Tuesday, July 18, 2017

SMA AL FALAH SEKOLAH PERTAMA TERIMA SUMBANGAN YAYASAN BANK RAKYAT

KEMAMAN, 16 Julai (Bernama) -- Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah Kemaman, Terengganu menjadi sekolah pertama di pantai Timur menerima sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengurus Besarnya Norashikin Shaharuddin berkata pihaknya telah menyumbang RM17,000 bagi membangunkan 'Serambi Corner' di sekolah berkenaan.

"Ini adalah sekolah kedua dipilih di seluruh negara selepas Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1), Putrajaya...selepas ini kami akan menuju ke Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur yang mana ketiga-ketiga sekolah angkat ini akan dibekalkan dengan kaunter bersama tiga unit komputer dan bahan bacaan.

"Dengan sumbangan ini, kita berharap ia akan meningkatkan pencapaian akademik sekolah ini sekali gus merapatkan jurang digital dan pelajar terutamanya akan lebih efektif dalam penggunaan ICT bagi pembelajaran,"katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah Angkat 'Pledge Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner' di sini, hari ini.

'Serambi Corner' yang diilhamkan daripada Perpustakaan SIR kendalian YBR merupakan kemudahan perpustakaan dengan capaian digital disediakan di sekolah terpilih dengan pihak YBR menyediakan sudut IT.

Norashikin berkata, YBR kini dalam usaha untuk menambah jumlah sekolah angkat dan mengembangkannya ke luar bandar bagi memastikan ia dapat dirasai di seluruh negara, terutama sekali pada peringkat akar umbi.

Setakat ini Perpustakaan SIR mengandungi 80 peratus buku digital dan selebihnya ialah bahan bacaan fizikal yang juga tidak boleh diakses tanpa menjadi ahli terlebih dahulu dengan bayaran RM10 bagi pelajar setahun dan RM6 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

"Bagi mereka yang tidak menjadi ahli, bayaran yang dikenakan hanyalah RM20 setahun dan ia masih dikategorikan berpatutan berbanding dengan kuantiti bahan bacaan yang akan mereka perolehi dalam perpustakaan tersebut. Sesiapa yang ingin menjadi ahli boleh berbuat demikian secara online (dalam talian) di http://elibrary.yayasanbankrakyat.com.my.

"Kita telah membuat perjanjian persefahaman (MoU) bersama Perpustakaan Negara dan konsortium perpustakaan yang mengandungi perpustakaan universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan lain-lain bagi mereka yang menginginkan carian bahan bacaan yang lebih meluas,"katanya.

Selain itu, YBR juga mengalu-galukan mana-mana pihak yang ingin menyumbangkan bahan bacaan fizikal seperti buku, majalah ilmiah dan komik pendidikan kerana buku ini yang akan dibawa untuk program sebegini pada masa akan datang.

"Kami memerlukan buku-buku mewarna kerana kami banyak membuat program bersama anak-anak gelandangan. Dengan ada kepelbagaian buku-buku mewarna ini, kanak-kanak juga lebih seronok untuk mewarna.

"Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menyumbang buku tersebut di Menara Berkembar Bank Rakyat dan bagi luar kawasan Kuala Lumpur, kami dalam usaha untuk meletakkan tabung buku ini di cawangan-cawangan bank kami,"katanya.

Turut ditemui Pengetua SMA Al-Falah, Mohd Rani Muda yang mengucapkan terima kasih kerana memilih dan menjadikan sekolahnya sebagai perintis di pantai Timur.

"Saya yakin ia akan memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah ini. Dengan adanya kemudahan telefon pintar sekarang, Perpustakaan SIR semakin mudah diakses pelajar-pelajar dalam memudahkan mereka mencari maklumat tambahan yang kini, hanya di hujung jari,"katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment