Tuesday, April 10, 2018

RAZIF NAFI SENARAI CALON YANG DITULARKAN DALAM WHATSAPP

KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini menafikan senarai calon Terengganu yang tular dalam aplikasi WhatsApp adalah calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, ini kerana senarai calon masih belum dimuktamadkan dan masih dalam pertimbangan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Memang senarai calon telah dimuktamadkan oleh negeri (Badan Perhubungan UMNO negeri Terengganu) tapi masih lagi diteliti (di peringkat pusat), mungkin minggu ini akan selesai.

"Senarai calon yang akhir sekali, yang paling muktamad hanya ada pada Presiden UMNO (Najib)...selagi presiden tak beri lagi pada saya, maksudnya belum selesai. Apabila presiden sudah serahkan kepada pengerusi badan perhubungan UMNO negeri, barulah senarai itu dikira muktamad, jadi kita tunggu sahaja senarai yang akan diumumkan nanti," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan penyebaran senarai nama calon itu dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku terutama dalam situasi yang agak 'panas' ketika ini.

No comments:

Post a Comment