata hasil kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bangunan itu telah dibaik pulih untuk digunakan sebagai kolej kediaman pelajar baharu yang melapor diri bulan ini.

"Ini termasuk proses mengubah suai dan mengecat semula dua blok bangunan dengan setiap blok menelan belanja sebanyak RM10 juta.

"Saya berasa bersyukur dan gembira kerana Taman Ilmu yang mempunyai keluasan 750 ekar (kira-kira 300 hektar) itu kini mula beroperasi dan dapat dimanfaatkan oleh penduduk Terengganu seperti objektif utama pembinaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kolej kediaman berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UniSZa Datuk Profesor Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latiff.

Ahmad Razif berkata setakat ini kerajaan negeri memberi kelulusan penyewaan kepada UniSZa dan menurutnya beberapa buah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) turut memohon untuk menyewa bangunan bagi menjalankan operasi mereka di situ.

Katanya, bagi menyelaraskan permintaan IPTA dan IPTS yang berhasrat beroperasi di Taman Ilmu berkenaan, satu badan khas yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri diwujudkan bagi membuat penilaian terhadap permohonan mereka.

"Konsep penggunaan Taman Ilmu dibuat secara perkongsian di mana Dewan Canselori, masjid, perpustakaan, pusat sukan, asrama dan kafeteria disediakan oleh kerajaan negeri manakala pusat pembelajaran, pejabat, kelas adalah tanggungjawab mana-mana IPTA atau IPTS untuk membinanya sendiri di tapak yang ditetapkan di Taman Ilmu oleh kerajaan negeri," katanya.

Berhubung tindakan segelintir pihak yang mendakwa pembinaan taman ilmu adalah satu pembaziran, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri memang tidak dapat lari daripada dikritik terutamanya oleh pembangkang kerana setiap projek yang dilaksanakan sebenarnya mempunyai tujuan tertentu yang manfaat atau faedahnya terserlah kemudian.

"Lihat sahaja semasa kerajaan negeri hendak membina jambatan Sultan Mahmud, pembangkang dengan tanpa usul periksa mengatakan ia satu pembaziran dan akhirnya kini mereka sendiri yang menikmati faedah daripadanya melalui usaha kerajaan", katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment