Friday, April 27, 2018
AKHIRNYA AHMAD SAID TERIMA MOHAMAD AWANG TERA SEBAGAI CALON CHUKAI
CHUKAI: Akhirnya Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said menerima Datuk Mohamad Awang Tera sebagai calon BN bagi DUN Chukai.
Malam tadi berucap di majlis pertandingan Muay Thai di sini Ahmad yang juga calon BN bagi DUN Kijal berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Mohamad Awang Tera sebagai calon BN di Chukai.
"Saya menyeru kepada semua pengundi Chukai memilih beliau sebagai wakil rakyat Chukai," katanya dalam ucapan ringkas. Mohamad turut hadir di majlis tersebut.
Ahad lalu selepas pengumuman calon BN Terengganu di kediaman rasmi Menteri Besar, Ahmad Said telah meluahkan rasa kecewa kerana BN memilih Mohamad Awang Tera sebagai calon Chukai. Menurutnya beliau tidak layak bertanding kerana dikatakan sabotaj calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid pada PRU13.
Luahan bekas Menteri Besar Terengganu itu dalam Astro Awani telah menyebabkan video itu disebar secara meluas oleh para penyokong PAS. Ini menimbulkan tanda tanya kerana inilah kali pertama calon BN menyerang calon BN yang lain secara terbuka tetapi BN masih mengekalkan Ahmad Said sebagai calon Kijal.
Kami difahamkan selepas pengumuman calon, puak Umno Bahagian Kemaman telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan Mohamad Awang Tera digantikan oleh Ketua Pemuda Bahagian, Fikri Ibrahim atau Bulat.
Tetapi wakil Umno Bahagian Kemaman yang menghantar memorandum itu diusir oleh pegawai Perdana Menteri yang menegaskan tiada pertukaran sebarang calon sebelum hari penamaan calon. Terkejut dengan tindakan pegawai Perdana Menteri, Ahmad Said telah membuat u turn dengan menyokong dan menerima Mohamad sebagai calon BN bagi DUN Chukai.
Andainya Mohamad kalah di DUN Chukai, adakah Ahmad Said akan dipersalahkan kerana video Astro Awani adalah bukti kukuh Ahmad Said mensabotaj calon BN? Oleh itu sokongan Ahmad Said kepada Mohamad belum lagi terlambat jika benar penyokong Ahmad Said ikhlas menyokong calon BN. Jangan dibibir sokong tetapi di belakang buat yang bertentangan pula.
Oleh itu kita sokong puak Ahmad Said bersatu semula dengan puak Mohamad Awang Tera demi merampas kembali kerusi BN bagi DUN Chukai. Selamat berjaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment