Saturday, December 16, 2017

ADIK AZEEZ RAHIM TANDING DI DUN TAMAN MEDAN?

oleh ABDULLAH KARIM 

PETALING JAYA: Setiap kali pilihan raya (PRU) menjelang tiba, Bahagian-bahagian Umno di seluruh negara sibuk mengenal pasti tokoh-tokoh tertentu untuk diketengahkan sebagai calon.

Daripada Ketua Bahagian sehinggalah Ahli Jawatankuasa (AJK) semuanya memasang niat untuk jadi wakil rakyat.

Apabila memperkatakan soal siapa hendak jadi calon, Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) tidak pernah sunyi daripada ditimpa perebutan calon untuk diletakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.

Setelah kematian Ketua Bahagian, Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik baru-baru ini, Pemangku Ketua, Jamaludin Razali dikatakan calon pilihan untuk bertanding di situ.

Bagaimanapun, Jamaludin tidak boleh menarik nafas lega. Naib Ketua, Datuk Mutalib Rahim iaitu adik kepada Datuk Azeez Rahim turut mengintai peluang untuk dipilih pada Pilihan Raya (PRU) kali ke-14 yang bakal diadakan seawal tahun hadapan.

Pun begitu, difahamkan selain mereka berdua beberapa nama lagi iaitu terdiri kalangan AJK Bahagian turut disebut untuk dipilih calon Taman Medan.

Antaranya, Ketua Wanita Datin Paduka Norkhaila Jamaludin, Ketua Pemuda, Ridzuan Mahidin, Ketua Puteri, Nor Azmah Abdullah dan Setiausaha, Mohamad Sam A. Wahid.

Nama-nama mereka telahpun diserahkan kepada pucuk pimpinan Umno Negeri dan seterusnya diangkat ke Umno Pusat untuk dimuktamatkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diperhalusi dan seterusnya Perdana Menteri akan nengumumkan calon terpilih.

Seorang Setiausaha Cawangan, Malek Karim berkata daripada tujuh calon yang diketengahkan oleh Umno Bahagian, nama Jamaludin dan Datuk Mutalib menduduki tangga teratas.

Walaupun Datuk Mutalib ada kelebihan dari segi kewangan, namun keramahan dan sikap peduli Jamaludin terhadap masalah penduduk setempat tidak boleh diketepikan oleh Umno Negeri dan Pusat.

"Dari segi kewangan memanglah Jamaludin tak sehebat Datuk Mutalib. Tetapi kami di sini merasakan soal orang itu ada duit atau tidak itu bukan persoalan.

"Apa yang kami semua hendak ialah pemimpin tersebut mestilah orang tempatan iaitu mereka yang tinggal di sini (Kampung Medan) dan bukan mereka yang duduk di tempat lain," katanya.

Beliau mendakwa Datuk Mutalib tinggal di Subang Jaya sementara Jamaludin adalah anak tempatan iaitu Taman Medan.

Beliau berkata dari segi lojik sebaik-baiknya biarlah Jamaludin diberi peluang memandangkan beliau pada masa ini adalah Pemangku Ketua.

"Tak kenalah kalau dia tak terpilih. Sedangkan pada masa ini dia adalah ketua kita," katanya.

Apapun katanya itu hanyalah pandangan beliau dan juga pandangan kebanyakkan ahli Umno di sini. Mereka mengharapkan Jamaludin diberi peluang bertanding pada kali ini daripada mengetengahkan calon lain.

Menguatkan hujahnya bahawa apa yang dikatanya itu adalah benar, beliau meminta penulis datang sendiri ke Taman Medan dan tanyalah sendiri setiap penduduk di sini mengenai penerimaan mereka kepada Jamaludin.

Ketua Cawangan Rumah Panjang Sepakat, Haji Mustapha Othman pula berkata kedua-dua calon iaitu Jamaludin dan Datuk Mutalib mempunyai peluang sama dipilih pada PRU ini.

Kedua mereka layak kerana masing-masing menduduki tangga teratas hiraki Umno Bahagian iaitu pemangku ketua dan naib ketua.

Terserahlah kepada pucuk pimpinan Umno untuk memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi calon Umno pada kali ini.

"Bagaimanapun dikalangan kami di sini, kami mengharapkan Jamaludin dipilih pada kali ini.

"Dia adalah ketua dan seharusnyalah DUN Taman Medan ini diberikan kepada dia," katanya.

Begitupun kata beliau itu hanyalah pandangan ahli di peringkat bahagian. Sebaik-baiknya diserahkan sahaja soal calon ini kepada pigsk berwajib.

Kali terakhir wakil Umno menang di situ ialah pada PRU ke 10 yang mana calonnya pada ketika itu adalah Datuk Haji Wahab Ibrahim. Beliau mengalahkan calon PAS pada pertembungan satu lawan satu.

Pada masa ini DUN Taman Medan diwakili calon Keadilan, Hajah Haniza Mohamad Talha. Beliau mengungguli DUN berkenaan sejak PRU ke11.

No comments:

Post a Comment