Wednesday, April 25, 2018

BUKTIKAN KESETIAAN KEPADA PARTI WALAUPUN TIDAK TERCALON

PADANG TERAP, 25 April (Bernama) -- Individu yang tidak dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu membuktikan prinsip kesetiaan atau wala' mereka kepada parti.

Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata individu tersebut tidak perlu merajuk apabila tidak terpilih sebaliknya perlu bekerja keras untuk membantu jentera parti dan memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Masa ini, mereka perlu buktikan kesetiaan terhadap parti dengan membantu calon yang terpilih untuk mencapai kemenangan kerana kemenangan ini untuk semua anggota parti dan bukan semata-mata untuk calon tersebut.

Merajuk itu lumrah tetapi kena sedar tempat sedikit tetapi yang hendak bertanding itu ramai. Jadi, hormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perjumpaan Perdana Veteran UMNO, di sini hari ini.

Beliau berharap tiada individu yang cuba untuk melakukan sabotaj dan khianat kepada parti pada pilihan raya umum kali ini hingga menyebabkan kesukaran kepada calon BN yang bertanding.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membeli calon Pakatan Harapan adalah kerana dia tidak yakin dengan calon-calonnya sendiri.

"Dia (Dr Mahathir) memang dari dulu suka buat kenyataan awal. Dia tidak yakin dengan calon sendiri dan tahu mereka ini tiada di hati pengundi sebab itu buat tuduhan sana sini pada pihak lawan hanya untuk tutup kelemahan mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment