Saturday, December 30, 2017

SERAMAI 866 ORANG NELAYAN DAN BURUH TERIMA BANTUAN

KUALA NERUS, 30 Dis (Bernama) -- EPIC Berhad dan Etiqa memperuntukkan RM259,800 bagi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada 866 orang nelayan dan buruh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar merangkap Anggota DUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif berkata sumbangan itu merupakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua syarikat itu bagi membantu nelayan dan buruh yang terjejas pendapatannya ekoran musim tengkujuh yang melanda negeri Pantai Timur ketika ini.

"Sumbangan itu juga bagi membantu ibu bapa membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka di mana penggal baharu akan bermula minggu depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Ahmad Razif juga menasihatkan para nelayan kecil dan rakyat negeri ini agar menangguhkan aktiviti menangkap ikan atau sebarang aktiviti rekreasi yang berkaitan pada musim tengkujuh ini atas faktor keselamatan.

"Kita difahamkan minggu ini juga akan berlaku fenomena ombak besar jadi nak nasihatkan kepada nelayan yang menggunakan bot-bot kecil dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan aktiviti memancing di laut agar ditangguhkan hingga cuaca pulih," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment