Sunday, April 15, 2018

JABI DAPAT SEKOLAH SUKAN JIKA BN TERUS DIBERI MANDAT

BESUT, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu bercadang menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi di sini sebagai sekolah sukan, iaitu sekolah sukan pertama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, sekiranya Barisan Nasional terus diberi mandat memerintah negeri ini pada pilihan raya umum ke-14.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu selaras dengan kedudukan Kompleks Sukan Mini Jabi yang akan dibina tidak jauh dari kawasan sekolah berkenaan bermula Mei depan.

"Cadangan menjadikan SK Jabi sebagai perintis sekolah sukan di DUN ini akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan," katanya selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat peringkat DUN Jabi dekat sini, hari ini.

Turut hadir penyandang kerusi DUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie.

Pada majlis sama, Ahmad Razif melakukan pecah tanah kompleks sukan mini berkenaan, yang akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 2.025 hektar.

No comments:

Post a Comment