Sunday, April 29, 2018

PEMBANGKANG DIMINTA BERI PENJELASAN MENGENAI PENDIDIKAN PERCUMA

KEMAMAN 29 April (Bernama) -- Pembangkang sepatutnya memberi penjelasan yang lebih terperinci daripada sudut ekonomi sekiranya benar-benar mahu memberi pendidikan percuma dan menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sehingga kini tiada hujah yang bernas daripada pihak pembangkang sebaliknya hanya menggunakan manifesto bagi menarik perhatian dan sokongan daripada rakyat.

"Sebenarnya banyak perkara yang tidak konsisten dikalangan parti pembangkang tentang pendidikan di negara kita, satu masa dia nak jadi populis dengan mengistiharkan akan memberikan pendidikan percuma daripada peringkat rendah sampailah peringkat tertinggi .

"Dalam bahagian pendidikan negara kita sudah percuma sehingga peringkat sekolah menengah dan peringkat tinggi, apa yang dikenakan dari segi bayaran adalah sebahagian kecil adalah dari kos sebenar sebab itu universiti awam kita adalah antara yang menerima bayaran terendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perayaan Hari Guru di Dewan Hayaati Ilmi, Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman disini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said, dan tiga calon UMNO Kemaman, Ir. Rosli Othman, Datuk Mohamed Awang Tera, dan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Tambah beliau lagi, pihak pembangkang perlu menunjukkan terlebih dahulu bagaimana cara untuk mereka membiayai segala kos pendidikan sekiranya GST dihapuskan.

"Jadi kalau mereka ingin berikan semuanya percuma mestilah ada sesuatu yang bermodal ekonomi. Di negara luar seperti German, dan Eropah pendidikan mereka percuma tetapi cukai yang dikenakan adalah sangat tinggi dari apa yang dikenakan di sini.

"Untuk memberi pendidikan percuma mesti dilihat dari segi apakah yang percuma dan juga hal lain yang berkaitan dengan kualiti pendidikan, untuk memberikan pendidikan yang baik ada kos yang diperlukan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment