KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Selepas 10 tahun, Barisan Nasional (BN) Terengganu mengotakan janji untuk menampilkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kali ini.
Lebih mengejutkan apabila bukan hanya seorang diumumkan, malah dua calon wanita diberi amanah untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili pembangkang.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin, 61, akan bertanding di DUN Bukit Payung manakala Bendahari Wanita UMNO Negeri yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun, Datuk Zainun Abu Bakar, 65, pula akan bertanding di DUN Sura.
Zaiton yang juga bekas Anggota Dewan Negara dan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia ketika ini berkeyakinan penuh untuk memenangi semula DUN Bukit Payung kerana sudah hampir lima tahun berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata semua isu dan permasalahan rakyat di Parlimen Marang sudah lama diselesaikan bersama jentera akar umbi termasuk 23 cawangan UMNO seluruh DUN Bukit Payung.
"Saya yakin 23,000 pengundi di Bukit Payung mahu generasi muda mereka terbela dan mereka pastinya mahu kerajaan yang kukuh dan stabil dapat membela dan menjaga kebajikan mereka untuk masa depan yang lebih cemerlang," katanya.
Sementara itu, Zainun yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Nun berkata hampir 45 peratus daripada 24,000 pengundi di DUN Sura adalah wanita dan yakin kerja kerasnya bersama jentera BN selama ini akan mendapat sokongan daripada pengundi kawasan itu.
"Walaupun Sura dikatakan kubu PAS kerana menang dua penggal di situ, namun BN tidak pernah menganak tirikan pengundi Sura selama ini."
"Bantuan disalur tanpa memilih bulu di kalangan pengundi. Kak Nun tak kira sama ada orang itu penyokong BN atau PAS, Kak Nun akan bantu mengikut keperluan mereka dan insya-Allah mereka yang dahulunya memberi undi kepada pihak sana pasti memberi undi kepada BN sekiranya mahu nasib mereka terus terbela," katanya.
Untuk rekod, kali terakhir BN Terengganu meletakkan calon wanita pada PRU ke-12 tahun 2008 melalui Nordiana Shafie, yang bertanding di DUN Batu Buruk namun kalah kepada calon PAS ketika itu, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment