Sunday, July 23, 2017

KUDA LAUT DAN BELANGKAS AKAN JADI DAYA TARIKAN BAHARU PELANCONGAN


SETIU, 23 Julai (Bernama) -- Dua projek penyelidikan translasional yang dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal mengubah landskap sosio ekonomi penduduk di sekitar Tanah Bencah Setiu di sini serta menjadi daya tarikan baharu pelancongan.

Dua projek tersebut ialah membangunkan populasi kuda laut dan belangkas sebagai usaha membantu meningkatkan pendapatan masyarakat pesisir pantai, sekaligus membantu kerajaan negeri dalam memulihara habitat fizikal marin.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata buat permulaan, 100 keluarga akan terlibat dalam projek pemeliharaan kuda laut dan 205 penduduk dari 14 kampung pula akan terlibat dalam projek lestari belangkas tersebut.

"Sekiranya projek ini diusahakan dengan baik dan konsisten, ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada komuniti terlibat serta mempopularkan lagi Tanah Bencah Setiu ini sebagai lokasi industri pelancongan dengan dua produk utamanya iaitu kuda laut dan belangkas.

"Saya berharap kedua-dua projek ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung agar matlamat penyelidikan dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka dan memulihara eko sistem semulajadi kawasan ini berjaya,"katanya kepada pemberita selepas melancarkan kedua-dua projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar; Pengarah Projek Translasional Kuda Laut, Profesor Dr Mohd Effendy Abd Wahid serta Pengarah Projek Translasional Belangkas, Profesor Madya Dr Noraznawati Ismail.

Idris berkata kementerian telah menyalurkan geran penyelidikan sebanyak RM6.7 juta untuk projek translasional UMT supaya universiti dapat memindahkan kepakaran dan ilmu kepada komuniti.

Beliau berkata, kementerian berbangga dengan peranan universiti tempatan yang sentiasa terkehadapan dalam berkongsi pengetahuan, kepakaran serta 'melahirkan' sesuatu produk yang mesra alam serta menjadi 'pencetus' perubahan sosioekonomi komuniti ke arah kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, Dr Mohd Effendy berkata melalui projek kuda laut, setiap 100 keluarga akan diberi 100 ekor kuda laut untuk dibela selama tiga bulan secara percuma dan separuh dari hasilnya akan dijual semula kepada UMT manakala separuh lagi dilepaskan ke santuari kuda laut di Setiu.

"Kami akan membimbing penduduk terlibat dari awal kitaran hidup kuda laut sehingga mereka mampu membiakkannya sendiri namun untuk buat permulaan, mereka hanya boleh menjual kuda laut ini kepada UMT sahaja dan menambah harga seekor kuda laut boleh mencecah RM100 untuk industri hiasan di kalangan pengusaha akuarium dan sebagai ubatan tradisional untuk masyarakat Cina.

Bagi belangkas pula, Dr Noraznawati berkata penduduk kampung diberi peluang menangkap belangkas yang telah dilepaskan ke habitat asal pada hari ini untuk dijual kepada UMT bagi pengambilan darah belangkas untuk kegunaan perubatan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment