Sunday, November 18, 2018

EPIC BAWA PELAJAR MISKIN MAKAN KFC DAN MAIN BOLING

KEMAMAN: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) sekali lagi melibatkan diri dengan program CSR yang diwujudkan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamad Nor, bersempena dengan musim persekolahan 2019, EPIC Berhad sekali lagi menganjurkan program "Back To School" yang merupakan salah satu tanggungjawan sosial EPIC.

"Saban tahun program ini diwujudkan untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa pada hari ini dan kami memberi fokus kepada mereka yang kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan dalam bandar dan luar bandar," kata beliau.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Abdul Adzim Abdul Hamid, Pengurus Besar  Perancangan Korporat, Komunikasi, Pembangunan dan Projek Khas EPIC.

Katanya lagi, kami mengharapkan dengan program ini, pelajar yang kurang berkemampuan dapat merasai sendiri keseronokan membeli peralatan sekolah seperti pelajar lain yang mempunyai ibubapa yang berkemampuan.

"Tahun ini kami memilih dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Jaya dan Sekolah Kebangsaan Seri Meraga," katanya lagi.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya Exco Kerajaan Negeri, Haji Hanafiah Mat mencadangkan EPIC supaya memilih empat sekolah mengikut empat DUN dalam parlimen Kemaman.

Namun demikian beliau mengucapkan syabas kepada EPIC yang berusaha meneruskan CSR kepada para pelajar yang tidak berkemampuan.

"Usaha murni EPIC wajar diteruskan oleh semua syarikat GLC di Terengganu," katanya.

40 pelajar dari dua sekolah tersebut menerima pakaian sekolah, kasut sekolah, alat alat tulis dan beg sekolah. Mereka di sebelah pagi membeli barang barang di Yellow Town. Selepas itu mereka dibawa makan KFC di restoran KFC di Yellow Town.

Di sebelah petang mereka dibawa ke Mesra Mall, Kerteh di mana mereka dibawa bermain boling sebelum majlis perasmian penutup yang diadakan di situ.

No comments:

Post a Comment