Tuesday, November 20, 2018

ARMADA SELANGOR TUNTUT P. WAYTHA MOORTHY LETAK JAWATAN



KUALA LUMPUR : Sebelum ini. usaha ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ditentang Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jika perkara itu menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.


Terbaru, Armada Selangor menyatakan pendirian sama dengan menyifatkan tiada keperluan untuk meratifikasi dokumen berkenaan kerana Malaysia sudah memiliki Perlembagaan Persekutuan yang merupakan acuan paling sesuai dan berkesan dalam memupuk perpaduan.


Ketuanya, Adhif Syan Abdullah sedar bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya berniat membawa isu ICERD ke meja rundingan bagi mendengar pandangan semua pihak berkepentingan.

“Perdana Menteri jelas menyatakan ICERD mustahil ditandatangani, namun perbincangan mengenainya dibolehkan. Walau bagaimanapun, isu ini telah mengundang reaksi marah orang Melayu dan ini petunjuk jelas bahawa ratifikasi ICERD tidak akan terjadi.

“Maka usaha ratifikasi ini hendaklah dihentikan dan menteri bertanggungjawab wajar memfokuskan kepada perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adhif Syan menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam selepas video wawancara dengan sebuah stesen televisyen di Belanda 10 tahun lalu yang berbaur perkauman tular.

Tegasnya, Armada Selangor turut menuntut agar Waytha Moorthy meletakkan jawatan serta-merta kerana kredibilitinya sebelum ini sudah hilang dan ini memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan.


No comments:

Post a Comment