Monday, December 24, 2018

PKR PALING BANYAK KERUSI DALAM PH TAPI PM DARI BERSATU


KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Detik 10 pagi, 16 Julai 2018 menyaksikan senario baharu sidang Dewan Rakyat selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pakatan Harapan diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini berada di blok kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan selama enam dekad pula berubah ke blok pembangkang bersama PAS dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai ketua pembangkang.

Dalam pada itu, sejarah turut terlakar dengan pelantikan Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee daripada pembangkang BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang sebelum ini dilantik daripada kalangan parti pemerintah.

Pelantikan itu merupakan antara janji dalam manifesto PH pada PRU14 bagi mengembalikan wibawa Parlimen sebagai institusi penting untuk menyemak imbang kuasa eksekutif.

Parlimen 2018 turut diwarnai dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat yang bertekad menggerakkan reformasi Parlimen selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Okt.

Komposisi kerusi Parlimen turut berubah-ubah dengan pengumuman seorang demi seorang anggota Parlimen UMNO meninggalkan parti antaranya anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli); Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

Mustapa, Mas Ermieyati dan Dr Noor Azmi kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sementara Rozman menyertai Parti Warisan Sabah.

Komposisi terkini Dewan Rakyat menyaksikan PH menguasai 128 kerusi dengan PKR mempunyai 50 kerusi, DAP (42), Bersatu (16), Amanah (11), Warisan (9).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan hasil tindakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) keluar daripada BN pada awal Jun lepas pula menguasai 19 kerusi di Parlimen, dan ia juga telah menyatakan sokongannya terhadap PH.

Kerusi pembangkang pula menyaksikan BN mempunyai 40 kerusi dengan UMNO menguasai 37 kerusi, dua kerusi MIC dan satu MCA sementara PAS (18 kerusi).

Masing-masing satu kerusi milik Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan UPKO.

Pada 30 Nov, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah kerana wujud amalan rasuah.

Meskipun mempunyai lebih majoriti di Dewan Rakyat, usaha kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar menemui halangan susulan Dewan Negara masih dikuasai BN.

Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 itu pada 12 Sept lalu walaupun ia diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos.

Sidang Dewan pada 2 Nov lalu pula menyaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019, yang pertama bagi kerajaan PH.

Tidak sunyi daripada pelbagai ragam anggota Parlimen, Parlimen 2018 bagaimanapun membuktikan sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan terus subur di Malaysia, walaupun berlakunya pertukaran kerajaan.

-- BERNAMA

Sunday, December 23, 2018

TAWAU MENDAHULUI TERENGGANU LAKSANAKAN HUKUMAN SEBATAN ROTAN



Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA TERENGGANU, 23 Dis (Bernama) -- Hukuman sebatan rotan di khalayak yang dilaksanakan ke atas pasangan lesbian di Terengganu pada September lepas menjadi peristiwa yang ‘menjentik’ pelbagai reaksi.

Ia bukan sahaja menarik perhatian pihak kerajaan tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO), pengamal perundangan dan orang ramai dan rata-rata berpendapat hukuman di khalayak tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa dalam Islam justeru menggesa agar tindakan sebatan rotan di khalayak perlu dikaji semula.

Ironinya, ramai yang tidak sedar bahawa apa yang dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu itu bukanlah pertama kali berlaku, sebaliknya terdapat negeri lain yang melaksanakannya sebelum ini namun tidak diketahui umum, antaranya di Tawau, Sabah.

Keputusan hakim supaya perlaksanaan hukuman di bawah Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 itu dilakukan di dalam mahkamah dengan disaksikan keluarga, wakil media dan orang awam akhirnya ‘membuka mata’ bahawa ia tidaklah seperti yang diuar-uarkan.

Malah ia dilakukan dengan tertib serta mengikut prosedur untuk memberi pengajaran iaitu tukang sebat hendaklah menggunakan alat sebatan (rotan) dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

Hukuman sebat turut diputuskan ke atas dua wanita yang mengaku bersalah melakukan persediaan melacurkan diri tetapi mereka menjalani hukuman sebat itu di penjara dan bukannya di mahkamah.

Selain hukuman sebat, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu juga telah meninggalkan kesan dalam landskap pentadbiran Terengganu dan muncul sebagai negeri pembangkang bersama-sama dua lagi negeri di pantai timur iaitu Kelantan (PAS) dan Pahang (Barisan Nasional-BN).

BN yang menguasai negeri itu sejak PRU11 (2004) akhirnya kecundang kepada PAS setelah rakyat memilih parti itu dengan kemenangan 22 kerusi manakala BN hanya 10 kerusi.

Paling mengejutkan keputusan bagi Parlimen Kemaman yang didominasi bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sejak tiga penggal lalu akhirnya tewas, walaupun beliau berada dikedudukan selesa sejak bertanding di situ dengan jumlah majoriti besar.

Namun, dalam pelbagai kejutan berlaku, Terengganu muncul sebagai negeri pertama yang melakukan transformasi pemindahan kuasa dengan harmoni serta tertib, dalam merealisasikan agenda politik matang.

Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tampil ke majlis rasmi serah tugas kepada Menteri Besar baharu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (ADUN Rhu Rendang), pada 15 Mei lalu.

Dalam mengharungi senario sebagai pembangkang, Terengganu dilihat mengambil sikap bertenang dan berbaik-baik dengan kerajaan pusat apatah lagi dalam isu menuntut royalti minyak yang amat diperlukan dalam menguruskan pelbagai perkara berkaitan rakyat dan negeri.

Sekiranya gagal memperoleh royalti tersebut, kerajaan negeri bakal berdepan kekangan dalam mengurus kerana kekurangan kira-kira RM1.7 bilion, antara yang terjejas tentunya dalam meneruskan projek pembangunan sebelum ini.

Ahmad Samsuri juga telah mengambil langkah berani dengan memasukkan wang royalti minyak dan gas sebanyak RM1.745 bilion sebagai Terimaan Bukan Hasil ketika membentangkan Bajet Terengganu 2019 meskipun tiada sebarang kata putus secara rasmi bagi perkara itu untuk tahun depan.

Penantian Terengganu bermula apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan PH komited merealisasikan janji yang terkandung dalam manifesto PRU14 termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.

Bagaimanapun, royalti itu disyaratkan perlu digunakan untuk kebaikan negeri-negeri berkenaan dan tidak disalah guna untuk memperkuatkan parti dan lain-lain.

Dalam perkembangan sama, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, kerajaan negeri menyatakan harapan mereka agar menerima baki bayaran royalti minyak dan gas berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta daripada Petronas sebelum akhir tahun ini.

Ahmad Samsuri berkata setakat ini, kerajaan negeri menerima RM300 juta yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan awal Oktober.

Hubungan baik antara PAS dan UMNO juga boleh dilihat di Terengganu apabila kedua-dua pihak dilihat sependapat dalam menuntut royalti minyak daripada kerajaan PH sehingga tertubuhnya satu jawatankuasa khas.

-- BERNAMA

Saturday, December 22, 2018

JANGAN GUNA WANG ROYALTI MINYAK UNTUK PARTI



DUNGUN, 22 Dis ( Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akan menjadi mata dan telinga kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan kerajaan Terengganu tidak menyalahguna wang royalti minyak yang disalurkan kerajaan pusat untuk tujuan selain kebajikan rakyat.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata pihaknya tidak akan akan teragak-agak untuk mendesak kerajaan pusat supaya mengguna pakai kaedah lain bagi pembayaran royalti negeri sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam tadbir urus wang berkenaan.

"Setakat ini kerajaan pusat telah menyalurkan sebanyak RM450 juta wang royalti kepada negeri Terengganu yang dibayar sebanyak tiga kali iaitu yang terakhir pada awal bulan ini.

"Kita bimbang wang ini akan digunakan untuk perjalanan parti kerana pada muktamar tahunan PAS September lalu di Kuala Nerus ada permintaan daripada beberapa individu yang meminta supaya kerajaan negeri membantu parti di negeri lain menggunakan wang royalti rakyat Terengganu," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 1,000 orang pelajar sekolah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata Bersatu Terengganu turut menyasarkan pertambahan ahli sehingga 50,000 orang pada tahun hadapan.

"Sehingga September tahun ini seramai 5,800 orang telah mendaftar sebagai ahli PPBM di seluruh negeri dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga ke 50,000 pada tahun hadapan.

"Kita percaya sasaran ini dapat dicapai berdasarkan peningkatan jumlah ahli yang mendadak iaitu daripada 1,000 orang pada empat bulan pertama tahun ini kepada 5,800 ahli sehingga September lalu.

"Ini pastinya kerana keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan membentuk kerajaan (PRU) pada Mei lalu," katanya.

-- BERNAMA

Friday, December 21, 2018

TAK JADI KAHWIN KERANA PRK CAMERON HIGHLANDS?



CAMERON HIGHLANDS: Setiap pasangan bakal pengantin pastinya mahu memilih tarikh sesuai untuk meraikan hari paling bersejarah dalam hidup mereka.

Oleh itu, sebarang halangan yang mengganggu kelancaran pada majlis berbahagia itu sudah pastinya akan meresahkan pasangan yang bakal berkahwin.

Begitulah perasaan dialami seorang wanita apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil Cameron Highlands bersamaan hari perkahwinannya pada 26 Januari tahun depan.

Menurut Syazleen Anisa Misria, dia telah menempah dewan di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di Cameron Highlands sejak enam bulan lepas.

"Segala tempahan booking dari A sampai Z semua sudah dibuat untuk majlis 26/1/2019.

"Disebabkan pengumuman anda semua yang last minute macam ni, habis saya dengan keluarga saya kelam kabut dan panik sekarang fikirkan masalah di mana saya nak buat majlis perkahwinan saya.

"Kad telah diedar, duit pun dah habis digunakan untuk tempahan," luah bakal pengantin itu di laman Facebook SPR.

Menurut Syazleen, tidak mungkin baginya untuk menukar tarikh dan tempahan katering, khemah, jurugambar dan juruvideo.

"Kenapalah anda semua susahkan saya buat pengumuman last minute macam ni. Dan kenapalah korang pilih tarikh sama dengan majlis saya. Sedih saya.

"Doakan saya dapat selesaikan masalah saya ni disebabkan keputusan pengumuman tarikh anda semua," katanya sedih.

Luahan itu mendapat perhatian SPR apabila pentadbir laman Facebook suruhanjaya itu membalas komen Syazleen.

"Wasalam..mohon maaf atas kesulitan ini. Boleh cik PM kepada kami no telefon untuk pihak kami hubungi," jelas SPR.

Tidak lama selepas itu, Syazleen dalam ruangan komen pada hantaran yang sama menyatakan perkara itu telah berjaya diselesaikan apabila tarikh perkahwinannya dianjakkan seminggu lebih awal.

Malah, dia kini juga mampu tersenyum sampai ke telinga kerana SPR turut memberikan sumbangan kepadanya.

"Pihak SPR telah menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan atas kesulitan yang telah timbul.

"Majlis saya akan diubah tarikh seminggu lebih awal. Terima kasih SPR kerana membantu saya memudahkan urusan saya.

"Semoga pilihan raya kecil yang akan dijalankan akan berjalan dengan lancar. Doakan majlis saya nanti akan berjalan dengan lancar," tulisnya bersama emoji senyum.

SPR hari ini mengumumkan ia mengubah lokasi Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Cameron Highlands.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah akan digunakan untuk tujuan itu, menggantikan Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.





Thursday, December 20, 2018

MAIDAM KUTIP RM136 JUTA ZAKAT



KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya memperolehi pungutan zakat kira-kira RM136 juta sehingga 19 Disember 2018 berbanding RM133 juta yang diperolehi sepanjang tahun lepas.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Osman Muda berkata, sasaran MAIDAM untuk memungut RM140 juta wang zakat sehingga akhir tahun dan hasrat itu mungkin dapat dicapai kerana masih ada lagi tempoh sebelum akhir tahun.

“Pungutan itu ada sedikit peningkatan berbanding tahun lepas sasaran kita untuk memperolehi RM140 juta akan dapat dicapai kerana ramai pembayar zakat akan menunaikanya di akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada 105 anak-anak yatim tingkatan 4 dan 5 Asrama Darul Akhyar Batu Rakit, Kuala Nerus di sini yang disumbangkan oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Sogo Malaysia.

Osman berkata, sumbangan zakat paling tinggi tahun ini diperoleh melalui zakat pendapatan sebanyak RM62 juta, diikuti zakat perniagaan (RM38 juta) dan zakat wang simpanan (RM22 juta).

Katanya, lain-lain zakat yang diperoleh melalui zakat harta sebanyak RM5.7 juta, zakat emas dan perak (RM681,000) zakat tanaman (RM352,000) dan zakat ternakan (RM105,000).

Beliau berkata, agihan wang zakat pula yang paling tinggi kepada asnaf fisabilillah pendidikan dan golongan miskin tegar.

“Perbelanjaan kita agak besar dan kita terpaksa berusaha menambah lagi pendapatan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan itu,” katanya.

Sementara itu Osman berkata, MAIDAM telah memperuntukan kira-kira RM200,000 untuk membaik pulih asrama berkenaan bagi memberi keselesaan kepada penghuninya.

Katanya dengan peruntukan itu ia dapat menambah baik peralatan di asrama berkenaan seperti membekal tilam baru, membaiki bilek air dan sebagainya bagi keselesaan pelajar.

Asrama Daru Akhyar mampu menempatkan seramai 160 orang anak yatim pada satu-satu masa.

Wednesday, December 19, 2018

PEGAWAI EPIC DISIASAT DI PERINGKAT DALAMAN?




KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu kini menjalankan siasatan ke atas beberapa pegawai di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berikutan timbulnya aduan salah laku.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setakat ini siasatan dilakukan di peringkat dalaman tanpa melibatkan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tanpa mendedahkan siapa dan jumlah pegawai terlibat, beliau berkata tindakan itu adalah keputusan yang dicapai hasil perbincangan antara anggota lembaga pengarah dan berjanji akan memastikan ia adil dan telus.

"Siasatan dalaman sudah dimulakan sehari dua ini dan kita tidak beri tempoh masa bagi memastikan ia dilaksanakan dengan adil, telus dan tidak menganiaya mana- mana pihak.

"Oleh kerana siasatan sedang dilakukan, saya tidak akan memberi maklumat terperinci mengenai siapa yang sedang disiasat dan kenapa kerana ia adalah persoalan yang 'premature' pada tahap ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Tambahnya, siasatan itu adalah proses biasa dalam sesebuah organisasi yang dijalankan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) apabila menerim aduan mengenai kesalahan etika atau tatacara bagi mengelak kerugian berterusan terhadap syarikat.

Sebelum ini, tular dalam laman sosial apabila pintu bilik seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat itu dikunci dengan rantai besi sejak Jumaat lepas bagi menghalang beliau masuk ke pejabatnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata tindakan mengunci pintu berkenaan hanyalah satu kaedah dan masih mengikut SOP bagi menghalang individu tertentu supaya tidak berada di premis ketika siasatan sedang dijalankan.

Namun operasi syarikat itu masih diteruskan dan tugas pengurusan diambil alih oleh pemangku CEO dan kumpulan pengurusan sedia ada.

"Kita bukan menjalankan siasatan berdasarkan untung rugi kerana itu adalah perkara biasa dalam sesebuah perniagaan. Apa yang penting ialah berlaku 'good governance', etika pengurusan dan tidak berlaku penyelewengan dalam organisasi," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan membawa kes itu kepada pihak berkuasa sekiranya didapati ada pelanggaran undang-undang.

-- BERNAMA


Tuesday, December 18, 2018

BERNAMA TV SIAR MENDIANG MUHAMMAD ADIB?

Pelik juga bila Bernama TV buat kesilapan menyiarkan jenazah mendiang Muhammad Adib di kaca tv hari ini. Macam mana Bernama TV sebuah agensi penyiaran swasta yang ulung dapat buat kesilapan.

Siapakah yang menulisnya? Adakah pemberita Islam atau bukan Islam? Bagi saya, pengarah penyiaran kena bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dengan menggantung tugas pemberita berkenaan.

Jika pengarah penyiaran tidak mengambil sebarang tindakan, ini bermakna pengarah penyiaran pun kena letak jawatan. Apa komen Menteri Komunikasi dan Multi Media, Gobind Singh Deo?

Monday, December 17, 2018

MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI UMNO DITUNDA JADI TANDA TANYA



KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh sekadar membuka mata dan telinga ketika ramai dalam kalangan ahli Parlimen parti tersebut keluar dan menyertai Pakatan Harapan (PH).


Tindakan 17 Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan desakan pelbagai pihak supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden parti perlu dilihat secara serius dengan kadar segera.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khaidhirah Abu Zahar berkata, situasi yang berlaku itu cukup mengecewakannya dan menyebabkan ramai ahli di peringkat akar umbi marah, justeru usaha memulihkan parti tidak lagi boleh dipandang enteng.

“Ya, memang Presiden ada menunjukkan tujuh teras dan 21 langkah dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu tapi implikasinya tak berapa jelas ke peringkat akar umbi, hendak melaksanakannya apatah lagi.

“Sepatutnya malam ini ada mesyuarat MT UMNO tapi ditunda, tak tahu sebab apa dan memang menjadi tanda tanya kerana dalam waktu kritikal ini, jalan penyelesaian perlu dinyatakan sejelas-jelasnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Sunday, December 16, 2018

KES SEX BAWAH UMUR MEMBIMBANGKAN DI KELANTAN



KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Kadar jenayah di Kelantan pada amnya masih terkawal namun jenayah rogol dilihat agak membimbangkan, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Katanya bagaimanapun kebanyakan kes rogol terbabit adalah “mahu sama mahu” yang melibatkan remaja bawah umur.

Walaupun berlaku atas kerelaan, polis terpaksa melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol melibatkan remaja bawah umur, katanya kepada pemberita selepas Majlis Townhall “Jenayah Di Kelantan, Adakah Serius?” anjuran bersama Penjara Negeri Kelantan dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di sini, hari ini.

Katanya bagi tempoh Januari hingga November lalu sebanyak 92 kes rogol dilaporkan berbanding 108 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Meskipun berkurangan sebanyak 14.8 peratus namun ia tetap dilihat membimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya jenayah samun berkawan tanpa senjata api menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 130 kes dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini berbanding 126 kes pada 2017.

"Keseluruhan jenayah menunjukkan penurunan iaitu daripada 559 kes tahun lalu kepada 470 kes dalam tempoh Januari hingga November iaitu penurunan sebanyak 15.9 peratus,” katanya.

Hasanuddin juga berkata kebanyakan kes jenayah berpunca daripada dadah termasuk yang paling banyak berlaku iaitu pecah rumah.

-- BERNAMA

Friday, December 14, 2018

BINA REBAN TERAPUNG UNTUK SELAMATKAN TERNAKAN



KEMAMAN, 14 Dis (Bernama) – Pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan penternak bagi menyelamatkan haiwan ternakan mereka dari dihanyutkan air dan mati ketika musim tengkujuh tiba di negeri ini.

Bagi Abu Bakar Che Ahmad, 64, dari Kampung Tebak di sini beliau akan membina reban terapung untuk memastikan 60 ekor ayam denaknya selamat dari bencana banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Warga emas itu mula menternak ayam denak (spesis ayam yang digunakan untuk memikat ayam hutan) sejak 10 tahun lalu sebagai punca pendapatannya selain hasil kebun getah dan sawit.

Beliau berkata ayam denak yang cantik dan mampu memikat banyak ayam hutan akan dijual sehingga RM350 seekor manakala yang kurang daya tarikan pula dijual pada harga RM50 sahaja.

Setiap kali musim banjir, bapa kepada tujuh anak itu mengakui memang 'tidak lena tidur' kerana risaukan keselamatan 60 ekor ayam denaknya yang dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM18,000 mengikut harga pasaran semasa ketika ini.

"Pok belanja RM520 untuk bina reban terapung itu beberapa hari lalu. Alhamdulillah setakat ini, semua ayam denak pok sihat walaupun hujan agak lebat sejak kebelakangan ini.

"Kerana sayangkan ayam denak, pok sanggup tak tidur kat tempat lain (Pusat Pemindahan Sementara). Lagipun rumah pok dua tingkat (bawah struktur batu dan tingkat atas struktur kayu), bila tingkat bawah dinaiki air 1.5 meter, pok dan isteri, Fatimah Saleh, 58, pindahkan tempat tidur dan dapur ke tingkat atas, Insyaallah selamat setakat ini," katanya kepada pemberita.

Jarak PPS ke rumah Abu Bakar hanya 200 meter menyebabkan warga emas itu berani terus tinggal di rumahnya kerana jika berlaku sebarang kecemasan, beliau boleh berpindah ke PPS tersebut dengan cepat kerana turut memiliki sebuah bot fibre dengan engin sangkut.

Abu Bakar berkata beliau tidak boleh meninggalkan ayam denaknya tanpa sebarang pengawasan kerana bimbang dicuri orang dan setiap kali mahu pergi ke mana-mana destinasi, beliau akan memastikan anaknya tinggal di rumah itu untuk menjaga ayam denak tersebut, dan 11 ekor kucingnya yang turut ditempatkan di dalam reban itu.

"Masa banjir Pok juga guna bot ni untuk tahan pukat dan jual ikan lampam, ikan baung dan ikan lain kepada penduduk kampung sekitar.

"Walaupun tahu rumah pok ini berisiko banjir setiap tahun kerana terletak di kawasan rendah, pok tak kisah kerana sudah selesa tinggal di sini kerana inilah tanah kelahiran asal pok," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, December 13, 2018

GHAZALIE ANSING DESAK ZAHID LETAK JAWATAN

KOTA KINABALU, 13 Dis (Bernama) -- Pemuda UMNO Sabah mendesak presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi segera meletakkan jawatan kerana didakwa hilang penguasaan terhadap parti dan tidak lagi dihormati oleh pemimpin dan ahli.

Naib ketuanya, Ghazalie Ansing berkata, sekiranya enggan meletak jawatan secara sukarela, Pemuda UMNO Sabah akan memohon kepada Majlis Tertinggi (MT) parti supaya mendesak Ahmad Zahid berbuat demikian.

“Selain itu, saya juga melihat presiden cuba membuat parti ini sebagai perisai untuk menyelamatkan diri daripada kes yang dihadapi beliau di mahkamah, “katanya dalam kenyataan hari ini.

Wednesday, December 12, 2018

TERENGGANU BAKAL WUJUDKAN PUSAT REKREASI WANITA



MARANG, 12 Dis (Bernama) -- Terengganu bakal mewujudkan pusat rekreasi khas bagi wanita tahun hadapan untuk memberi keselesaan kepada golongan itu menjalankan aktiviti sukan dan senamrobik secara berasingan dengan kaum lelaki.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan dijangka diwujudkan di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata ia susulan permintaan daripada golongan wanita di negeri ini yang mahukan pusat rekreasi khas dibina bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki terutama yang bukan mahram.

"Alhamdulillah, pada pembentangan belanjawan negeri 2019 bulan lalu, Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) ada mengumumkan tentang rancangan mewujudkan fasiliti rekreasi wanita ini tetapi belum diperincikan lagi dari segi kos dan sebagainya.

"Pusat ini mungkin akan dibina baru atau kita menambah baik bangunan atau tempat lama tetapi dibuat secara tertutup. Dengan adanya pusat ini golongan wanita bebas melakukan aktiviti seperti senamrobik, menari zumba dan sebagainya tanpa segan-segan tidak seperti gimnasium atau pusat rekreasi yang terbuka untuk semua seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ahmad Samsuri menyampaikan agihan bantuan persekolahan berupa sepasang pakaian seragam, beg dan kasut sekolah kepada 1,014 pelajar DUN Rhu Rendang, di sini hari ini.

-- BERNAMA

Tuesday, December 11, 2018

TERENGGANU BANTU HIDUPKAN SEMULA SENI KAIN TELEPUK

KUALA TERENGGANU, 11 Dis (Bernama) – Kerajaan negeri Terenggganu akan membantu usaha tokoh pengukir terkenal Malaysia, Norhaiza Noordin yang mahu menghidupkan semula seni penghasilan kain telepuk yang sudah pupus di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perincian bantuan itu akan diputuskan setelah mengadakan perbincangan lanjut bersama pengukir tersebut tidak lama lagi.

"Kain telepuk adalah antara koleksi yang dipamerkan beliau sempena Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza Noordin di Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang bermula 1 Dis lalu,"katanya.

Monday, December 10, 2018

EPIC IKRAR BEBAS RASUAH



KEMAMAN - Bagi memelihara imej bersih daripada rasuah untuj menarik keyakinan pelabur, Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic) turut melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Inisiatif yang diambil Kumpulan Epic itu sekali gus menjadi IBR ke-100 yang dilafaz dan ditandatangani sepanjang tahun ini di Terengganu selepas ia sebelum ini ditandatangani agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Epic, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, langkah itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada nilai integriti.

"Ini adalah tanda sokongan dan komitmen Epic sebagai sebuah anak syarikat Terengganu dalam membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa serta mewjudkan perkhidmatan yang adil dan telus.


"Di samping itu, ia juga seiring dengan teras utama Rancangan Perniagaan Epic 2019-2023 iaitu menerima pakai amalan terbaik dalam pengurusan perniagaan tadbir urus dalam menuju ke arah kemampanan dan kredibiliti syarikat di masa kini dan akan datang," katanya.

Seramai 70 kakitangan kumpulan Epic terdiri daripada 9 anak syarikat melafaz ikrar itu dengan diketuai Noor Fadzil pada majlis yang diadakan di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, hari ini.

Lafaz ikrar dan proses menandatangani ikrar itu disaksikan Pengarah SPRM Negeri Terengganu, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Mohd Zaki Hassan.

Noor Fadzil berkata, majlis itu julung kali dianjurkan Epic bersempena Hari Anti-Rasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun.

Tambahnya, kerjasama antara Epic dan SPRM dalam menjayakan majlis itu juga merupakan salah satu usaha meningkatkan nilai integriti serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab, amanah dalam setiap aspek tugasan dan seterusnya memberi nilai tambah kepada syarikat.

"Kita mahu imej bersih untuk menyakinkan pelabur untuk datang melabur di syarikat kita.

"Sebagai badan korporat, memang tumpuan kita menjurus kepada keuntungan tetapi pada dalam usaha kita memaksimumkan keuntungan dan mengurangkan kos, aspek integriti diberi keutamaan," katanya.

Kumpulan Epic yang ketika ini mempunyai seramai kira-kira 1,300 kakitangan mencatat pendapatan sebanyak RM270 juta pada tahun lalu.












Kata Noor Fadzil, pendapatan yang diperoleh itu dijangka meningkat sedikit kepada RM295 juta sehingga akhir bulan ini, iaitu peningkatan sebanyak RM25 juta walaupun keadaan ekonomi yang masih belum stabil.

Sunday, December 9, 2018

TONY FERNANDES TAJA TIKET PENERBANGAN PERCUMA KE MEKAH

KUALA NERUS, 9 Dis (Bernama) -- Rezeki tidak pernah salah alamat.

Demikian yang terjadi ke atas seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Rizqi Saipul Nizam, 18, apabila menerima tiket penerbangan percuma ke Tanah Suci menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Lebih menarik Fernandes bukan sahaja menghadiahkan tiket untuknya tetapi juga kepada ibu bapa Muhammad Rizqi iaitu Saipul Nizam Jusoh, 44, dan Mariam Daud, 44.

Saturday, December 8, 2018

MALAIKAT MANA YANG BUAT SILAP MAHATHIR?

PETALING JAYA, 8 Dis (Bernama) – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri program sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Padang Timur, di sini, esok.

Perdana Menteri berkata agak mustahil untuk beliau menghadiri sambutan tersebut kerana perbezaan pendirian antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya dan Suhakam berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Saya sudah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menerima ICERD. Suhakam pula mahu ICERD diterima...jadi macam mana saya boleh pergi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Perhimpunan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 itu pada asalnya dijadual berlangsung hari ini dengan Dr Mahathir dijemput Suhakam sebagai tetamu khas, namun ditangguhkan ke esok atas nasihat pihak berkuasa.

Hari ini juga menyaksikan penganjuran perhimpunan berasingan bagi menolak ICERD di ibu negara yang turut disifatkan penganjurnya sebagai perhimpunan menzahirkan 'kesyukuran' atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Bagaimanapun, Suhakam dalam kenyataan pada 27 Nov lalu, menyebut ia kecewa dengan keputusan kerajaan.

Dr Mahathir seterusnya berkata sambutan anjuran Suhakam itu dipinda ke esok kerana polis tidak mempunyai anggota mencukupi untuk mengawal dua perhimpunan jika diadakan pada hari sama.

“Bukan kita larang ada demonstrasi. Tidak. Demonstrasi boleh ada tetapi kita minta supaya ditangguh ke hari lain supaya polis tidak tertekan kerana pegawai mereka tidak cukup untuk mengawasi perhimpunan yang besar-besar,” katanya.

Namun bila ditanya sama ada beliau akan menyertai perhimpunan di ibu negara itu, Dr Mahathir berkata: “Tidak. Saya dah bersyukur cukup dah. Saya buat satu keputusan yang baik, saya bersyukur saya boleh buat keputusan yang terbaik,” katanya.

Mengenai persepsi bahawa pentadbiran PH sebagai kerajaan 'pusingan u’ kerana sering menarik balik beberapa keputusan, Dr Mahathir berkata kadang-kadang kerajaan terpaksa berbuat demikian apabila menuju ke jalan yang salah.

“Kita bukan manusia sempurna walaupun sebahagian daripada kita adalah ‘malaikat’ tetapi kadang-kadang ‘malaikat’ pun melakukan kesilapan. Jadi apabila 'malaikat’ buat silap, mereka berpatah balik,” katanya.

Mengenai keputusan Kabinet menangguhkan skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengubah mekanisme berkenaan selepas mengambil kira pendangan orang ramai dan peminjam.

Ditanya sama ada polisi berhubung pembayaran PTPTN dibuat tanpa konsultasi sepatutnya, beliau berkata banyak pihak tidak membantu dalam memberikan cadangan dan maklumat.

"Sebelum kita umum, mereka tak beritahu, sebab itu bila kita umum ada banyak pula yang tidak puas hati. Tapi untuk kita nak tanya 33 juta orang susah sikitlah. Jadi bila mereka beri reaksi negatif, kita buat pertimbangan,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

-- BERNAMA

Friday, December 7, 2018

DAHULU PUN PEMIMPIN PH KAKI DEMO



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Idris Ahmad mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama bekas anggota parti itu bahawa mereka pernah menjadi kaki demo supaya jangan lupa dengan apa yang pernah mereka lakukan dulu.

Mengulas mengenai himpunan yang akan diadakan PAS bersama NGO lain esok Idris berkata bermacam-macam usaha yang dilakukan bagi mematikan semangat rakyat termasuk melabelkan penganjur membuang duit dan membazir sahaja Kelantan memberikan cuti peristiwa.

“Bagus juga dengan tuduhan ini. Bertambah semangat rakyat untuk hadir apabila promosi dibuat oleh pemimpin PH.

“Biarkan rakyat jadi hakim negara. Ini masa pemimpin PH hadapi pula perhimpunan rakyat. Bukankah sebahagian pemimpin besar PH kaki demo.

“Bukan setakat demo, tidur atas jalan, bermalam dalam khemah. Hisap gas, kena pukul,” kata Idris Ahmad seperti dilaporkan Harakahdaily.

Justeru, Idris mengingatkan pemimpin PH supaya tidak mudah lupa cerita lama itu walaupun sudah menjadi kerajaan.

“Roda sentiasa berputar. Dulu hari awak, sekarang hari kami,” katanya.

Thursday, December 6, 2018

DR MAHATHIR SERIUS MAHU BANTERAS RASUAH

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang semakin menjadi suatu perkara biasa dalam kalangan masyarakat sehingga sanggup mengetepikan kesannya terhadap bangsa dan negara.

Gejala itu yang disifatkan beliau sebagai '’memperasuahan'’, yang bermakna perbuatan menyemai sifat buruk dalam masyarakat sehingga menjadi sebahagian dari budayanya.

"Saya tidak tahu sama ada “memperasuahan” adalah satu perkataan dalam Bahasa Melayu. Tetapi sama ada perkataan ini ada atau tidak, perbuatan memperasuahan memang kerap dilakukan dalam masyarakat manusia.

Masyarakat yang terima budaya ini, tidak lagi berasa segan atau malu dengan pemberian dan penerimaan rasuah, yang kadang-kadang disebut sebagai “tumbuk rusuk” atau “makan suap”, katanya dalam catatan terbaharu di blognya www.chedet.com, malam ini.

Katanya biasanya masyarakat menganggap rasuah sebagai satu amalan yang keji dan buruk, tetapi mereka yang mengamal perbuatan itu akan menyembunyi perbuatan mereka kerana sedar yang ianya adalah sesuatu amalan yang salah di sisi undang-undang dan agama.

Bagaimanapun apabila amalan rasuah diterima masyarakat sebagai perkara biasa yang boleh diamal secara terbuka, maka tidak lagi ada perasaan segan silu apabila melakukannya, baik oleh pemberi atau penerima.

Di zaman pemerintahan yang percaya “cash is king” atau “wang adalah raja” maka pemberian dan penerimaan rasuah menjadi satu daripada nilai hidup dan budaya, terutama dalam kalangan orang Melayu, katanya.

"Apa sahaja sanggup dibuat jika disogok dengan wang atau pemberian yang diminati. Soal baik buruk sesuatu yang diberi atau diarah tidak termasuk dalam pertimbangan.

Percanggahan dengan undang-undang, bahkan berdosa dari segi agama tidak diambil kira. Yang diutamakan ialah pendapatan yang memuaskan nafsu,”katanya.

Kata Dr Mahathir masyarakat sedia maklum bahawa sogokan dianggap sebagai perbuatan yang tidak baik dan dilarang, namun penerima tidak berfikir panjang.

"Baik, tidak baik...tetapi sogokan memuaskan nafsu dan dipercayai menguntungkan. Oleh itu terima sahajalah. Kesan buruk terhadap masyarakat adalah perkara remeh.

Sudah tentu perasaan kebangsaan dan kesan terhadap bangsa dan negara tidak lebih utama dari nafsu penerima rasuah,” katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, December 5, 2018

INI AKIBATNYA BN PILIH CALON ORANG YANG TAK MINAT JADI WAKIL RAKYAT

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat akan mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Yamani Hafez Musa dalam masa terdekat agar Anggota Parlimen Sipitang itu segera hadir bagi mengangkat sumpah jawatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata Yamani Hafez perlu segera berbuat demikian sebelum hilang kelayakan.

“Beberapa surat peringatan mengangkat sumpah telah dihantar sebelum ini namun tiada maklum balas daripada anggota Parlimen itu. Kita telah tulis surat kepada beliau (Yamani Hafez) dan beri tarikh yang sesuai bukan sahaja untuk dia tetapi Parlimen juga. Terpulang kepada Sipitang,"katanya.

Ulasan saya, inilah akibatnya BN pilih calon kerana keluarga bukan kerana akar umbi mahu calon tersebut jadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Tan Sri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah ketika itu telah memilih adiknya Anipah bertanding di parlimen Kimanis dan anaknya di parlimen Sipitang seolah olah orang lain tak layak jadi calon.

Tuesday, December 4, 2018

HAJI HADI NAFI BERKRISIS DENGAN MB



KUALA TERENGGANU, 4 Dis (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan berlakunya krisis dalaman parti antara beliau dan Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar hingga wujudnya dua kumpulan dalam PAS Terengganu seperti yang tular di laman sosial.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu tuduhan tidak berasas yang dilakukan oleh pihak tertentu yang ingin mengeruhkan hubungan baik antara beliau bersama bekas setiausaha politiknya itu.

"Apa yang dikatakan di media sosial itu semua tidak benar... hubungan PAS dan kerajaan negeri juga sangat baik," katanya.

Monday, December 3, 2018

25 PERATUS SAHAM KERAJAAN DALAM PETRONAS AKAN DIJUAL?



KUALA LUMPUR: Selepas menjual ekuiti konglomerat hospital IHH Healthcare Bhd. (IHH) kepada Mitsui, Jepun, timbul kebimbangan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang dijangka menjadi 'mangsa' terbaharu yang akan dikorbankan kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr, Shamsul Anuar Nasarah berkata, terdapat beberapa media antarabangsa melaporkan kerajaan sudah memulakan pelan bagi melupuskan 25 peratus ekuiti kerajaan dalam Petronas melalui penyenaraian awam di bursa saham.


“Tindakan ini dijangka memberi pulangan dana RM200 bilion kepada kerajaan PH. Kita bimbang jika perkara ini menjadi kenyataan.

“Penjualan ekuiti perlu dielak­kan bagi membolehkan Petronas terus berperanan sebagai rizab dan khazanah negara pada masa hadapan. Kita tidak bersetuju jika penjualan ini dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul A­nuar berkata, Petronas perlu kekal sebagai rizab kepada ne­geri-negeri pengeluar mi­nyak seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, Petronas tidak seharusnya dijadikan bahan daga­ngan untuk keuntungan pihak swasta dan kepentingan syarikat asing.

“Petrol itu memanglah bahan dagangan, tapi bukan Petronas. Petronas adalah sebuah syarikat negara, syarikat kebangsaan yang menjadi lambang kedaulatan negara. Menjual Petronas sama seperti menjual negara.

“Tindakan menjual ekuiti kepada pelabur luar negara bukan langkah yang bijak apatah lagi selepas Petronas memiliki aset yang sudah melebihi sekali ganda dari aset asal manakala aset wang tunai sudah melambung kepada RM150 bilion sebelum (kerajaan) diambil PH,” katanya.


Sunday, December 2, 2018

"SAYA YANG MENJALANKAN AMANAH" DAPAT KEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT KEPADA PENJAWAT AWAM

JOHOR BAHRU, 2 Dis (Bernama) -- Frasa ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan menggantikan frasa lama ‘Saya Yang Menurut Perintah’ oleh pentadbiran terdahulu diharap dapat mengembalikan kegemilangan dan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap penjawat awam dapat menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Kerajaan amat menitikberatkan usaha mewujudkan perkhidmatan adil, telus, bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa,"katanya.

Saturday, December 1, 2018

KENYATAAN HINDU MAKKAL KATCHI ADA NIAT JAHAT KATA WISMA PUTRA



PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan India menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman serta tidak akan mencampuri urusan negara ini.

Menurut Wisma Putra, jaminan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Shri Mridul Kumar dalam perbincangan dengan Kementerian Luar.

Perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia itu diadakan susulan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People’s Party Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lepas, demikian menurut kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.

"Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Hindu Makkal Katchi tanpa usul periksa yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk mengeruhkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap di Parlimen juga telah menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

Hindu Makkal Katchi merupakan sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di Tamil Nadu, India.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa lepas berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu bukan sahaja menyaksikan kemusnahan puluhan kenderaan yang dibakar tetapi turut menyebabkan seorang anggota bomba cedera parah kerana dipukul oleh kumpulan perusuh.

Muhammad Adib Mohd Kassim kini dirawat di Institut Jantung Negara dan keadaannya dilaporkan kritikal namun stabil.

Setakat semalam, polis telah menahan 42 individu bagi membantu siasatan kes rusuhan tersebut.

-- BERNAMA

Friday, November 30, 2018

PULANGKAN SEMULA WANG PEMAJU DAPAT RATING TERTINGGI BAGI BULAN NOVEMBER 2018

Berita "Pulangkan semula wang pemaju RM1.5 juta jika enggan pindah" yang disiarkan pada 27 November lalu mendapat rating tertinggi untuk blog ini bagi bulan November 2018.

10 rating tertinggi bagi bulan November lalu ialah:-

1. Pulangkan semula wang pemaju RM1.5 juta jika enggan pindah (27.11)
2. Kenapa tak lantik enam orang sekaligus ADUN dilantik? (29.11)
3. Pemimpin PH bertelagah mengenai ICERD (9.11)
4. Dah dua tahun bawa pasangan berkhalwat ke kubur baru hari ini heboh (15.11)
5. Siapa ketuai Umno Terengganu masih rahsia (24.11)
6. Menyalahkan kerajaan lama seperti menyalahkan Rafidah beri saham MITI kepada menantunya (10.11)
7. Perhimpunan 8 Disember jadi majlis kesyukuran (23.11)
8. Terengganu fokus pelancongan eko rimba (19.11)
9. Shukry wajar dipecat Pengerusi Bank Rakyat walaupun terlambat (28.11)
10. Shuib disengat 170,000 ekor lebah selama 30 minit (6.11)


Thursday, November 29, 2018

KENAPA TAK LANTIK ENAM ORANG SEKALI GUS ADUN DILANTIK?



KUALA TERENGGANU, 29 Nov (Bernama) – Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu Zuraida Md Noor hari ini mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Anggota Dewan Undangan (ADUN) wanita pertama di negeri itu.

Pelantikan Zuraida yang dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 hari ini adalah selaras Fasal 27(2) Undang-Undang Kerajaan Terengganu.

Di bawah undang-undang yang diluluskan pada era pemerintaah kerajaan PAS pada tahun 1999-2004, menyatakan sekiranya tidak ada dalam DUN wakil daripada kaum wanita dan juga kaum bukan Islam, Dewan boleh lantik seramai tidak lebih empat orang (bagi menjaga kepentingan golongan itu).

Ini membolehkan Zuraida dilantik sebagai ADUN tanpa melalui proses pilihan raya dan tidak memegang sebarang kawasan DUN.

Terdahulu, usul pelantikan Zuraida dikemukakan oleh ADUN Paka Satiful Bahri Mamat hari ini dan diterima sebulat suara oleh semua anggota dewan sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN, Yahaya Ali pada persidangan yang berakhir hari ini.

Ulasan saya, saya pernah menulis hal ini dalam blog ini pada 18 Julai lalu lihat http://todayterengganu.blogspot.com/2018/07/terengganu-boleh-laksanakan-enam-orang.html. Sebab itu saya hairan kenapa tak lantik enam orang sekaligus ADUN dilantik yang juga boleh ambil tokoh Cina, veteran dan pemuda serta wakil NGO.

Pada 14 Ogos dalam blog ini saya mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali yang menyebut kemungkinan ADUN wanita akan dilantik. Lihat http://todayterengganu.blogspot.com/2018/08/perkara-27-fasa-2-enakmen-1999-bukan.html.

Alang alang nak lantik ADUN, maka lantiklah lima orang lagi biar cukup kuota ADUN dilantik. Biar semua ada suara dalam Dewan Undangan Negeri iaitu wakil wanita, wakil veteran, wakil pemuda, wakil bukan Islam, wakil NGO dan wakil profesional.

Wednesday, November 28, 2018

TERENGGANU KENAL PASTI INDUSTRI BAHARU TARIK PELABUR


KUALA TERENGGANU, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu akan mengenal pasti kawasan-kawasan industri baharu yang boleh menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara ke negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kawasan yang berdekatan dengan jaringan hubungan seperti lebuh raya dan perkhidmatan logistik diberi keutamaan untuk dibangunkan kerana ia antara tarikan kepada para pelabur.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan meneruskan hubungan baik dengan agensi-agensi pelaburan seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan sektor industri seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dan Dewan Perniagaan India Muslim Terengganu.

Tuesday, November 27, 2018

PULANGKAN SEMULA WANG PEMAJU RM1.5 JUTA JIKA ENGGAN PINDAH

SUBANG JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kuil Sri Maha Mariamman dekat USJ 25 di sini, yang menjadi tumpuan ekoran insiden kekecohan sejak awal pagi Isnin, tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian dicapai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Katanya, satu perbincangan telah diadakan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi ini dan beliau (Dr Mahathir) telah menyatakan kebimbangan mengenai insiden kekecohan itu.

"Perdana Menteri juga telah menyatakan kepada saya yang beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada sidang media selepas melakukan lawatan dan berjumpa dengan komuniti kuil berkenaan.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan anggota Exco Selangor, V. Ganabatirau.

Waytha Moorthy, yang menjaga portfolio perpaduan nasional, turut memberi jaminan bahawa keluhan pelbagai pihak mengenai penempatan semula lokasi kuil didakwa berusia 147 tahun itu akan dibawa lagi kepada perhatian Dr Mahathir.

Waytha Moorthy berkata beliau juga akan berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk mencari penyelesaian isu perpindaan kuil itu.

Kejadian yang bermula awal pagi Isnin dan awal pagi ini melibatkan pergaduhan dua kumpulan dan terdapat perusuh yang membakar 23 kenderaan serta merosakkan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta mencederakan seorang anggota bomba.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan telah menahan 21 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut.

-- BERNAMA

Monday, November 26, 2018

SHUKRY WAJAR DIPECAT PENGERUSI BANK RAKYAT WALAUPUN TERLAMBAT



KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini mengumumkan penyingkiran Shukry Mohd Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) berkuat kuasa serta merta.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata tindakan ini dibuat selaras dengan Seksyen 5 dan subperenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202) berikutan keterlibatan Shukry dalam Laporan Asal Audit 1MDB.

Semalam, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 22 Nov 2016 mengarahkan Ambrin Buang, yang merupakan ketua audit negara ketika itu, meminda laporan audit 1MDB.

Madinah turut mendedahkan Shukry selaku setiausaha sulit Najib, ketika itu turut mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho dalam laporan itu dikeluarkan.

"Sehubungan dengan itu, apa-apa keputusan yang memberi implikasi kepada Bank Rakyat yang telah dibuat sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Bank Rakyat akan disemak semula dan dibatalkan sekiranya menjejaskan kepentingan bank," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan akan mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat yang baharu sebaik sahaja proses pelantikan dimuktamadkan, menurut kenyataan itu.

Ulasan saya, sepatutnya Mel lalu selepas PH menang dah buang Shukry Mohd Salleh sebagai Pengerusi Bank Rakyat. Dah enam bulan baru pecat. Sudah terlambat.

Masa beliau jadi ketua setiausaha sulit bekas PM, bukan main sombong Shukry. Hantar surat nak jumpa PM tak dijawabnya. Dia kata surat itu diserah kepada Datuk Amhari ketua unit ekonomi JPM. Bila call beliau tak pernah dapat. P.A Amhari suruh call pegawai unit tersebut, seorang wanita (lupa namanya). Sampai ke sudah kami tak dapat jawapan surat tersebut.

Ada kawan call Shukry nak minta surat sokongan dari JPM. Secara terang Shukri minta RM5,000 dari kawan saya. Berkali kali Shukry call kawan saya jadi tak nak surat tersebut. Elok benar beliau dipecat kerana beliau bukan orang yang ada integriti. Mujur beliau tak lama jadi Pengerusi Bank Rakyat kalau tidak habis duit Bank Rakyat disapunya.

Sunday, November 25, 2018

RAKYAT TERENGGANU DIKECUALIKAN BAYAR CUKAI PINTU MULAI 2019





KUALA TERENGGANU, 25 Nov (Bernama) -- Rakyat Terengganu tidak perlu membayar cukai taksiran atau cukai pintu bagi semua premis kediaman di negeri ini tahun hadapan.

Malah, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua cukai tertunggak juga akan dihapuskan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Namun, pengecualian ini tidak terpakai untuk premis perniagaan, syarikat perniagaan masih perlu membayar cukai taksiran seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan pengecualian itu untuk tahun 2019 dan akan melihat kesannya sebelum mengambil keputusan sama ada ia diteruskan atau sebaliknya pada 2020.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan kepada semua 32 kawasan DUN tanpa mengira sama ada ia dimenangi PAS atau pembangkang, antaranya peruntukan RM1 juta untuk program Hari Keluarga Peringkat DUN dan program perpaduan nasional.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 negeri, Kerajaan Terengganu juga memperuntukkan RM97.9 juta untuk agenda pembangunan kualiti modal insan yang menjadi antara teras dalam pendidikan negeri.

-- BERNAMA





Saturday, November 24, 2018

SIAPA KETUAI UMNO TERENGGANU PADA 1 JANUARI 2019 MASIH RAHSIA



JERTEH : Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan beliau enggan terus menjadi pengerusi badan perhubungan parti itu untuk Terengganu.

Kata bekas menteri terbabit mulai tahun depan jawatan pengerusi Umno Terengganu akan disandang oleh orang lain yang terdiri daripada anak tempatan.

Mahdzir ialah anggota parlimen Padang Terap, Kedah.

Beliau memenangi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan yang diadakan beberapa bulan lalu.

Selain Madhzir, dua lagi naib presiden Umno ialah Mohamed Khaled Nordin dan Ismail Sabri Yaakob.

Pemilihan itu dibuat selepas Umno gagal mendapat mandat untuk terus menjadi kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pada PRU ke-14 itu Umno hanya berjaya mengekalkan kuasa di Perlis dan Pahang, manakala PAS pula mempertahankan Kelantan selain mengambil alih pentadbiran Terengganu.


Mohamed Khaled ialah bekas menteri besar Johor namun diberi tanggungjawab menjadi pengerusi perhubungan Umno Perlis oleh presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri pula diberi kepercayaan mengetuai Umno Selangor.

Dipetik Sinar Online Mahdzir berkata nama pengganti beliau akan diketahui ramai tidak lama lagi.

"Nama pengganti akan diumumkan dalam masa terdekat selepas surat pelantikan ditandatangani presiden parti," katanya.

Terdahulu Mahdzir mempengerusikan untuk kali terakhir mesyuarat Umno Terengganu di Kem Seri Keluang di Jertih.

Untuk rekod pada awal Ogos lalu Mahdzir pernah menyatakan hasratnya melepaskan jawatan berkenaan.

Kata Mahdzir tugas mengetuai Umno Terengganu lebih sesuai dipikul oleh orang tempatan yang lebih memahami suasana setempat.

“Saya tidak berhasrat jadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu negeri untuk tempoh yang lama.

"Saya cadang (serahkan jawatan) dalam masa terdekat ini, kita boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya dipetik Utusan Online.

Untuk rekod Umno Terengganu pernah bergolak dengan masalah dalaman membabitkan beberapa pemimpin parti terbabit.

Friday, November 23, 2018

PERHIMPUNAN 8 DISEMBER JADI MAJLIS KESYUKURAN





KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perkasa mendesak supaya parti politik yang menyertai perhimpunan aman kesyukuran Icerd pada 8 Disember ini supaya tidak membawa lambang parti masing-masing.

Presidennya, Ibrahim Ali berkata, jika perkara itu berlaku maka niat asal menolak Icerd, tidak sampai.

“Kalau boleh, parti-parti politik yang turut terlibat dalam mempertahankan negara menyanggah atau tentang Icerd ini. Jangan besarkan parti berbanding isu dihadapi bersama.

“Kepada parti politik, selain NGO saya percaya perhimpunan tanpa bawa mana-mana lambang parti politik, saya rasa lebih baik kerana betul-betul perpaduan ummah di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

“Sebab kalau kita besarkan agenda politik, bendera politik dalam perhimpunan maka ia beri persepsi itu agenda politik masing-masing yang nak raih mileage terhadap satu-satu isu.

“Akhirnya matlamat tak tercapai jadi saya harap kita berhimpun atas nama umat Islam, Bumiputeta atau rakyat Malaysia,” kata Ibrahim Ali selepas perhimpunan membantah Icerd, hari ini.

Katanya lagi, jika perhimpunan kesyukuran itu mempunyai niat politik, maka Perkasa tidak akan turut serta kerana matlamat asal telah disalah gunakan.

Penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata biarpun kerajaan sudah mengesahkan secara rasmi untuk tidak menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), himpunan pada 8 Disember ini tetap akan diteruskan.

Aminuddin berkata himpunan tersebut bukan lagi berbentuk bantahan sebaliknya ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Pihaknya yakin kehadiran orang ramai tetap tinggi kerana ia merupakan program bagi meraikan kemenangan rakyat menyekat Icerd.

Pada 17 November lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata parti Islam itu dan Umno akan mengadakan perhimpunan anti-Icerd tersebut.

Katanya, perhimpunan itu telah mendapat restu Jawatankuasa Pusat PAS.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir majlis "Himpunan Perpaduan Ummah" itu mengesahkan Umno akan menyertai perhimpunan pada 8 Disember ini.

Thursday, November 22, 2018

BEBERAPA PULAU DI SETIU DAN SETIU WETLAND JADI TARIKAN PELANCONGAN



SETIU, 22 Nov (Bernama) -- Pemain industri pelancongan di Terengganu disaran menyediakan pakej yang menggabungkan percutian ke pulau dan lawatan ke Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetland.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata ia bertujuan menarik pelancong tempatan dan luar negara bagi merasai pengalaman berbeza memandangkan kedua-dua kawasan itu mempunyai kelebihan tersendiri.

"Beberapa pulau di Setiu sering menjadi tarikan pelancong luar negara dan kita berharap perkara yang sama berlaku di Setiu Wetland. Kita (Kerajaan Negeri) berhasrat menjadikan gabungan dua kawasan ini sebagai tarikan baharu, melonjakkan industri pelancongan dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja beliau ke Setiu Wetland di sini hari ini.

Setiu mempunyai beberapa buah pulau yang sentiasa menerima kunjungan pelancong setiap tahun antaranya Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.

Setiu Wetland bukan sahaja tanah bencah semulajadi yang terluas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tetapi juga direkodkan mempunyai kepelbagaian ekosistem merangkumi air tawar, air payau, laut serta laguna yang mengunjur kira-kira 14 kilometer dengan pasir pantai.

Selain itu, di tanah bencah itu juga terdapat populasi tuntung laut dan tuntung sungai yang sangat terancam selain menjadi habitat bagi 29 spesies mamalia, 112 spesies burung serta 28 spesies reptilia.

-- BERNAMA

Wednesday, November 21, 2018

TINDAKAN MEROBOHKAN KEDIAMAN PUSAKA IKUT SALURAN YANG BETUL



KUALA TERENGGANU – “Bukan kita tidak bersimpati, tetapi perkara ini telah melalui proses rundingan yang terlalu lama dan pemilik rumah seharusnya akur dengan keputusan yang telah dibuat,” kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, tindakan kerajaan merobohkan kediaman pusaka di Kampung Tanjung, hari ini adalah mengikut saluran yang betul setelah arahan diberikan sebelum ini gagal dipatuhi.


“Pihak yang mendakwa bahawa mereka adalah tuan tanah itu pada saya tidak benar kerana apabila dilihat daripada aspek perundangan, tindakan kerajaan negeri tidak salah kerana ia adalah tanah kerajaan.

“Tambahan pula, notis peringatan dan arahan supaya mengosongkan kediaman diberikan sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Dalam pada itu. Ahmad Samsuri berkata, kadar pampasan diberikan adalah ihsan daripada kerajaan setelah mengambil kira yang menduduki kawasan itu sebelum ini.

“Ia mengambil kira mereka yang menduduki tempat itu sebelum ini, tetapi daripada aspek perundangan tiada hujah yang kuat dari orang yang mendakwa, Jadi, proses (roboh kediaman) terpaksa diteruskan hari ini,” katanya.

Tuesday, November 20, 2018

ARMADA SELANGOR TUNTUT P. WAYTHA MOORTHY LETAK JAWATAN



KUALA LUMPUR : Sebelum ini. usaha ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ditentang Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jika perkara itu menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.


Terbaru, Armada Selangor menyatakan pendirian sama dengan menyifatkan tiada keperluan untuk meratifikasi dokumen berkenaan kerana Malaysia sudah memiliki Perlembagaan Persekutuan yang merupakan acuan paling sesuai dan berkesan dalam memupuk perpaduan.


Ketuanya, Adhif Syan Abdullah sedar bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya berniat membawa isu ICERD ke meja rundingan bagi mendengar pandangan semua pihak berkepentingan.

“Perdana Menteri jelas menyatakan ICERD mustahil ditandatangani, namun perbincangan mengenainya dibolehkan. Walau bagaimanapun, isu ini telah mengundang reaksi marah orang Melayu dan ini petunjuk jelas bahawa ratifikasi ICERD tidak akan terjadi.

“Maka usaha ratifikasi ini hendaklah dihentikan dan menteri bertanggungjawab wajar memfokuskan kepada perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adhif Syan menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam selepas video wawancara dengan sebuah stesen televisyen di Belanda 10 tahun lalu yang berbaur perkauman tular.

Tegasnya, Armada Selangor turut menuntut agar Waytha Moorthy meletakkan jawatan serta-merta kerana kredibilitinya sebelum ini sudah hilang dan ini memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan.


Monday, November 19, 2018

TERENGGANU FOKUS PELANCONGAN EKO RIMBA



KUALA BERANG, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang merancakkan lagi program pelancongan berasaskan eko rimba bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Terengganu akan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara taman tersebut bagi memastikan ia lebih tersusun serta terjaga.

Beliau berkata Terengganu mempunyai enam taman eko rimba yang menjadi fokus dan produk pelancongan utama negeri dikawal selia Jabatan Perhutanan Negeri, terdiri daripada Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Tembakah dan Lata Belantan, Besut; Air Terjun Chemerong dan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun; serta Air Terjun Menderu, Kertih.

"Saya dimaklumkan peruntukan diterima jabatan untuk mengurus dan menyelenggara setiap taman sekitar RM20,000 setahun dan ia agak kecil. Jadi saya meminta pihak jabatan kemukakan perancangan dan InsyaAllah kita akan tambah peruntukan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hutan Lipur Sekayu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Terengganu Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata produk pelancongan berasaskan eko rimba di negeri ini mempunyai prospek pelancongan yang cerah dan dibuktikan melalui peningkatan kehadiran pelancong di enam kawasan berkenaan.

"Jumlah kedatangan pengunjung di Hutan Lipur Sekayu dari Mac hingga Oktober tahun ini, ialah 40,000 orang berbanding 21,000 pengunjung bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kita yakin dengan peningkatan promosi dan program pemuliharaan persekitaran seperti taman orkid dan herba di hutan lipur yang akan dilaksanakan nanti pasti meningkatkan lagi minat pelancong berkunjung ke sini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata pihaknya juga sedang menyiapkan Pelan Rancangan Pembangunan Hutan Lipur yang akan siap dan dibentangkan pada tahun hadapan.

Beliau berkata pelan itu nanti akan menyediakan rancangan pembangunan lebih menyeluruh, tersusun dan sistematik bagi melonjakkan pelancongan eko rimba.

-- BERNAMA

Sunday, November 18, 2018

EPIC BAWA PELAJAR MISKIN MAKAN KFC DAN MAIN BOLING

KEMAMAN: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) sekali lagi melibatkan diri dengan program CSR yang diwujudkan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamad Nor, bersempena dengan musim persekolahan 2019, EPIC Berhad sekali lagi menganjurkan program "Back To School" yang merupakan salah satu tanggungjawan sosial EPIC.

"Saban tahun program ini diwujudkan untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa pada hari ini dan kami memberi fokus kepada mereka yang kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan dalam bandar dan luar bandar," kata beliau.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Abdul Adzim Abdul Hamid, Pengurus Besar  Perancangan Korporat, Komunikasi, Pembangunan dan Projek Khas EPIC.

Katanya lagi, kami mengharapkan dengan program ini, pelajar yang kurang berkemampuan dapat merasai sendiri keseronokan membeli peralatan sekolah seperti pelajar lain yang mempunyai ibubapa yang berkemampuan.

"Tahun ini kami memilih dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Jaya dan Sekolah Kebangsaan Seri Meraga," katanya lagi.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya Exco Kerajaan Negeri, Haji Hanafiah Mat mencadangkan EPIC supaya memilih empat sekolah mengikut empat DUN dalam parlimen Kemaman.

Namun demikian beliau mengucapkan syabas kepada EPIC yang berusaha meneruskan CSR kepada para pelajar yang tidak berkemampuan.

"Usaha murni EPIC wajar diteruskan oleh semua syarikat GLC di Terengganu," katanya.

40 pelajar dari dua sekolah tersebut menerima pakaian sekolah, kasut sekolah, alat alat tulis dan beg sekolah. Mereka di sebelah pagi membeli barang barang di Yellow Town. Selepas itu mereka dibawa makan KFC di restoran KFC di Yellow Town.

Di sebelah petang mereka dibawa ke Mesra Mall, Kerteh di mana mereka dibawa bermain boling sebelum majlis perasmian penutup yang diadakan di situ.

Friday, November 16, 2018

KES MENANG TAPI DR STRERAM BELUM TENTU JADI CALON PRK RANTAU



SHAH ALAM: Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mahu parti berkenaan meletakkan calon wanita di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan yang bakal diadakan.

Zuraida yang juga bekas Ketua Wanita PKR berkata, beliau telahpun mempunyai dua orang calon wanita dari negeri itu yang difikirkan layak dan akan membawa nama-nama berkenaan kepada barisan kepimpinan untuk dipertimbangkan.

Beliau menambah parti berkenaan bagaimanapun belum membuat sebarang perbincangan berkaitan PRK berkenaan.

"Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) PRU-14 lepas kita (PKR) tidak mempunyai calon wanita di Negeri Sembilan dan PRK DUN Rantau ini saya cadangkan agar diletakkan seorang calon wanita.

"Rakyat Negeri Sembilan dilihat khusus mahukan calon yang lahir di sana dan dua nama yang saya ada ini merupakan anak tempatan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2018 di Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN itu pada PRU14 sebagai batal dan tidak sah. Mohamad menang kerusi DUN itu tanpa bertanding pada 28 April lalu selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk pusat penamaan kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.


Dalam petisyennya Dr Streram menamakan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram juga mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

- Bernama

Thursday, November 15, 2018

DAH DUA TAHUN BAWA PASANGAN KHALWAT KE KUBUR BARU HEBOH HARI INI



SUNGAI PETANI: Kumpulan antikhalwat Skuad Badar mempertikaikan tindakan pihak yang mempersoalkan kaedah tarbiah mereka dengan membawa pasangan ditangkap khalwat ke kubur.

Pengerusinya Azhaar Mohamad berkata operasi cegah maksiat dan khalwat itu telah dijalankan selama dua tahun di Sungai Petani tanpa sebarang bantahan, lapor sebuah portal.

Malah, katanya, pasukan polis daerah Kuala Muda turut meminta kerjasama mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah moral di sekitar kawasan itu, kata Azhaar.

“Kegiatan ini bukan hari ini baru dilakukan, bukan baru hari ini saya letak di Facebook. Kenapa hari ini baru dipertikaikan?

“Jika kami bersalah, kenapa pihak polis tak panggil kami?” beliau dipetik sebagai berkata hari ini.

The Malaysian Insider (TMI) melaporkan Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa semalam berkata operasi kumpulan ini secara polis moral “tidak sah” kerana tidak mendapat keizinan pihak berkuasa agama atau penguat kuasa persekutuan.

Anggota parlimen Sungai Petani Johari Abdul pula dilaporkan berkata tindakan Skuad Badar itu “keterlaluan”.

Sementara itu, Azhaar mengakui laporan polis yang dibuat sebelum memulakan operasi bukanlah satu “kebenaran”.

Bagaimanapun, katanya mereka tidak ditegah menjalankan operasi tersebut dan menasihati agar tidak melanggar undang-undang, katanya.

Skuad Badar dilapor menjalankan aktiviti sukarela mencari pasangan Islam yang tiada ikatan sah bermadu kasih di hotel-hotel sekitar Sungai Petani.

Pasangan kemudian dibawa ke tanah perkuburan di Masjid Padang Temusu bagi sesi tarbiah kerana percaya kaedah itu berkesan.

Azhaar juga berkata mereka mendapat kebenaran daripada ibu bapa suspek yang ditahan atas kesalahan syariah

Mengulas itu pendaftaran kumpulan, Azhaar yang turut dikenali sebagai Ayah Ad berkata mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan kerenah birokrasi.

“Kali pertama (hantar borang) ditolak, tanpa sebarang sebab.

“Apabila kami hantar kali kedua, ROS kata perlu melalui polis, polis kata perlu melalui pejabat agama, tanya pejabat agama pula mereka kata melalui polis.

“Saya beranggapan, kami sudah berdaftar tetapi mereka yang tidak lulus,” beliau dipetik sebagai berkata.