Saturday, December 2, 2017

BANTUAN PERSEKOLAHAN 2018 DIAGIHKAN PERTENGAHAN BULAN INI

KUALA NERUS, 2 Dis (Bernama) -- Dana Bantuan Persekolahan Terengganu bagi sesi 2018 akan mula diagihkan kepada pelajar yang layak pada pertengahan bulan ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya permohonan dalam talian telah pun ditutup dan proses saringan pelajar dibuat oleh jawatankuasa di peringkat pejabat daerah bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan dana tersebut.


"Jumlah dana memang meningkat setiap tahun dan diharap bantuan dana ini dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan kerana kita sedia maklum persiapan untuk memasuki penggal persekolahan yang baharu juga adalah kos," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini hari ini.

Pada tahun ini, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan untuk dana itu kepada hampir RM14 juta bagi menampung keperluan lebih 120,000 pelajar yang layak.

Pada tahun lepas, sebanyak RM10.9 juta diperuntukkan untuk 109,880 pelajar bagi sesi persekolahan 2017 manakala RM10.4 juta (2016), RM10.1 juta (2015) dan RM9.4 juta (2014).

Ahmad Razif berkata pada tahun ini juga kerajaan negeri meningkatkan syarat kelayakan permohonan iaitu pendapatan keluarga RM2,500 ke bawah berbanding RM2,000 sebelum ini.

"Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan dana persekolahan ini RM100 dan kita menetapkan maksimum dua pelajar untuk setiap keluarga.

"Bantuan yang diberi kerajaan negeri ini membuktikan keprihatinan terhadap bidang pendidikan agak anak-anak keluarga kurang berkemampuan ini dapat memasuki sesi persekolahan baharu dengan pakaian lengkap sama seperti anak yang lain," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment