Friday, December 1, 2017

SULTAN TERENGGANU GESA MAIDAM GUNAKAN PELBAGAI PENDEKATAN DALAM ISU PERTIKAI ISLAM

KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggunakan pelbagai pendekatan dalam mendepani isu yang mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Baginda turut bertitah agar Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu melakukan perkara yang sama bagi mengelak ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Mutakhir ini kedengaran suara-suara yang mencabar kesucian agama Islam dan mempertikaikan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara kita.

"Perkara-perkara negatif seperti ini jika dibiarkan, akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam serta menjejaskan keharmonian beragama di negara ini," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Terengganu di sini yang bertemakan 'Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara'.

Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Ketika bertitah, Sultan Mizan mencadangkan setiap kali berbangkitnya isu-isu semasa yang boleh menimbulkan kecelaruan dalam beragama, kedua-dua agensi terbabit boleh memberi pencerahan ilmiah dengan mengadakan kuliah, seminar, kursus, khutbah, edaran risalah dan lain-lain cara yang difikirkan perlu.

"Beta juga menggesa agar diperbanyakkan majlis-majlis zikir yang dibenarkan syarak dalam negeri ini, semoga cahaya kebaikan zikrullah akan menghapuskan kegelapan kejahatan yang menyerang, di samping mendapat barakah dan reda daripada Allah," titah baginda.

Selain itu baginda turut berharap agar semua pihak dapat melipatgandakan kekuatan dan semangat mengamalkan suruhan agama bukan sahaja amalan wajib malahan juga amalan sunat dengan penuh yakin dan sempurna.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment