Sunday, December 17, 2017

TERENGGANU SAMPAIKAN INSENTIF KEJAYAAN SUKAN SEA DAN PARA ASEAN


KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif kejayaan Sukan Sea dan Para Asean 2017 berjumlah RM380,175 kepada 132 atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri.

Insentif disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam satu majlis di sini malam ini.

Menerusi Insentif/Skim Hadiah Kemenangan (Shake), seramai 100 orang atlet bagi acara individu menerima wang tunai mengikut pingat yang dikutip iaitu emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

Sultan Mizan yang memenangi pingat emas bagi acara kuda lasak (Endurance) pada temasya Sukan Sea 2017 lalu turut menerima insentif tersebut.

Manakala bagi atlet acara berpasukan mereka menerima wang tunai bagi penerima pingat emas (RM2,500), perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).

Kerajaan Terengganu turut meraikan 100 atlet yang terpilih mewakili negara dalam kedua-dua temasya itu menerusi Insentif/Skim wakil negara (Swara) yang melayakkan mereka menerima RM500 tiap seorang.

Atlet berbasikal, Fatehah Mustapa merupakan penerima terbanyak bagi insentif bagi Sukan Sea 2017 iaitu sebanyak RM18,000 manakala Zuhairie Ahmad Tarmizi pula menerima RM18,500 atas kejayaannya dalam temasya sukan Para ASEAN 2017.

Pada majlis itu juga sebanyak tiga presiden persatuan sukan menerima RM5,000 setiap seorang yang menerima Anugerah Kepimpinan Persatuan Cemerlang.

Mereka ialah Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, A.Razak Mat Amin; dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment