KUALA NERUS, 3 Dis ( Bernama) -- Pemuda obesiti, Muhamad Faisal Md Ali, 29, meninggal dunia akibat sesak nafas di rumahnya di Kampung Gelam, Mengabang Telipot, kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Jenazah pemuda seberat 286 kilogram itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot, dekat sini selepas solat Zuhur.
Ibunya, Kasma Md Nor, 58, berkata beliau menyedari Faisal mula sesak nafas setengah jam sebelum itu ketika ingin bangun menunaikan solat Subuh.
"Ketika itu saya melihat wajah Faisal berpeluh dan dia semacam sukar bernafas. Saya tepuk-tepuk pipinya dan meminta abangnya supaya segera memanggil Dresar (Pembantu Perubatan) dari Klinik Kesihatan Batu Rakit untuk melihat keadaan anak saya.
"Tidak lama selepas Dresar sampai dan memeriksa Faisal, anak saya disahkan sudah tiada," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Faisal.
Anak bongsu daripada lima beradik itu sebelum ini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kira-kira dua bulan akibat sesak nafas dan baru pulang ke rumah empat hari lalu.
Mengulas antara permintaan akhir anaknya sebelum meninggal dunia, Kasma berkata ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital, arwah anaknya pernah memintanya membuatkan makanan kegemarannya iaitu nasi kerabu.
"Tapi saya beritahu pada dia tak boleh, Doktor tak bagi. Sepanjang di hospital memang Faisal hanya diberikan minum susu enam kali sehari oleh doktor," katanya sebak.
Kasma yang juga seorang pengusaha kuih-muih di kampung tersebut berkata pemergian Faisal satu kehilangan besar baginya kerana selama ini arwah antara anak yang rajin membantunya membuat kuih-muih untuk jualan harian.
"Arwah juga seorang yang periang, boleh kata dia merupakan penghibur kepada keluarga kami, Makcik akan rindu senda gurau Faisal nanti," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment