Tuesday, December 19, 2017

RM240 JUTA BAGI ATASI HAKISAN PANTAI DI MENGABANG TELIPOT DAN PAKA


KEMAMAN, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM240 juta bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Mengabang Telipot dan Paka pada tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memulakan kerja-kerja tambatan mengunakan batu bersaiz besar seberat satu tan untuk menahan hakisan sejak tahun lalu.

"Sebanyak RM90 juta diluluskan bagi kerja-kerja penambakan tebing di sepanjang pesisir pantai di Mengabang Telipot dan RM150 juta di Paka.

"Di Dungun kita perlu dapatkan bajet lain untuk mendalamkan pantai yang cetek dan menahan hakisan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan masyarakat Tionghoa daripada pekan Kerteh di Kemasik di sini, hari ini.

Beliau berkata hakisan tersebut berlaku disebabkan pembangunan di pesisir pantai yang sedikit sebanyak telah menggangu aliran semula jadi permukaan pantai dan laut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Kerteh, Khaw Kian Hup berkata beliau bersama-sama 70 masyarakat bersama-sama 70 masyarakat Tionghoa mengunjungi Rosli hari ini sebagai tanda terima kasih atas kecaknaan dan bantuan diberikan.

"Banyak bantuan dan pertolongan yang diberikan beliau terhadap masyarakat Cina dan beliau tidak pernah membezakan di antara masyarakat Cina ataupun Melayu dengan memberikan layanan samarata," katanya.

Turut serta ialah Ketua Pemuda Persatuan Hainan Kemasik, Lim Tau Khang, Pengerusi MCA Air Jernih, Ng Chon Chai, wakil Gerakan Kemasik, Tuang Dek Soon dan Pengerusi Persatuan Hainan Kemasik, Foo Say Wan.

Rosli amat berbesar hati dengan kunjungan rombongan itu yang merupakan julung kali diadakan dan turut menyatakan rasa terharu apabila mereka memaklumkan ia juga bertujuan untuk meraikan ulang tahun ke-19 perkahwinan beliau dan isterinya Fadzliaton Ruhaizan Ramli yang disambut hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment