KUALA TERENGGANU, 14 Dis (Bernama) -- Isu Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) tidak perlu lagi dipolitikkan oleh pihak pembangkang yang hanya mahu menjadi juara di mata rakyat kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama menyelesaikan perkara itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata isu tersebut sentiasa ditimbulkan dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun telah banyak penjelasan dibuat kepada wakil pembangkang.
"Walau sudah beratus kali, beribu kali kita jelaskan, mereka tetap tidak mahu faham. Jadi hari ini, saya nak jelaskan...biarlah ini yang terakhir agar semua faham. Apabila dibangkitkan di luar sana, rakyat tidak lagi keliru kerana telah faham dengan jelas berkenaan DKKP ini.
"Pertama, memang kita akui bahawa projek yang telah menggunakan duit dana kerajaan negeri iaitu untuk program rumah mesra rakyat negeri lain sebanyak RM771.344 juta, dana khas kerajaan persekutuan negeri-negeri lain RM717.300 juta, projek jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang pakej 6A dari Aring ke sempadan Kelantan-Terengganu iaitu RM197.610 juta.
"Seterusnya, projek perumahan TUDM Gong Kedak (RM35 juta), perbelanjaan pengurusan Universiti Darul Iman (RM22.4 juta), perolehan tanah 100 ekar untuk projek Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC (RM21.344 juta), bayaran pampasan tanah Pulau Redang (RM4.907 juta) dan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (RM400 juta) dengan jumlah keseluruhannya RM2.169 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab beberapa soalan daripada wakil pembangkang mengenai DKKP ketika menggulung perbahasan Bajet Terengganu 2018 pada persidangan DUN itu hari ini.
Seterusnya, Ahmad Razif berkata jumlah DKKP sebanyak RM2.169 bilion itu telah mula dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu bermula pada tahun 2011 dan akan selesai pada tahun 2020.
Beliau berkata sebanyak RM200 juta dibayar pada tahun 2011, 2012 (RM200 juta), 2013 (RM220 juta) dan jumlah yang sama dibayar hingga 2019 di mana bayaran terakhir ialah pada tahun 2020 iaitu sebanyak 229 juta.
"Saya sudah berkali-kali sebut dan jawab hal ini dalam hampir setiap kali DUN bersidang. Sebenarnya tidak ada isu langsung. Apa matlamat kita sebenarnya? Matlamat kita ialah mendapatkan hasil pendapatan untuk rakyat dan negeri," katanya.
"Isu pembayaran DKKP tidak menjadi masalah. Rakyat Terengganu tetap dapat DKKP...yang jadi masalah kalau kita tak dapat dana tersebut," katanya.
Beliau turut mengulas mengenai saman yang ditarik balik kerajaan negeri yang dibangkitkan Mohd Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung tuntutan yang difailkan terhadap Petronas oleh kerajaan negeri di bawah PAS ketika itu.
"Ia adalah untuk satu perintah supaya Petronas membuat bayaran sebagaimana yang sepatutnya mulai dari 1 Sept 2000 dan di masa-masa hadapan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perjanjian.
"Memandangkan perkara ini telah dilaksanakan, maka pada 21 Mac 2012, kerajaan negeri Terengganu telah menarik balik kes tuntutan ini di mahkamah. Isu ini sudah lima tahun selesai. Ia bukan satu pengkhianatan," katanya.
Tambahnya, hubungan baik dengan Petronas memberi manfaat baik kepada rakyat apabila syarikat itu bersetuju untuk membantu kerajaan negeri melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka di Terengganu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment