Monday, November 19, 2018

TERENGGANU FOKUS PELANCONGAN EKO RIMBA



KUALA BERANG, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang merancakkan lagi program pelancongan berasaskan eko rimba bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Terengganu akan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara taman tersebut bagi memastikan ia lebih tersusun serta terjaga.

Beliau berkata Terengganu mempunyai enam taman eko rimba yang menjadi fokus dan produk pelancongan utama negeri dikawal selia Jabatan Perhutanan Negeri, terdiri daripada Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Tembakah dan Lata Belantan, Besut; Air Terjun Chemerong dan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun; serta Air Terjun Menderu, Kertih.

"Saya dimaklumkan peruntukan diterima jabatan untuk mengurus dan menyelenggara setiap taman sekitar RM20,000 setahun dan ia agak kecil. Jadi saya meminta pihak jabatan kemukakan perancangan dan InsyaAllah kita akan tambah peruntukan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hutan Lipur Sekayu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Terengganu Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata produk pelancongan berasaskan eko rimba di negeri ini mempunyai prospek pelancongan yang cerah dan dibuktikan melalui peningkatan kehadiran pelancong di enam kawasan berkenaan.

"Jumlah kedatangan pengunjung di Hutan Lipur Sekayu dari Mac hingga Oktober tahun ini, ialah 40,000 orang berbanding 21,000 pengunjung bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kita yakin dengan peningkatan promosi dan program pemuliharaan persekitaran seperti taman orkid dan herba di hutan lipur yang akan dilaksanakan nanti pasti meningkatkan lagi minat pelancong berkunjung ke sini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata pihaknya juga sedang menyiapkan Pelan Rancangan Pembangunan Hutan Lipur yang akan siap dan dibentangkan pada tahun hadapan.

Beliau berkata pelan itu nanti akan menyediakan rancangan pembangunan lebih menyeluruh, tersusun dan sistematik bagi melonjakkan pelancongan eko rimba.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment