Saturday, April 28, 2018

PAKATAN HARAPAN TAK MAMPU RAMPAS TERENGGANU DAN NEGARA

KUALA NERUS, 28 April (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yakin gabungan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan bukan sahaja dilihat tidak mampu merampas Terengganu, malah juga Putrajaya.

Ahmad Razif berkata keyakinan itu diperkuatkan lagi apabila gabungan pembangkang yang menggunakan logo PKR itu dilihat menimbulkan kecelaruan pada hari penamaan calon, hari ini apabila ada calon yang gagal menyerahkan borang pencalonan.

"Kita dengar dan tengok persiapan PKR ni sedih juga. Ada (calon) yang tak boleh bertanding dan terpaksa memberi kemenangan percuma bila tak bawa pas calon. Sepatutnya kalau nak jadi calon, perkara macam tu dah kena tahu dan bersedia.

"Kalau perkara kecil macam tu pun tak boleh nak sediakan, macamana nak mentadbir negeri dan negara? Tengok calon Barisan Nasional (BN) tak ada seorang pun yang tersingkir sebab kita periksa betul-betul kelayakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Harapan, Seberang Takir di sini, hari ini.

Ahmad Razif turut menyelar tindakan PKR yang mencalonkan Naib Presidennya, Chua Tian Chang atau Tian Chua untuk bertanding kerusi Parlimen Batu.

"Kalau dah tahu calon tu ada bermasalah dengan kes mahkamah, kenapa calonkan juga? Rakyat sepatutnya boleh nilai sendiri hal ini," katanya.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain berkata penolakan pencalonan Tian Chua dibuat berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan 1948.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment