Sunday, December 31, 2017

RIBUAN HADIRI FESTIVAL SILAT SENI TERENGGANU

KEMAMAN: Tahun 2017 melabuhkan tirai semalam dengan Festival Silat Seni diadakan di Dewan Sri Amar di sini. Ribuan penduduk Kemaman membanjiri dewan tersebut untuk menonton festival silat seni yang diadakan dari pagi hingga petang.

Pertubuhan Silat Tarung Tapan 3 Malaysia menjadi penganjur festival bersama Pesaka Terengganu dengan kerjasama Majlis Silat Negeri Terengganu, Jabatan Kesenian Negeri Terengganu sempena Visit Beautiful Terengganu 2017.

Festival satu hari itu juga ada gerai jualan dan pameran senjata lama dan purba. 15 orang guru dari pelbagai pertubuhan silat dari Pahang, Terengganu dan Kelantan bersama guru guru tua Kemaman dan Terengganu memeriahkan festival.

Selain persembahan dari guru guru utama silat sekitar Kemaman dan Terengganu, festival juga turut mempertandingkan beberapa kategori seperti solo kreatif puteri, ganda putera puteri tekong dan permainan gelut yang diperkenalkan oleh Persatuan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia.

Turut hadir ialah Datuk Osman Nok dari Pesaka Malaysia yang merupakan pengurus besar team Silat Malaysia.

Setiausaha Persatuan Silat Negeri Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar telah menutup festival mewakili Yang Dipertua Pesaka Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Saturday, December 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN DISEMBER 2017

Posting "44 orang TCS terlibat dalam rombakan" menggungguli rating tertinggi bagi bulan Disember 2017 dengan sebanyak 525 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Disember 2017 adalah seperti berikut:-

1. 44 orang TCS terlibat dalam rombakan ( 20.12)
2. Status telaga minyak Bertam diketahui bulan hadapan (12.12)
3. Ustaz Zul dalam kenangan (28.12)
4. Perwakilan menunggu kemunculan Shamsul Debat (7.12)
5. MB perkenal Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (26.12)
6. Dira tegur Sheila Majid di gelanggang yang tepat (10.12)
7. Kawalan keselamatan di Wisma Darul Iman tidak ketat? (13.12)
8. RM240 juta bagi hakisan pantai di Mengabang Telipot dan Paka (19.12)
9. Bantuan persekolahan tak ambil kira ideologi ibu bapa pelajar (29.12)
10. BN akan letak lebih ramai calon wanita (4.12)

SERAMAI 866 ORANG NELAYAN DAN BURUH TERIMA BANTUAN

KUALA NERUS, 30 Dis (Bernama) -- EPIC Berhad dan Etiqa memperuntukkan RM259,800 bagi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada 866 orang nelayan dan buruh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar merangkap Anggota DUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif berkata sumbangan itu merupakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua-dua syarikat itu bagi membantu nelayan dan buruh yang terjejas pendapatannya ekoran musim tengkujuh yang melanda negeri Pantai Timur ketika ini.

"Sumbangan itu juga bagi membantu ibu bapa membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka di mana penggal baharu akan bermula minggu depan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Ahmad Razif juga menasihatkan para nelayan kecil dan rakyat negeri ini agar menangguhkan aktiviti menangkap ikan atau sebarang aktiviti rekreasi yang berkaitan pada musim tengkujuh ini atas faktor keselamatan.

"Kita difahamkan minggu ini juga akan berlaku fenomena ombak besar jadi nak nasihatkan kepada nelayan yang menggunakan bot-bot kecil dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan aktiviti memancing di laut agar ditangguhkan hingga cuaca pulih," katanya.

-- BERNAMA

Friday, December 29, 2017

BANTUAN PERSEKOLAHAN TAK AMBIL KIRA IDEOLOGI POLITIK IBU BAPA PELAJAR

KUALA NERUS, 29 Dis (Bernama) -- Pemberian bantuan persekolahan oleh Kelab Putera 1Malaysia (KPIM) tidak pernah mengambil kira ideologi politik ibu bapa pelajar yang menerima bantuan berkenaan, kata Pengerusi KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata bantuan yang diberikan adalah semata-mata mahu meringankan perbelanjaan rakyat khususnya ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Di sini kita lihat walaupun 1,000 anak-anak sekolah yang menerima bantuan, tetapi kehadiran hampir 5,000... ibu bapa, keluarga, waris datang bersama, makan dan minum, bersembang dengan Meneri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Inilah yang kita buat pendekatan dengan rakyat.

"Sesungguhnya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah usulkan satu kertas kerja pembentangan bajet yang cukup murni untuk membantu rakyat, bajet mesra rakyat yang mahu pastikan pada Januari ini, mereka (rakyat) akan dapat manfaatnya,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih Happy 2 School di stadium tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini yang turut dihadiri Ahmad Razif.

Thursday, December 28, 2017

USTAZ ZUL DALAM KENANGAN

KEMAMAN: Dua hari lepas kita dikejutkan dengan berita kematian ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman, Ustaz Zulkipli Sulong, 46 tahun. Tak dengar berita arwah sakit tiba tiba pagi Rabu lalu kita terkejut mendengar berita kematiannya. Mungkin kematiannya berkait dengan sakit jantung.

Yusof Jaafar selalu merungut Ustaz Zul tidak baca grup whatsapp Cakna Sokmo yang mana Yusof adalah adminnya. Pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Haji Mustafa Abdul Rahman yang berada di luar negara atas urusan rasmi terkejut mendengar berita kematian sahabat karibnya itu kerana 10 minit sebelum meninggal arwah sempat whatsapp kepada Datuk Haji Pa.

Ustaz Zul adalah anak kelahiran Seberang Tayur Hilir. Ayahnya Pak Sulong adalah bekas ketua kampung dan bekas ketua Umno cawangan. Ustaz Zul lulusan universiti di Jordan pernah mengajar di Sarawak sebelum ditukarkan ke sebuah sekolah di Seri Bandi, Kemaman.

Pada 2004, beliau mula berjinak dalam politik apabila memenangi jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman. Selepas itu beliau memenangi jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman pada 2009 dan 2013.

Menjelang PRU 2013, namanya disebut sebut sebagai calon BN bagi DUN Air Putih tetapi beliau tak ada rezeki jadi calon apabila Wan Hakim Wan Mokhtar dikekalkan sebagai calon BN. Sekali lagi menjelang PRU 2018, arwah yang juga Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih turut disebut sebut sebagai calon Air Putih kerana kononnya Wan Hakim mahu bertanding di kerusi parlimen pula.

Setiap kali ada majlis dalam DUN Air Putih, Wan Hakim membawa tiga orang bakal calon iaitu Ustaz Zul, Norzilam Mohamad dan Dr Zaki. Tetapi sayangnya umur Ustaz Zul tidak panjang.Cita citanya untuk jadi wakil rakyat Air Putih tidak kesampaian. Allah lebih menyayanginya.

Selain mengajar agama Islam, beliau juga seorang kontraktor bersih kawasan sekolah. Suatu hari beliau whatsapp saya minta tolong saya whatsapp Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid merungut ramai kontraktor di Kemaman sudah tiga bulan tidak dapat bayaran.

Maka saya penuhi permintaannya whatsapp kepada Mahdzir. Esoknya dia call saya beritahu Mahdzir arahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk buat bayaran kepada semua kontraktor untuk satu bulan dahulu. Sebagai ahli jawatankuasa Umno Bahagian kemaman yang pernah menang G7 beliau ucap terima kasih kepada Mahdzir yang perihatin dengan nasib kontraktor Bumiputera lebih lebih lagi Mahdzir mahu bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Banyak yang boleh saya tulis tentang Ustaz Zul tetapi biarlah ia menjadi rahsia antara kami berdua. Yang peliknya tiga orang bakal calon sudah dijemput pulang iaitu Wan Asri bakal calon DUN Chukai, Haji Yahya Mohamad bakal calon DUN Kijal dan Ustaz Zul bakal calon Air Putih. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Alfatihah buat Ustaz Zul.

Tuesday, December 26, 2017

MB PERKENAL SEKOLAH RENDAH AGAMA YAYASAN ISLAM TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 26 Dis (Bernama) -- Yayasan Islam Terengganu (YIT) bakal memulakan operasi sekolah rendah baharu untuk sesi persekolahan 2018 bermula 1 Jan depan.

Pengarahnya Datuk Dr Alias Abdullah berkata ketika ini, proses pendaftaran masih dibuka kepada ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.

"Sekolah Rendah Agama YIT (SRAYIT) itu akan beroperasi mulai 7.30 pagi hingga 5 petang dengan penyediaan makan minum untuk murid Tahun Satu disediakan pihak sekolah.

"Kelas ini adalah lanjutan daripada kelas tadika dan tadika elit YIT yang beroperasi di setiap daerah di mana sekolah rendah ini akan menyerlahkan kesinambungan pengajaran dan pembelajaran yang bertaraf antarabangsa di Terengganu,\" katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sekolah rendah agama itu adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang akan menggabungkan sukatan mata pelajaran Kementerian Pendidikan dan al Quran.

SRAYIT akan menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) selain tumpuan terhadap pembelajaran al Quran.

Mengulas lanjut, Alias berkata pembukaan SRAYIT itu adalah alternatif baharu untuk ibu bapa di negeri ini yang mahukan sistem pembelajaran terbaik untuk anak mereka.

"Yuran yang dikenakan juga adalah berpatutan dan paling penting hasrat Menteri Besar agar murid-murid sekolah ini menjadi legasi generasi ulul albab? SRAYIT akan menjadi 'feeder school' untuk Sekolah Menengah Imtiaz yang diuruskan Yayasan Terengganu," katanya.

Ibu bapa yang berminat masih boleh membuat pendaftaran di SRAYIT yang terletak di Bangunan YIT di Kampung Losong Haji Mat Shafie atau hubungi talian 09-6300300 dan 0199825673 untuk mendapatkan butiran lanjut.

-- BERNAMA

Monday, December 25, 2017

PUTERI UMNO PERLU MAHIR BERDEBAT

KUALA BERANG, 25 Dis (Bernama) -- Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin mahu anggota pergerakan itu memahirkan diri dengan ilmu 'perdebatan' untuk menjadi jurucakap kepada parti terutama dalam mematahkan dakwaan pembangkang.

Beliau berkata kemahiran itu juga penting semasa berkempen pada pilihan raya umum kelak.

Selain itu, katanya anggota Puteri juga perlu membuat persediaan rapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka tidak lama lagi.

"Di samping itu, JRPlus (Jalinan Rakyat) harus menjadi gerak kerja utama dan Puteri khususnya perlu memperhalusi gerak kerja dan penyatuan sesama mereka harus lebih erat (dalam menghadapi PRU14) ," katanya.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Perlancongan dan Kebudayaan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perjumpaan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO TerengganuErni Salwani Saidi dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozita Ismail.

-- BERNAMA

KERAJAAN NEGERI SEDIA BERI KERJASAMA KEPADA FELDA

KUALA NERUS, 25 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama dalam apa jua bentuk bagi menjayakan projek rumah untuk generasi kedua Felda di Rancangan Felda Belara di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebanyak 79 unit rumah untuk 79 keluarga generasi kedua Felda Belara akan dibangunkan seperti projek di Chalok, Setiu yang telah dilaksanakan Syarikat Perumahan Malaysia Berhad (SPMB).

"Rumah sebuah-sebuah itu akan dibina di atas tanah kepunyaan Felda, manakala pembinaannya akan dilaksanakan oleh SPMB dengan bayaran secara ansuran bulanan, " katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan Felda Belara di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu dijangka akan bermula tahun hadapan dan majlis pecah tanah akan dilaksanakan pada Februari ini serta dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Katanya sudah sampai masanya rumah untuk generasi kedua golongan itu dibina di situ kerana ia sudah lama dirancang, tetapi belum dapat dilaksanakan hingga kini

Friday, December 22, 2017

TAHUN BARU 2018 DISAMBUT DENGAN SOLAT HAJAT

KUALA TERENGGANU, 22 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan khusus menjelang tahun baharu 2018 minggu hadapan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sebaliknya pada malam tersebut, ia akan diisi dengan pelbagai program berbentuk keagamaan.

"Pada 31 Dis, sambutan bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus bermula 10 malam. Sebelum itu kita akan bermula dengan makan malam terlebih dahulu pada 9 malam. Slot 10 malam itu akan diisi dengan ceramah agama, yang mana kita akan panggil penceramah dan mengadakan forum hingga 11.45 malam.

"Pada 12.01 kita akan buat solat hajat dan mohon semoga dilindungi pada tahun baharu yang bakal menjelma. Tahun ini juga kita tidak akan adakan sebarang pertunjukan bunga api" katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berharap semua masyarakat berbalik semula kepada asas dengan berdoa dan melakukan aktiviti keagamaan demi kesejahteraan agama dan negara

Thursday, December 21, 2017

JALAN RAYA BERTINGKAT DI PERSIMPANGAN BUKIT TUMBUH DIBUKA

KUALA NERUS , 21 Dis (Bernama) -- Jalan raya bertingkat di persimpangan Bukit Tumbuh ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus dibuka kepada orang awam mulai hari ini.

Jalan raya bertingkat itu dibina dengan kos sebanyak RM23.9 juta dan mempunyai empat lorong sepanjang 350 meter bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, yang merasmikan pembukaan jalan raya bertingkat itu, berkata projek berkenaan juga memberi keselesaan kepada pengguna terutama mereka yang menggunakan susur ke Seberang Takir, Kuala Nerus.

"Ini adalah satu daripada cara untuk mengurangkan masalah itu buat masa ini, walaupun kita sudah ada Jambatan Pulau Sekati yang dibuka pada 29 Mei lepas dan jambatan angkat yang akan siap nanti.

"Kita rasa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun nanti, akan berlaku lagi kesesakan yang sama. Oleh itu, kita kini membuat persediaan untuk membina jalan raya bertingkat seperti di sini (Bukit Tumbuh) di Durian Burung, Teluk Pasu, Batu Enam,Tepoh hingga membawa ke susur Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

"Kita melihat ia sebagai satu keperluan yang perlu dilakukan dalam tempoh segera kerana kos semasa lebih murah terutama untuk pengambilalihan tanah, jika tunggu lebih lama, kos akan semakin tinggi dan besar" katanya dalam sidang media kemudian.

Projek berkenaan dibina pada November 2015 dan siap pada Disember 2017.

Ahmad Razif berkata Terengganu juga menghantar permohonan kepada kerajaaan pusat supaya meluluskan projek-projek pembinaan jalan raya bertingkat itu bagi meningkatkan potensi Kuala Terengganu untuk terus berkembang dengan pesat.

"Sebanyak RM500 juta peruntukan dicadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu bagi membina jalan raya bertingkat bermula dari lampu isyarat kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Wisma Seri Iman, ke susur masuk Jambatan Sultan Mahmud? ini termasuk jalan ke Gong Kapas, Pasir Panjang dan Bukit Besar," katanya.

Menurutnya pembinaan jalan tersebut juga akan membawa pembangunan kepada masyarakat sekitar.

-- BERNAMA

Wednesday, December 20, 2017

44 ORANG TCS TERLIBAT DALAM ROMBAKAN



KUALA TERENGGANU:  Seramai 44 pegawai tadbir negeri terbabit dalam rombakan bagi memantapkan lagi urusan pentadbiran kerajaan Terengganu yang berkuat kuasa 1 Januari ini.


Makluman mengenai pertukaran mereka dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail hari ini.


Antara yang terlibat dalam pertukaran itu ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd. Wan Ibrahim ditukarkan ke jawatan Pengarah Tanh dan Galian Terengganu, dan jawatan lama beliau akan diganti oleh Pegawai Daerah / Pentadbiran Tanah Besut, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Samiun Salleh ditukarkan ke jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu manakala Pegawai Daerah / Pentadbiran Tanah Hulu Terengganu, Azmi Razik bertukar ke jawatan sama di Kuala Terengganu.

Pegawai Daerah / Pentadbiran Tanah Marang, Zainal Abidin Mohamed ditukarkan ke jawatan yang sama di Hulu Terengganu diikuti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Shahidan Embok bertukar ke jawatan Pegawai Daerah/Pentadbiran Tanah Besut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mat Azmi Arshad bertukar ke jawatan yang sama tarafnya di Marang; Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Osman A. Bakar ke jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun; Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Wan Mohd. Anuar Wan Endut ditukarkan ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Yang Dipertua Daerah Marang, Rozali Salleh bertukar ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan Setiausaha MBKT, Zulkafeli Omar ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Anuar Awang ke jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang dan Ketua Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Wan Mohd. Zaki Wan Abdullah ditukarkan ke jawatan Setiausaha MBKT.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Ariffin Abdullah ke jawatan Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Nerus dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun, Mohamad A. Rahman @ Othman ke jawatan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu.



Tuesday, December 19, 2017

RM240 JUTA BAGI ATASI HAKISAN PANTAI DI MENGABANG TELIPOT DAN PAKA


KEMAMAN, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM240 juta bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Mengabang Telipot dan Paka pada tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memulakan kerja-kerja tambatan mengunakan batu bersaiz besar seberat satu tan untuk menahan hakisan sejak tahun lalu.

"Sebanyak RM90 juta diluluskan bagi kerja-kerja penambakan tebing di sepanjang pesisir pantai di Mengabang Telipot dan RM150 juta di Paka.

"Di Dungun kita perlu dapatkan bajet lain untuk mendalamkan pantai yang cetek dan menahan hakisan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan masyarakat Tionghoa daripada pekan Kerteh di Kemasik di sini, hari ini.

Beliau berkata hakisan tersebut berlaku disebabkan pembangunan di pesisir pantai yang sedikit sebanyak telah menggangu aliran semula jadi permukaan pantai dan laut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Kerteh, Khaw Kian Hup berkata beliau bersama-sama 70 masyarakat bersama-sama 70 masyarakat Tionghoa mengunjungi Rosli hari ini sebagai tanda terima kasih atas kecaknaan dan bantuan diberikan.

"Banyak bantuan dan pertolongan yang diberikan beliau terhadap masyarakat Cina dan beliau tidak pernah membezakan di antara masyarakat Cina ataupun Melayu dengan memberikan layanan samarata," katanya.

Turut serta ialah Ketua Pemuda Persatuan Hainan Kemasik, Lim Tau Khang, Pengerusi MCA Air Jernih, Ng Chon Chai, wakil Gerakan Kemasik, Tuang Dek Soon dan Pengerusi Persatuan Hainan Kemasik, Foo Say Wan.

Rosli amat berbesar hati dengan kunjungan rombongan itu yang merupakan julung kali diadakan dan turut menyatakan rasa terharu apabila mereka memaklumkan ia juga bertujuan untuk meraikan ulang tahun ke-19 perkahwinan beliau dan isterinya Fadzliaton Ruhaizan Ramli yang disambut hari ini.

-- BERNAMA

Monday, December 18, 2017

CALON UMNO CETUSAN RAKYAT BANDAR TUN RAZAK


oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) Datuk Rizalman Mokhtar berkata sebagai Ketua Umno Bahagian beliau meraikan segala pandangan dan kemahuan peringkat akar umbi.




Katanya apa yang disuarakan oleh Kelab Veteran Umno Bandar Tun Razak merupakan cetusan sebahagian suara dan kehendak orang Melayu di Bandar Tun Razak yang merupakan pengundi dominan dalam kawasan itu.




"Suara ini sudah berkumandang hampir 25 tahun dan melepasi 5 kali Pilihanraya umum.

Pilihanraya ke 12 dan 13 sudah membuktikan pengundi semakin menolak calon dari MCA," katanya.




Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan

Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Mohd. Alias Abdul yang mahukan pucuk pimpinan negara meletakkan calon Umno pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU 14) yang akan berlangsung pada tahun hadapan.




"Langkah ini perlu diambil berikutan kuasa pengundi Melayu meliputi 58.7 perarus­ daripada 86,602 pengundi­ di Parlimen tersebut," ujar Datuk Alias dalam satu majlis di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Sabtu lepas.




Datuk Mohd. Alias berkata beliau akan memanjangkan perkara ini ke Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan tidak lama lagi.




Pada PRU-12 dan PRU-13, Umno BTR kehilangan kerusi ini kepada PKR berikutan keputusan pucuk ke­pimpinan meletakkan calon MCA melawan calon pembangkang dari keturunan Melayu iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.




Datuk Rizalman menegaskan apabila memperkatakan soal calon PRU banyak cakap-cakap mengatakan Ketua Umno adalah calon layak, beliau menegaskan

tidak semestinya calon tersebut datangnya daripada Ketua Bahagian.




Sesiapa sahaja boleh dipilih jadi calon Parlimen BTR asalkan calon tersebut direstui pucuk pimpinan serta boleh membawa kemenangan kepada parti.




"Perkara paling penting sekali ialah pengundi-pengundi di BTR mahukan calon dari Umno. Apabila ini terjadi sudah tentu mereka gembira dan memilih calon dikehendaki.




"Calon tersebut juga mesti ada kekuatan iaitu yang disenangi dan jangan lupa calon itu mesti boleh menang ataupun dengan lain-lain perkataan winable candidate," jelas anak kepada tokoh Umno, Datuk Mokhtar Samad.




Datuk Rizalman menambah gerap perubahan berfikir orang Melayu di BTR sudah jauh berubah.




Mereka sudah bersedia memulangkan semula Parlimen BTR Ini kepada Umno.




"Berlaku perubahan yang positive di BTR sejak hampir 10 tahun. Calon dari PKR telah diberi peluang dan ternyata mereka gagal menjalankan amanah yang diberi," katanya.




Datuk Rizalman mengajak seluruh pengundi di BTR supaya beri peluang kepada calon Umno mewakili mereka.




"Rakyat BTR dah ketinggalan hampir 10 tahun menanggung kerugian pembangunan dan jangan biarkan kita terus berada dalam kerugian," ujarnya.




Menjawab soalan apa tindakan Umno BTR seandainya MCA tetap mahukan kerusi tersebut, beliau menjelaskan semangat setia kawan dalam BN yang amat tinggi akan dipatuhi.




"Kita akan tetap bekerja atas semangat setiakawan BN dan cuba lakukan yang terbaik untuk redakan sentimen pengundi supaya memberi sokongan pada calon BN," katanya.

Sunday, December 17, 2017

SERAH SAHAJA KEPADA PM





OLEH ABDULLAH KARIM




KUALA LUMPUR: Rentetan daripada berita ‘Rauf Tanding Parlimen Masjid Tanah? Wakil Rakyat Kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Melaka tampil memberi penjelasan apabila nama beliau dikaitkan antara wakil rakyat kekal mempertahankan DUN berkenaan.




Bagi Datuk Md. Rawi Mahmud beliau sama sekali tidak alpa atau bermegah apabila dikaitkan dirinya kekal di DUN berkenaan. Sebaliknya terus menerus menjalankan amanah rakyat di kawasan tersebut tanpa memikirkan kedudukan dirinya pada pilihan raya umum (PRU 14) akan datang.




“Apapun kerja tetap diteruskan,” katanya pendek.




Datuk Md. Rawi antara pemimpin disenangi rakyat. Beliau rajin turun padang menyelesaikan masalah berbangkit. Tanpa mengira masa, beliau sedia menghulurkan bantuan demi mensejahterakan pengundi tempatan.




Apa yang pasti pemimpin yang amat mesra rakyat dan merendah diri ini dikagumi oleh kawan dan lawan. Tidak hairanlah pucuk pimpinan Bahagian Masjid Tanah yang diketuai oleh Datuk Seri Rauf Yusoh dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Umno Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Harun amat menyenangi beliau.




Biarpun namanya dikatakan kekal di tempatnya sekarang, Datuk Md. Rawi berkata apa juga telahan masyarakat mengenai kedudukannya di Tanjung Bidara, beliau meletakkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti.




“Kita (Pemimpin Bahagian) sudah berikrar akan menghormati keputusan pucuk pimpinan,” katanya.




Mengenai cakap-cakap Datuk Seri Rauf akan bertanding di Parlimen Masjid Tanah dan Ahli Parlimen sekarang, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Melaka, beliau berkata Datuk Seri Najib Tun Razak sudah bercakap panjang lebar pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini berkaitan calon PRU.




“”Dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno) lepas, Perdana Menteri sendiri ada menjelaskan dalam menilai pemilihan calon-calon PRU. Yang paling penting sebagai Wakil Rakyat momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) masa kini perlu dipertingkatkan melalui program-program berfokuskan rakyat,” jelas beliau.

TERENGGANU SAMPAIKAN INSENTIF KEJAYAAN SUKAN SEA DAN PARA ASEAN


KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif kejayaan Sukan Sea dan Para Asean 2017 berjumlah RM380,175 kepada 132 atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri.

Insentif disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam satu majlis di sini malam ini.

Menerusi Insentif/Skim Hadiah Kemenangan (Shake), seramai 100 orang atlet bagi acara individu menerima wang tunai mengikut pingat yang dikutip iaitu emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

Sultan Mizan yang memenangi pingat emas bagi acara kuda lasak (Endurance) pada temasya Sukan Sea 2017 lalu turut menerima insentif tersebut.

Manakala bagi atlet acara berpasukan mereka menerima wang tunai bagi penerima pingat emas (RM2,500), perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).

Kerajaan Terengganu turut meraikan 100 atlet yang terpilih mewakili negara dalam kedua-dua temasya itu menerusi Insentif/Skim wakil negara (Swara) yang melayakkan mereka menerima RM500 tiap seorang.

Atlet berbasikal, Fatehah Mustapa merupakan penerima terbanyak bagi insentif bagi Sukan Sea 2017 iaitu sebanyak RM18,000 manakala Zuhairie Ahmad Tarmizi pula menerima RM18,500 atas kejayaannya dalam temasya sukan Para ASEAN 2017.

Pada majlis itu juga sebanyak tiga presiden persatuan sukan menerima RM5,000 setiap seorang yang menerima Anugerah Kepimpinan Persatuan Cemerlang.

Mereka ialah Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, A.Razak Mat Amin; dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

-- BERNAMA

Saturday, December 16, 2017

ADIK AZEEZ RAHIM TANDING DI DUN TAMAN MEDAN?

oleh ABDULLAH KARIM 

PETALING JAYA: Setiap kali pilihan raya (PRU) menjelang tiba, Bahagian-bahagian Umno di seluruh negara sibuk mengenal pasti tokoh-tokoh tertentu untuk diketengahkan sebagai calon.

Daripada Ketua Bahagian sehinggalah Ahli Jawatankuasa (AJK) semuanya memasang niat untuk jadi wakil rakyat.

Apabila memperkatakan soal siapa hendak jadi calon, Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) tidak pernah sunyi daripada ditimpa perebutan calon untuk diletakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.

Setelah kematian Ketua Bahagian, Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik baru-baru ini, Pemangku Ketua, Jamaludin Razali dikatakan calon pilihan untuk bertanding di situ.

Bagaimanapun, Jamaludin tidak boleh menarik nafas lega. Naib Ketua, Datuk Mutalib Rahim iaitu adik kepada Datuk Azeez Rahim turut mengintai peluang untuk dipilih pada Pilihan Raya (PRU) kali ke-14 yang bakal diadakan seawal tahun hadapan.

Pun begitu, difahamkan selain mereka berdua beberapa nama lagi iaitu terdiri kalangan AJK Bahagian turut disebut untuk dipilih calon Taman Medan.

Antaranya, Ketua Wanita Datin Paduka Norkhaila Jamaludin, Ketua Pemuda, Ridzuan Mahidin, Ketua Puteri, Nor Azmah Abdullah dan Setiausaha, Mohamad Sam A. Wahid.

Nama-nama mereka telahpun diserahkan kepada pucuk pimpinan Umno Negeri dan seterusnya diangkat ke Umno Pusat untuk dimuktamatkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diperhalusi dan seterusnya Perdana Menteri akan nengumumkan calon terpilih.

Seorang Setiausaha Cawangan, Malek Karim berkata daripada tujuh calon yang diketengahkan oleh Umno Bahagian, nama Jamaludin dan Datuk Mutalib menduduki tangga teratas.

Walaupun Datuk Mutalib ada kelebihan dari segi kewangan, namun keramahan dan sikap peduli Jamaludin terhadap masalah penduduk setempat tidak boleh diketepikan oleh Umno Negeri dan Pusat.

"Dari segi kewangan memanglah Jamaludin tak sehebat Datuk Mutalib. Tetapi kami di sini merasakan soal orang itu ada duit atau tidak itu bukan persoalan.

"Apa yang kami semua hendak ialah pemimpin tersebut mestilah orang tempatan iaitu mereka yang tinggal di sini (Kampung Medan) dan bukan mereka yang duduk di tempat lain," katanya.

Beliau mendakwa Datuk Mutalib tinggal di Subang Jaya sementara Jamaludin adalah anak tempatan iaitu Taman Medan.

Beliau berkata dari segi lojik sebaik-baiknya biarlah Jamaludin diberi peluang memandangkan beliau pada masa ini adalah Pemangku Ketua.

"Tak kenalah kalau dia tak terpilih. Sedangkan pada masa ini dia adalah ketua kita," katanya.

Apapun katanya itu hanyalah pandangan beliau dan juga pandangan kebanyakkan ahli Umno di sini. Mereka mengharapkan Jamaludin diberi peluang bertanding pada kali ini daripada mengetengahkan calon lain.

Menguatkan hujahnya bahawa apa yang dikatanya itu adalah benar, beliau meminta penulis datang sendiri ke Taman Medan dan tanyalah sendiri setiap penduduk di sini mengenai penerimaan mereka kepada Jamaludin.

Ketua Cawangan Rumah Panjang Sepakat, Haji Mustapha Othman pula berkata kedua-dua calon iaitu Jamaludin dan Datuk Mutalib mempunyai peluang sama dipilih pada PRU ini.

Kedua mereka layak kerana masing-masing menduduki tangga teratas hiraki Umno Bahagian iaitu pemangku ketua dan naib ketua.

Terserahlah kepada pucuk pimpinan Umno untuk memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi calon Umno pada kali ini.

"Bagaimanapun dikalangan kami di sini, kami mengharapkan Jamaludin dipilih pada kali ini.

"Dia adalah ketua dan seharusnyalah DUN Taman Medan ini diberikan kepada dia," katanya.

Begitupun kata beliau itu hanyalah pandangan ahli di peringkat bahagian. Sebaik-baiknya diserahkan sahaja soal calon ini kepada pigsk berwajib.

Kali terakhir wakil Umno menang di situ ialah pada PRU ke 10 yang mana calonnya pada ketika itu adalah Datuk Haji Wahab Ibrahim. Beliau mengalahkan calon PAS pada pertembungan satu lawan satu.

Pada masa ini DUN Taman Medan diwakili calon Keadilan, Hajah Haniza Mohamad Talha. Beliau mengungguli DUN berkenaan sejak PRU ke11.

Thursday, December 14, 2017

JANGAN POLITIKKAN ISU DANA KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAAN

KUALA TERENGGANU, 14 Dis (Bernama) -- Isu Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) tidak perlu lagi dipolitikkan oleh pihak pembangkang yang hanya mahu menjadi juara di mata rakyat kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama menyelesaikan perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata isu tersebut sentiasa ditimbulkan dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun telah banyak penjelasan dibuat kepada wakil pembangkang.

"Walau sudah beratus kali, beribu kali kita jelaskan, mereka tetap tidak mahu faham. Jadi hari ini, saya nak jelaskan...biarlah ini yang terakhir agar semua faham. Apabila dibangkitkan di luar sana, rakyat tidak lagi keliru kerana telah faham dengan jelas berkenaan DKKP ini.

"Pertama, memang kita akui bahawa projek yang telah menggunakan duit dana kerajaan negeri iaitu untuk program rumah mesra rakyat negeri lain sebanyak RM771.344 juta, dana khas kerajaan persekutuan negeri-negeri lain RM717.300 juta, projek jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang pakej 6A dari Aring ke sempadan Kelantan-Terengganu iaitu RM197.610 juta.

"Seterusnya, projek perumahan TUDM Gong Kedak (RM35 juta), perbelanjaan pengurusan Universiti Darul Iman (RM22.4 juta), perolehan tanah 100 ekar untuk projek Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC (RM21.344 juta), bayaran pampasan tanah Pulau Redang (RM4.907 juta) dan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (RM400 juta) dengan jumlah keseluruhannya RM2.169 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab beberapa soalan daripada wakil pembangkang mengenai DKKP ketika menggulung perbahasan Bajet Terengganu 2018 pada persidangan DUN itu hari ini.

Seterusnya, Ahmad Razif berkata jumlah DKKP sebanyak RM2.169 bilion itu telah mula dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu bermula pada tahun 2011 dan akan selesai pada tahun 2020.

Beliau berkata sebanyak RM200 juta dibayar pada tahun 2011, 2012 (RM200 juta), 2013 (RM220 juta) dan jumlah yang sama dibayar hingga 2019 di mana bayaran terakhir ialah pada tahun 2020 iaitu sebanyak 229 juta.

"Saya sudah berkali-kali sebut dan jawab hal ini dalam hampir setiap kali DUN bersidang. Sebenarnya tidak ada isu langsung. Apa matlamat kita sebenarnya? Matlamat kita ialah mendapatkan hasil pendapatan untuk rakyat dan negeri," katanya.

"Isu pembayaran DKKP tidak menjadi masalah. Rakyat Terengganu tetap dapat DKKP...yang jadi masalah kalau kita tak dapat dana tersebut," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai saman yang ditarik balik kerajaan negeri yang dibangkitkan Mohd Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung tuntutan yang difailkan terhadap Petronas oleh kerajaan negeri di bawah PAS ketika itu.

"Ia adalah untuk satu perintah supaya Petronas membuat bayaran sebagaimana yang sepatutnya mulai dari 1 Sept 2000 dan di masa-masa hadapan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perjanjian.

"Memandangkan perkara ini telah dilaksanakan, maka pada 21 Mac 2012, kerajaan negeri Terengganu telah menarik balik kes tuntutan ini di mahkamah. Isu ini sudah lima tahun selesai. Ia bukan satu pengkhianatan," katanya.

Tambahnya, hubungan baik dengan Petronas memberi manfaat baik kepada rakyat apabila syarikat itu bersetuju untuk membantu kerajaan negeri melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka di Terengganu.

-- BERNAMA

Wednesday, December 13, 2017

KAWALAN KESELAMATAN DI WISMA DARUL IMAN TIDAK KETAT?



KUALA TERENGGANU: Pas menggunakan rakyat untuk membuat kecoh di Sidang Dewan Undangan (DUN) Negeri Terengganu hari ini dengan isu pengambilan tanah KT Bypass di Kampung Seberang Baruh dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam.


Isu berkenaan menjadi besar apabila masuk campur politik dalam menyeselaikan masalah yang dihadapi oleh pemilik tanah dan juga penyewa premis perniagaan yang terlibat dengan pengambilan tanah tersebut.

90 peratus proses pengambilan telah selesai dan hanya beberapa tanah di Kampung Seberang Baruh sahaja dan penyewa di premis berkenaan menuntut hak bayaran yang melebihi kadar yang sepatutnya.

Dikesempatan sidang dun hari ini, mereka mengambil peluang untuk membuat provokasi dengan membuat kecoh semasa sidang dewan sedang berlangsung.

Seramai 30 orang yang memakai baju t shirt putih telah melaungkan kata-kata kasar terhadap wakil Yab Menteri Besar dan beserta ugutan dalam percakapan itu.

Dimaklumkan bahawa pengambilan tanah yang menjadi permasalahan hari ini kerana pertikian antara status tanah pertanian dan tanah kampung yang mana pembayaran mengikut harga pasaran ditetap oleh kadar semasa.

Ulasan saya, kekecohan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri tidak berlaku jika kawalan keselamatan di Wisma Darul Iman ketat. Takkan pengawal keselamatan tidak tahu persidangan DUN sedang berlansung? Kenapa benarkan orang yang tidak memakai kot dan tai masuk ke situ kerana biasanya orang yang hendak ke persidangan DUN mesti pakai kot dan tie.

Kenapa benarkan orang yang berpakaian baju biasa masuk ke perkarangan DUN. Mereka sempat pula memakai t shirt TTB yang bermaksud Terusir Tanpa Bayaran. Oleh itu pengurusan Wisma Darul Iman perlu mengambil tindakan tegas kepada syarikat kawalan keselamatan tersebut yang cuai.

Kalau hendak hantar memorandum kepada Menteri Besar cukup seorang wakil masuk ke dalam tak perlu semua masuk untuk membuat kekecohan. 

Tuesday, December 12, 2017

STATUS TELAGA MINYAK BERTAM DIKETAHUI BULAN DEPAN

KUALA TERENGGANU, 12 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu keputusan status telaga minyak Bertam milik Terengganu atau Pahang hanya akan diketahui Januari depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pada masa ini, Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) masih dalam proses menentukan persempadanan telaga minyak yang terletak di perairan dua negeri Pantai Timur itu.

"Jupem menyatakan urusan persempadanan akan selesai akhir Januari depan, jadi kerajaan negeri sedang tunggu keputusan itu. Perkara ini sudahpun dijelaskan pada Sidang DUN sebelum ini,"katanya.

Ahmad Razif berkata demikian selepas perkara itu dibangkitkan Dr Syed Azman Syed Nawawi (Batu Buruk-PAS) pada sesi perbahasan Bajet 2018 di Wisma Darul Iman di sini.

Syed Azman, kemudian menjelaskan beliau membangkitkan kembali isu tersebut kerana mendapati banyak kepentingan Terengganu akan 'hilang' jika tidak dipertahankan.

Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong kemudian menegur Syed Azman dan anggota DUN lain agar bersabar dengan isu dibangkitkan itu dan menyatakan proses rundingan sesuatu perkara memakan masa lama.

"Proses pemetaan itu melibatkan hal perundangan dan untuk menentukan persempadanan ini bukan mudah.

"Kita tunggu pihak berwajib untuk dapatkan penjelasan dan dilarang keras mendapatkan penjelasan isu ini daripada pihak tidak berkenaan sebab kita mahu sesuatu itu mengikut fakta, bukan sesuatu yang boleh mendatangkan fitnah,"katanya.

Ahmad Razif ketika ditemui pemberita kemudian, berkata kerajaan negeri tidak boleh membuat secara melulu apa-apa pengumuman atau keputusan berhubung telaga minyak Bertam meskipun terdapat desakan daripada pelbagai pihak yang prihatin mengenai isu tersebut.

"Kita tunggu laporan daripada pihak teknikal...bukan kita boleh semborono. Kita tunggu bukti-bukti dan penjelasan daripada Jupem dan agensi-agensi berkaitan yang akan menentukan lokasi dan persempadanan.

"Setakat ini persempadanan (telaga minyak) antara Terengganu dan Pahang belum selesai lagi,"katanya.

-- BERNAMA

Monday, December 11, 2017

TERENGGANU BERI BEKALAN AIR PERCUMA KEPADA 100,000 KEDIAMAN

KUALA TERENGGANU, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu hari ini yang membentangkan Bajet 2018 menampilkan empat tunjang utama yang menyentuh keperluan segera dan keutamaan kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang membentangkan bajet itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini berkata ia merupaka bajet inklusif yang memberi fokus kepada semua lapisan masyarakat.

"Empat tunjang itu adalah mengurangkan beban rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, kedua, meningkatkan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, ketiga, mengisi keperluan perumahan rakyat dan keempat, pembangunan yang bersifat inklusif' dan berpaksikan rakyat," katanya.

Katanya, bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, kerajaan negeri akan memberikan bekalan air percuma bagi penggunaan domestik sehingga 20 meter padu dengan peruntukan sebanyak RM6.3 juta yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 buah kediaman.

Dalam usaha membantu pemandu teksi yang berhadapan saingan dengan pemandu perkhidmatan e-hailing GRAB dan UBER, bantuan sekali beri sebanyak RM500 diberikan kepada semua pemandu teksi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhdimatan Awam Darat.

Kerajaan negeri juga katanya memberi bantuan sekali beri RM500 kepada 50 pemandu bas henti-henti sebagai menghargai peranan mereka yang berada di barisan hadapan industri pelancongan Terengganu.

Ahmad Razif seterusnya berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan Program Transformasi Belia Niaga (TBN) tahun hadapan bagi melahirkan 100 usahawan dalam kalangan belia menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Langkah itu katanya bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui bidang keusahawanan yang dijangka memberi pulangan lumayan sekali gus mengubah dan meningkatkan taraf ekonomi hidup mereka dan keluarga.

Bajet 2018 juga katanya tidak mengetepikan golongan orang kurang upaya (OKU) apabila mereka akan diberikan keutamaan bagi pemilikan rumah menerusi Program Perumahan Terengganuku Sayang (PPTS) atau sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan sebanyak RM32 juta.

"Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan beberapa projek perumahan untuk rakyat Terengganu melibatkan peruntukan RM400 juta."

"Projek-projek itu meliputi Program My Beautiful New Home khusus untuk golongan B40 yang akan dibina sebanyak 50 unit di Kampung Mak Kemas, Bukit Payung. Bagi mereka yang berpendapatan RM3,500 ke bawah pula kerajaan negeri akan membina sebanyak 3,085 unit Rumah Mampi Milik (RMM) di seluruh negeri ini."

"Selain itu tambahan sebanyak 2,538 unit rumah lagi akan dibina melalui Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia yang akan dibina di seluruh negeri," katanya.

Projek yang bermula pada tahun depan itu katanya dijangka siap pada tahun 2020.

Mengambil iktibar kejadian yang menimpa para pelajar tahfiz di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur September lepas, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM126,000 kepada pusat-pusat tahfiz yang berdaftar bagi menyediakan peralatan keselamatan kebakaran.

Bagi menghargai perkhidmatan yang telah disumbangkan oleh 12,756 penjawat awam di negeri ini, kerajaan negeri juga bersetuju memberi bonus sebanyak RM1,500 kepada setiap seorang dengan peruntukan sebanyak RM19.13 juta.

Ahmad Razif berkata daripada jumlah itu, RM1,000 akan diberikan pada Januari depan manakala baki RM500 lagi menjelang Aidilfitri.

"Atas dasar cakna kepada penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memperluaskan bayaran bonus ini kepada semua kakitangan termasuk kakitangan sementara tanpa perjawatan, kontrak dan ad hoc," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, December 10, 2017

DIRA TEGUR SHEILA MAJID DI GELANGGANG YANG TEPAT

oleh ABDULLAH KARIM




KUALA LUMPUR: Pelakon Dira Abu Zahar memberitahu Datuk Sheila Majid lain kali kalau mahu bercakap mengenai sesuatu perkara yang melibatkan kempimpinan negara carilah gelanggang yang betul.

Bukan dengan mengunakan media massa dan media elektronik untuk menghentam Perdana Menteri.

"Saya menegur Sheila ditempat yang betul iaitu di pentas Umno," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat lepas.

Exco Puteri Umno itu dalam ucapan perbahasannya menyipatkan penyanyi ternama itu tidak pernah bersyukur dengan pelbagai nikmat diperolehinya hasil kemakmuran di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengakui dirinya berada di kedudukan benar kerana berani tegur penyanyi tersebut dikhalayak iaitu di pentas Umno.

"Saya tegur dia di depan orang ramai. Di kalangan pemimpin Umno. Puteri Umno sebenarnya tidak begitu suka dia memperkecilkan Perdana Menteri kita," ujarnya.

Dikalangan penggiat seni termasuk penyanyi dan pelakon, mereka melihat cara anak bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Abu Zahar Ithnin ini menggunakan pentas politik untuk meraih kembali populariti setelah kegemilangannya pudar atas sebab-sebab tertentu.

Dira ketika diminta mengulas telahan nitizen mengenai perkara tersebut dengan nada amat sedih berkata orang di luar sana tidak begitu faham maksud sebenarnya kenapa dan mengapa Sheila ditegur dalam ucapan di PAU baru-baru ini.

"Macam-macam saya dengar sebaik sahaja saya habis berucap.

"Ada yang kata saya gila publisiti. Ada juga yang saya buat begitu sebab nak cari glamour," katanya sambil membesarkan matanya.

Dira berkata apa juga yang diperkatakan oleh orang-orang di luar sana mengenai tegurannya kepada Sheila, para perwakilan Puteri Umno setuju dengan beliau.

"Contohnya semua perwakilan Puteri bertepuk tangan ketika saya menegur Sheila. Ini maknanya ahli- ahli Puteri yang memenuhi ruang dewan bersetuju dengan saya.

"Ahli Umno tidak suka PM yang kita sayangi dan telah berjaya menerajui negara dikatakan gagal oleh seorang personaliti," katanya.

Saturday, December 9, 2017

AIRASIA LANTIK NEELOFA JADI PENGARAH BEBAS

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- "Tidak perlu tua untuk menjadi seorang pengarah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika mengulas pelantikan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd, yang diumumkan semalam.

"Pengarah baharu kami, @neelofa adalah seorang yang muda, bijak, usahawan dan suka menaruh impian seperti kami juga.

"@airasia sekali lagi menerajui aspek kepelbagaian dan kali ini, bukan setakat wanita tetapi juga dari segi usia. Tidak perlu tua untuk bergelar seorang pengarah," katanya dalam catatan terbaharu di Instagram yang turut disertakan dengan paparan gambar beliau bersama Neelofa.

Sementara itu, Neelofa yang merupakan satu nama besar dan dikenali ramai, juga berkongsi kegembiraannya bersama 5.3 juta pengikut setia di Instagram.

"Seperti kata-kata @tonyfernandes malam ini, beranikan diri untuk menaruh impian dan usahakannya! Teruskan menaruh impian, lebihkan usaha, terokai dunia! Tidak sabar untuk terbang (lebih tinggi) bersama-sama AirAsia.

Friday, December 8, 2017

BN BATU SAPI TIDAK TERGUGAT



KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Batu Sapi tidak tergugat meskipun berdepan dengan parti pembangkang 'produk tempatan', khususnya Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kewujudan parti yang terhasil daripada perasaan kecewa ketika berada dalam UMNO bukanlah suatu ancaman kepada penyokong BN di kawasan itu.

"Walaupun kehadiran parti baharu itu adalah 'parti tempatan untuk tempatan' yang menganggap mudah menjual 'produk' mereka namun saya yakin rakyat Sabah amat bijak untuk menilai kewujudan parti itu," katanya kepada Bernama pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Exco Pemuda UMNO itu juga menyelar tindakan parti berkenaan yang sengaja meniupkan sentimen 'Sabah for Sabahan' dan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semata-mata untuk meraih sokongan demi kepentingan parti itu sendiri.

Namun, beliau yakin rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi sentiasa berdiri teguh memberikan sokongan padu kepada BN tanpa berbelah bahagi.

Pencapaian terbaik yang ditunjukkan BN sepanjang menerajui Sabah membuktikan UMNO tidak hanya sekadar bercakap sahaja, katanya.

Khairul Firdaus berkata Pemuda UMNO akan terus mendekati rakyat supaya mereka sedar pencapaian cemerlang sepanjang BN diberi mandat rakyat Sabah, memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.

"Apa yang penting kami akan terus berusaha menjalankan tanggungjawab dan amanah seperti yang presiden mahukan daripada semua sayap UMNO," katanya.

Pada pilihan raya yang lepas, calon BN Tsen Thau Lin menang di Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 3,798 undi.

Thursday, December 7, 2017

PERWAKILAN MENUNGGU KEMUNCULAN SHAMSUL DEBAT

KUALA LUMPUR: Perbahasan hari pertama di perhimpunan agung Umno  tidak menarik perhatian para perwakilan kerana pembahas tidak dapat memukau mereka dengan lawak jenaka. Mereka menunggu kemunculan wakil Negeri Sembilan, Shamsul Debat  yang dijangka muncul pada hari ini. Tahun lepas kemunculan Shamsul Debat menyelamatkan perbahasan yang hambar.

Anggota UMNO perlu menzahirkan semangat solidariti dengan mempersiapkan diri memiliki 'minda menang' bagi membantu dan menyokong kepimpinan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan mandat untuk menerajui kerajaan, kata wakil UMNO Perak.

Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata gendang perang akan dipalu bila-bila masa sahaja lagi, maka minda menang mesti mengukuh dalam sanubari setiap anggota bagi mendapatkan mandat besar kerana ia merupakan peperangan hidup mati bangsa Melayu.

"Jangan biarkan Presiden (Najib) berseorangan. Jangan hanya tengok kesusahan yang ditanggung pemimpin kita sahaja," katanya ketika menyokong perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau berkata Perak berpendapat tujuh minda menang menjadi prasyarat untuk berjaya dalam PRU14 iaitu kesetiaan dan pengorbanan terhadap perjuangan; jangan mudah berpuas hati dan sentiasa berfikir ke hadapan; mempunyai rasa kebersamaan; jangan menyorok perkara di bawah tikar; tetapkan siapa musuh; dan tetapkan sasaran kemenangan serta perlu menyelami masalah resah dan gelisah masyarakat.

"Kita mesti meneruskan keberadaan UMNO di tengah-tengah khalayak. UMNO yang telah terbukti sejak tujuh dekad mesti terus berada di tengah masyarakat. Perubahan politik, cabaran dan persekitaran menuntut agar kita menyantuni kehendak dan mendengar denyut nadi mereka agar UMNO bersifat inklusif," katanya.

Mohd Azhar turut menyokong cadangan sayap-sayap parti yang seia sekata supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, demi perpaduan parti.

"Presiden UMNO perlukan seorang jeneral perang mendampingi (beliau) bagi mengharungi PRU14. Sebagai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliaulah yang paling layak," katanya.

Terdahulu, wakil UMNO Pahang, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata amalan prinsip 'wala' dan kesetiaan ditekankan oleh presiden parti membolehkan UMNO mengatasi pelbagai rintangan dan dugaan meskipun sering kali cuba dijebak ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

Mohamad Sahfri, yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), turut mencadangkan anggota UMNO termasuk Pemuda turun berhimpun menyatakan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat, esok bagi menyatakan solidariti terhadap soal Baitulmuqaddis di Palestin.

"Isu Baitulmuqaddis menjadi satu daripada perkara penting dalam dunia hari ini, maka Pemuda menyahut cabaran untuk kita beramai-ramai berhimpun dan nyatakan bantahan di hadapan Kedutaan Amerika mengenai tindakan mereka menjadikan Al-Quds sebagai ibu negara Israel," katanya semasa mencadang usul ucapan dasar presiden itu.

Ketua UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pula meminta parti komponen BN ... Gerakan dan MCA ... bekerja lebih keras untuk bersama-sama UMNO bagi menumbangkan kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.

"MCA dan Gerakan merupakan 'madu' terbaik UMNO. Sekarang ini bukan senang hendak cari madu yang baik, jadi kita perlu jaga madu kita.

"Kalau tidak jaga dengan baik, belum tentu kita boleh mencari madu lain yang sama baik dengan madu kita sekarang," katanya ketika membahas usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini.

Ketua UMNO Marang A Latiff Awang berkata jentera UMNO untuk PRU14 harus disiapsiagakan serta mengambil peluang terhadap kepincangan pembangkang dan ikatan mereka yang bercelaru.

Beliau berkata UMNO juga perlu berubah daripada menggunakan cara lama bagi memastikan kemenangan dua pertiga majoriti BN dalam PRU14.

"Kalau kita masih dengan cara lama, kita hanya dengan orang kita sahaja, kita belum boleh menang. Kita kena menawan pengundi-pengundi daripada pelbagai latar belakang," katanya.



Wednesday, December 6, 2017

TERENGGANU SUMBANG RM2.3 JUTA KEPADA MERCY MALAYSIA BINA SURAU DI COX'S BAZAR



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu telah menyumbangkan sebanyak RM2.3 juta kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) untuk pembinaan sebuah surau bagi kegunaan dan keperluan pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sumbangan itu yang merupakan hasil kutipan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu juga akan digunakan untuk menyediakan barangan keperluan harian termasuk pembekalan al-Quran, klinik perubatan ibu dan anak, bilik air dan pembinaan telaga.

Katanya, mengikut rancangan asal, beliau sendiri yang akan mengetuai misi penyerahan bantuan itu.

"Namun, kerana kekangan masa, kita telah memilih MERCY Malaysia untuk menwakilkan kerajaan Terengganu melaksanakan hasrat tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan replika cek sumbangan berkenaan kepada MERCY Malaysia di sini hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail menyerahkan cek tersebut kepada Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.

Ahmad Razif berkata pembinaan surau itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa di sana.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara anak syarikat Terengganu Incorporated, Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen), Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd dan Koperasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).




-- BERNAMA