Thursday, December 21, 2017

JALAN RAYA BERTINGKAT DI PERSIMPANGAN BUKIT TUMBUH DIBUKA

KUALA NERUS , 21 Dis (Bernama) -- Jalan raya bertingkat di persimpangan Bukit Tumbuh ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus dibuka kepada orang awam mulai hari ini.

Jalan raya bertingkat itu dibina dengan kos sebanyak RM23.9 juta dan mempunyai empat lorong sepanjang 350 meter bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, yang merasmikan pembukaan jalan raya bertingkat itu, berkata projek berkenaan juga memberi keselesaan kepada pengguna terutama mereka yang menggunakan susur ke Seberang Takir, Kuala Nerus.

"Ini adalah satu daripada cara untuk mengurangkan masalah itu buat masa ini, walaupun kita sudah ada Jambatan Pulau Sekati yang dibuka pada 29 Mei lepas dan jambatan angkat yang akan siap nanti.

"Kita rasa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun nanti, akan berlaku lagi kesesakan yang sama. Oleh itu, kita kini membuat persediaan untuk membina jalan raya bertingkat seperti di sini (Bukit Tumbuh) di Durian Burung, Teluk Pasu, Batu Enam,Tepoh hingga membawa ke susur Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

"Kita melihat ia sebagai satu keperluan yang perlu dilakukan dalam tempoh segera kerana kos semasa lebih murah terutama untuk pengambilalihan tanah, jika tunggu lebih lama, kos akan semakin tinggi dan besar" katanya dalam sidang media kemudian.

Projek berkenaan dibina pada November 2015 dan siap pada Disember 2017.

Ahmad Razif berkata Terengganu juga menghantar permohonan kepada kerajaaan pusat supaya meluluskan projek-projek pembinaan jalan raya bertingkat itu bagi meningkatkan potensi Kuala Terengganu untuk terus berkembang dengan pesat.

"Sebanyak RM500 juta peruntukan dicadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu bagi membina jalan raya bertingkat bermula dari lampu isyarat kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Wisma Seri Iman, ke susur masuk Jambatan Sultan Mahmud? ini termasuk jalan ke Gong Kapas, Pasir Panjang dan Bukit Besar," katanya.

Menurutnya pembinaan jalan tersebut juga akan membawa pembangunan kepada masyarakat sekitar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment