Thursday, November 15, 2018
DAH DUA TAHUN BAWA PASANGAN KHALWAT KE KUBUR BARU HEBOH HARI INI
SUNGAI PETANI: Kumpulan antikhalwat Skuad Badar mempertikaikan tindakan pihak yang mempersoalkan kaedah tarbiah mereka dengan membawa pasangan ditangkap khalwat ke kubur.
Pengerusinya Azhaar Mohamad berkata operasi cegah maksiat dan khalwat itu telah dijalankan selama dua tahun di Sungai Petani tanpa sebarang bantahan, lapor sebuah portal.
Malah, katanya, pasukan polis daerah Kuala Muda turut meminta kerjasama mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah moral di sekitar kawasan itu, kata Azhaar.
“Kegiatan ini bukan hari ini baru dilakukan, bukan baru hari ini saya letak di Facebook. Kenapa hari ini baru dipertikaikan?
“Jika kami bersalah, kenapa pihak polis tak panggil kami?” beliau dipetik sebagai berkata hari ini.
The Malaysian Insider (TMI) melaporkan Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa semalam berkata operasi kumpulan ini secara polis moral “tidak sah” kerana tidak mendapat keizinan pihak berkuasa agama atau penguat kuasa persekutuan.
Anggota parlimen Sungai Petani Johari Abdul pula dilaporkan berkata tindakan Skuad Badar itu “keterlaluan”.
Sementara itu, Azhaar mengakui laporan polis yang dibuat sebelum memulakan operasi bukanlah satu “kebenaran”.
Bagaimanapun, katanya mereka tidak ditegah menjalankan operasi tersebut dan menasihati agar tidak melanggar undang-undang, katanya.
Skuad Badar dilapor menjalankan aktiviti sukarela mencari pasangan Islam yang tiada ikatan sah bermadu kasih di hotel-hotel sekitar Sungai Petani.
Pasangan kemudian dibawa ke tanah perkuburan di Masjid Padang Temusu bagi sesi tarbiah kerana percaya kaedah itu berkesan.
Azhaar juga berkata mereka mendapat kebenaran daripada ibu bapa suspek yang ditahan atas kesalahan syariah
Mengulas itu pendaftaran kumpulan, Azhaar yang turut dikenali sebagai Ayah Ad berkata mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan kerenah birokrasi.
“Kali pertama (hantar borang) ditolak, tanpa sebarang sebab.
“Apabila kami hantar kali kedua, ROS kata perlu melalui polis, polis kata perlu melalui pejabat agama, tanya pejabat agama pula mereka kata melalui polis.
“Saya beranggapan, kami sudah berdaftar tetapi mereka yang tidak lulus,” beliau dipetik sebagai berkata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment