Thursday, November 22, 2018
BEBERAPA PULAU DI SETIU DAN SETIU WETLAND JADI TARIKAN PELANCONGAN
SETIU, 22 Nov (Bernama) -- Pemain industri pelancongan di Terengganu disaran menyediakan pakej yang menggabungkan percutian ke pulau dan lawatan ke Tanah Bencah Setiu atau lebih dikenali sebagai Setiu Wetland.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata ia bertujuan menarik pelancong tempatan dan luar negara bagi merasai pengalaman berbeza memandangkan kedua-dua kawasan itu mempunyai kelebihan tersendiri.
"Beberapa pulau di Setiu sering menjadi tarikan pelancong luar negara dan kita berharap perkara yang sama berlaku di Setiu Wetland. Kita (Kerajaan Negeri) berhasrat menjadikan gabungan dua kawasan ini sebagai tarikan baharu, melonjakkan industri pelancongan dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja beliau ke Setiu Wetland di sini hari ini.
Setiu mempunyai beberapa buah pulau yang sentiasa menerima kunjungan pelancong setiap tahun antaranya Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.
Setiu Wetland bukan sahaja tanah bencah semulajadi yang terluas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tetapi juga direkodkan mempunyai kepelbagaian ekosistem merangkumi air tawar, air payau, laut serta laguna yang mengunjur kira-kira 14 kilometer dengan pasir pantai.
Selain itu, di tanah bencah itu juga terdapat populasi tuntung laut dan tuntung sungai yang sangat terancam selain menjadi habitat bagi 29 spesies mamalia, 112 spesies burung serta 28 spesies reptilia.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment